Wednesday, December 24, 2008

Mengapa Zahar Sertai PAS ?



http://buletinonline.net/images/berita15/zaharmasukpas.jpg

Kuala Terengganu
-
Bekas Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan, Kapten (B) Datuk Zahar Hashim hari ini sah menyertai PAS dengan menyerahkan borang keahliannya kepada Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa.





Penyertaan beliau turut disertai oleh 28 ketua cawangan dan 13 ahli jawatankuasa bahagian berkenaan dalam satu majlis khas yang diadakan di Ampang, pagi ini (24 Disember).

Dalam sidang medianya, Zahar berkata, beliau menyertai PAS kerana dasar perjuangan parti itu yang memperjuangkan kaum Melayu dan Islam.

"Bagi orang-orang Melayu yang mahu aktif dalam politik, kita tidak ada pilihan lain kerana Umno pada hari ini banyak berbeza dengan Umno dengan yang saya sertai 26 tahun dulu.


"Saya tidak terfikir untuk menyertai PAS kerana ia parti alternatif sebaliknya PAS adalah lebih baik dari Umno," katanya


Zahar berkata, keputusan untuk keluar daripada Umno dan menyertai parti pembangkang itu tidak ada kena-mengena dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti itu menggantung keahliannya selama tiga tahun berkuat kuasa 2 Disember lalu.

"Saya tahu kemasukan saya ke dalam PAS telah menimbulkan banyak spekulasi. Rata-rata media menganggap keputusan saya ini dibuat setelah saya digantung.

"Sebenarnya saya dan rakan-rakan di PJ Selatan sudah mula kecewa dengan Umno semasa berlaku peralihan pentadbiran di Selangor pada Mac atau April lalu lagi.


"Daripada situ, kita berbincang baik buruk kekal dalam Umno...mahu terus bersara dari politik atau menyertai parti lain. Tapi bila MT dah buat keputusan begitu (menggantung keahliannya), tak payah lah fikir lagi...kita terus keluar," katanya kepada akhbar internet mStar.


Zahar berkata, beliau sudah 'meluat' dengan Umno terutamanya di Selangor termasuk pelantikan Tan Sri Muhammad Muhd Taib sebagai Ketua Penerangan parti peringkat negeri dan Senator.


Sambil mengakui bahawa hubungan beliau yang pada satu ketika dahulu amat baik dengan Muhammad kini telah menjadi renggang, Zahar berkata, ia berlaku disebabkan sikapnya yang suka berterus terang dalam menyuarakan pendapatnya termasuk tindakan pemimpin itu yang kadangkala tidak dipersetujuinya.


Beliau berkata, pemimpin Umno tidak menitikberatkan tentang isu agama dan banyak keputusan yang dibuat parti itu tidak mengambil kira kepentingan rakyat.


"Secara terus terang, saya tidak menghormati pemimpin tertinggi dalam Umno. Banyak keputusan yang dibuat tidak mengambil kira keperluan dan kehendak rakyat khususnya orang-orang Melayu," katanya.


Ditanya sama ada kritikannya terhadap Umno ada kaitan dengan pembelian Eurocopter yang tidak memihak kepada syarikatnya, Mentari Services Sdn Bhd, Zahar berkata, hal itu memang dipertikaikannya berikutan pembelian Eurocopter tidak mengikut prosedur yang ditetapkan.


Beliau berkata, dengan penyertaannya hari ini ke dalam PAS, pejabat Umno di PJ Selatan akan menjadi pejabat PAS bahagian itu mulai esok.


Beliau percaya, baki 68 ketua cawangan bahagian itu akan turut sama menyertai PAS selepas pejabat parti itu mula beroperasi.


Beliau turut menafikan bahawa beliau menyertai PAS kerana inginkan jawatan sebaliknya beliau mahu menjadi sebahagian daripada jentera PAS yang memperjuangkan kepentingan Islam dan orang Melayu.


"Saya sebelum ini pernah ditawarkan untuk bertanding menjadi ahli Parlimen selama tiga penggal dan Speaker Dewan Undangan Negeri pada tahun 2007 tetapi saya menolaknya kerana merasakan peluang itu patut diberikan kepada orang lain," katanya. - Penulis asal : Zanariah Abd Muatlib


Sumber : buletin online

lagi->Tekan Disini dan disini

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Blog Archive

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy