Friday, November 14, 2008

Miliki Mercedes Benz atau mencontohi Ahmadenijad?


Suatu ketika dulu, Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub meminta pandangan tentang kereta yang sesuai dimiliki oleh seorang pemimpin seperti beliau.

Aku kata, pilihlah apa jua jenis kereta asalkan tidak Mercedes Benz. Ini kerana, pada mata kebanyakan orang, kereta jenis itu melambangkan kemewahan. Kemewahan seringkali ditafsirkan sebagai lambang kapitalis dan mementingkan diri sendiri. Ini tentu sekali tidak sesuai sebagai pemimpin kepada gerakan rakyat.

Biarpun itu sekadar tafsiran sesetengah pihak, ia sebenarnya sukar untuk dimengertikan keperluannya. Barangkali sehingga sekaranglah, Salahuddin tidak memiliki Mercedes Benz.

Sebagai pemimpin di peringkat nasional, mereka memang memerlukan kenderaan yang mampu membawa mereka dengan selamat dan selesa. Jika tidak, mobiliti mereka mungkin terhad. Namun di sebalik pandangan itu, ada juga yang berfikiran sebaliknya.




Pemimpin mereka mestilah memiliki kekayaan yang sewajarnya sebagai pemimpin. Ini kerana pemimpin kalau miskin, sukar untuk membantu mereka terutama dalam soal-soal kewangan. Oleh itu, sesetengah pemimpin terpaksa mencari pelbagai sumber kewangan demi memastikan tabung bantuan politik mereka penuh dan dapat dimanfaatkan.

Rakyat kita sudah dididik dengan penyelesaian masalah melalui jalan singkat seperti bantuan kewangan, subsidi, biasiswa, sedekah dan sebagainya. Biarpun kaedah itu tiada salahnya namun pemikiran rakyat harus dibangunkan agar lebih berdikari. Tidak terlalu bergantung harap dengan orang lain. Apabila pemimpin mempamerkan kemewahannya melalui kereta mewah � rakyat akan tidak segan silu meminta bantuan kewangan dan sebagainya.

kereta idaman

Ada senior aku beritahu; jika balik daripada UK, ada empat `benda� yang dibawa balik. Pertama, PhD ataupun ijazah. Kedua adalah pengalaman melawat Eropah. Ketiga, jika berkahwin insya Allah dapat anak. Dan keempat adalah kereta Mercedes Benz! Kalau pemimpin politik mahu berfikir secara Presiden Iran, Ahmadinejad, berhentilah untuk berangan memilikinya.

Ini kerana pemimpin hebat itu hanya memiliki Puegeot lama! Sebelum menjadi pemimpin, ada yang bercita-cita hidup sederhana tetapi apabila sudah diangkat atau terangkat menjadi pemimpin, cita-cita itu sudah dilupakan.

Memiliki kenderaan di tanah air seperti suatu kemestian. Sekurang-kurangnya motosikal bagi orang kampung. Bahkan sesetengah rumah memiliki lebih daripada dua kereta. Memiliki kenderaan sendiri memang memudahkan kerana tidak perlu susah mencari teksi atau menunggu bas. Kebiasaannya kereta di letak di hadapan rumah. Sama ada itu kebetulan ataupun sudah menjadi sifat orang kita yang ingin mempamerkan kereta milik mereka. Jarang sekali kereta di letak di belakang rumah atau dimasukkan ke dalam garaj, kecuali ada muslihat lain!

Walaupun harga minyak naik dan membebankan, rakyat tiada pilihan kecuali terpaksa memiliki kenderaan sendiri. Untuk menggunakan pengangkutan awam di kotaraya seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang ataupun Ipoh, kadangkala seperti tidak berbaloi. Pengangkutan awam biasanya untuk rakyat bawahan dan pertengahan. Keadaan itu tidak seperti di sini. Sistem pengangkutan awam mesra pengguna dan memudahkan mobiliti masyarakat.

Apabila rakan-rakan datang ke UK melalui Heathrow Airport, aku selalu sarankan agar menggunakan keretapi untuk ke Swansea atau ke destinasi lain. Pembelian tiket boleh diurus melalui internet bahkan lebih murah sehingga ada potongan 50%. Jika beli awal, mungkin dapat tiket yang lebih murah dan istimewa. Aku sendiri jika ada keperluan untuk ke London, lebih gemar menggunakan keretapi ataupun bas daripada menggunakan kereta. Setiap sejam ada saja bas atau keretapi untuk ke London dari tempat aku. Pengangkutan awam begini menggalakkan mobiliti masyarakat dari satu tempat ke satu tempat sama ada untuk melancong ataupun bekerja.

Walaupun kemudahan pengangkutan awam di UK memang jauh lebih maju berbanding dengan tanahair, namun kereta masih diperlukan untuk kegunaan harian. Sekurang-kurangnya bolehlah digunakan untuk membeli barang keperluan, menghantar anak ke sekolah jika waktu hujan. Masyarakat di sini sebenarnya dididik agar lebih suka menggunakan sistem pengangkutan awam.

Memiliki kereta memerlukan pembiayaan yang agak mahal walaupun secara umum harga kereta di sini murah. Honda Shuttle (Odyssey) keluaran 1995 bernilai kira-kira �1200 ataupun RM7000. Kereta biasanya boleh dibeli dengan harga �400 tetapi bergantung kepada jenis, tahun dan keadaan kereta. Namun, kereta yang berharga �400 itu sesuailah untuk digunakan harian. Jika untuk perjalanan jauh, kira agak berani juga. Insurans kereta di sini mahal. Ia bergantung kepada usia, lesen, rekod pemanduan, kapasiti enjin kereta dan juga kewarganegaraan. Bayaran insuran boleh dibayar secara sekaligus ataupun bulanan. Ini memudahkan sedikit untuk mengurangkan bebanan bayaran insuran kereta.

Membiayai kereta di sini mahal kerana upah membaiki kenderaan terlalu mahal. Kadangkala, upah membaiki lebih mahal daripada harga kereta itu sendiri. Oleh sebab itu, apabila berhadapan situasi begitu, tiada pilihan lain kecuali hantar kereta itu menjadi �besi buruk�! Sebuah kereta yang akan dibesiburukkan hanya bernilai lebih kurang �50 ataupun jika tidak bernasib baik terpaksa membayar kepada syarikat pelupusan.

Kereta rosak tidak boleh di parking di tepi jalan tanpa membayar cukai jalan. DVLA (JPJ di UK) akan menyaman serta mengangkut kereta tanpa cukai jalan jika didapati `parking� di tepi-tepi jalan. Mereka cukup tegas dalam hal penguatkuasaan undang-undang dan tiada tolak ansur dalam hal ini.

Setiap pelajar yang belajar di luar negeri diberikan satu permit untuk membawa kereta pulang dengan kadar cukai yang lebih rendah. Oleh itu, para pelajar yang akan tamat pengajian mereka akan mencari kereta idaman untuk dibawa pulang. Melalui elaun pengajian luar negara amat mencukupi untuk memiliki kereta mewah itu. Kadangkala, ada sesetengah di kalangan mereka sanggup melaksanakan langkah berjimat bagi memastikan ada tabungan untuk membeli kenderaan mewah. Tidak cukup dengan elaun, mereka akan bekerja siang malam!

meningkatkan imej

Apabila pulang menjadi seorang pensyarah di universiti, keperluan memiliki sebuah kereta mewah akan dianggap sebagai satu peningkatan imej dan ada prestij. Agak aneh jika seorang pensyarah yang mendapat Phd di sini pulang tanpa membawa kereta mewah. Seolah-olah kereta mewah itu sebahagian kesempurnaan menjadi seorang pensyarah berstatus PhD.

Pelajar-pelajar ijazah pertama biasanya kurang bernafsu untuk mendapatkan kereta mewah itu. Sebaliknya, pelajar di peringkat PhD dan Master, mereka akan sedaya upaya memiliki kereta mewah sebelum pulang ke tanah air. Sesetengahnya pula jual permit tersebut. Sekurang-kurangnya mereka mendapat RM7000 untuk satu permit itu. Bahkan, ada broker yang menjadi orang tengah untuk mencari pembeli dan penjual permit kereta import. Tidak sukar mencari kereta itu. Melalui internet, mereka boleh melayari web penjualan kereta terlaris di sini, iaitu E-bay. Kaedah penjualannya juga amat mudah sama ada melalui kaedah 'biding' atau 'buy now'.

Harga kereta di Malaysia masih mahal walaupun harga petrol meningkat. Ini kerana cukai yang dikenakan ke atas kereta import tinggi bagi melindungi pasaran kereta tempatan. Jika tidak dikenakan cukai yang tinggi, kereta nasional terpaksa bersaing dengan pasaran terbuka.

Walaupun kerajaan sedikit cuba melonggarkan dasar percukaian terhadap kereta import tetapi kerajaan masih berusaha memastikan pasaran kereta nasional tidak terjejas. Antaranya dengan memberikan kemudahan pinjaman kepada kaki tangan kerajaan yang ingin membuat pinjaman untuk membeli kereta nasional. Oleh itu, jalan yang paling mudah untuk memiliki kenderaan adalah memilih kereta nasional.

Memiliki kereta nasional bukan bermakna mereka minat pada kereta tersebut. Jika ada peluang, mereka akan mendapatkan kereta idaman tetapi harga yang tinggi menghalang selera. Ini tentu berbeza dengan pelajar-pelajar di luar negeri yang mendapat permit membawa kereta import masuk ke dalam negeri. Mercedes Benz Kompresor yang berharga RM100 ribu lebih di Malaysia boleh dibeli dengan harga RM50 ribu sahaja. Harga itu termasuk bayaran insuran, cukai import di pelabuhan dan kos pengangkutan. Oleh itu, kereta yang dianggap mewah itu sebenarnya tidaklah bermakna mewah. Ia lebih kepada andaian masyarakat yang meletakkan kereta berjenama Mercedes ataupun seumpamanya sebagai kereta mewah. Jika masyarakat tidak berfikiran demikian, kereta itu seperti juga kereta lain.

Ringkasnya, boleh dimiliki!- tajdid_

Sumber : Harakah Daily

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Blog Archive

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy