Monday, April 20, 2009

Speaker Perak difitnah




Kenyataan Media YB V.Sivakumar pada 20 April 2009.


Speaker Difitnah Oleh Pihak Tidak Bertanggungjawab


Saya rasa terperanjat dengan berita yang disiarkan dalam Akhbar NST hari ini. Menurut Akhbar NST ada pihak yang mengatakan bahawa saya sedia maklum tentang Sidang DUN pada 7 Mei 2009 dan sayalah yang memberi arahan untuk mengeluarkan notis tersebut. Saya membantah sekeras-kerasnya fitnah yang dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Orang yang membuat kenyataan akhbar itu mengatakan bahawa saya ‘tipu’. Saya tidak akan membiarkan perkara ini. Ini merupakan satu lagi usaha untuk menjatuhkan maruah dan kredibiliti saya. Kalaulah tududah yang dibuat itu benar kenapa pula orang yang mengeluarkan kenyataan itu tidak berani memberi identitinya dalam akhbar. Kenapa hanya mengatakan sebagai orang yang ada kena-mengena dengan Pejabat Menteri Besar.

Saya tidak diberitahu tentang Persidangan 7 Mei 2009. Pada 16 April 2009 (Khamis) saya ada dengar maklumat daripada salah seorang ADUN bahawa sidang DUN akan diadakan pada 7 Mei 2009. Menurut beliau maklumat ini diperolehi daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai. Saya tidak tahu apa-apa tentang sidang DUN tersebuat sehingga hari itu. Saya mengharapkan perkara itu akan dimaklumkan kepada saya secepat yang mungkin. Pada keesokan harinya iaitu pada 17 April 2009 (Jumaat), saya telah menerima panggil telefon daripada beberapa orang ADUN untuk menanyakan tentang notis yang diterima oleh mereka. Saya rasa begitu marah kerana notis dikeluarkan tanpa pengetahuan saya. Notis telah dihantar ke Pejabat DAP untuk ahli-ahli Dewan Negeri DAP. Untuk ahli-ahli yang lain saya tidak ada maklumat bagaimana ia diserahkan.


Selepas itu, saya menghubungi Pejabat Speaker saya untuk menanyakan samada saya menerima apa-apa surat berkaitan Persidangan DUN pada 7 Mei 2009. Saya diberitahu bahawa satu notis telah dihantar ke pejabat saya lebih kurang jam 10 pagi. Notis yang sama telah dihantar oleh Setiausaha Dewan kepada semua ADUN-ADUN yang lain. Saya telah melihat notis itu lebih kurang 1 petang. Saya hanya berjumpa dengan Setiausaha Dewan En Abdullah Antong lebih kurang jam 3 petang selepas beliau balik daripada sembanyang Jumaat. Perjumapaan saya dengan Setiausaha Dewan itu adalah selepas notis dikeluarkan olehnya tanpa sebarang rundingan dengan saya.


Dalam perjumpaan informal itu, saya juga tidak melihat apa-apa dokumen daripada Istana yang mengesahkan persidangan pada 7 Mei 2009. Saya hanya diberitahu tentang persidangan itu selepas notis dikeluarkan dan bukan seperti mana yang dituduh dalam Akhbar NST. Saya akan membuat siasatan penuh mengenai maklumat palsu yang disiarkan dalam Akhbar NST hari ini. Tindakan ini amat memalukan dan mencemarkan nama saya sebagai Speaker Dewan Negeri Perak.


V.Sivakumar
Yang Dipertua Dewan Negeri
Perak Darul Ridzuan
http://speakforperak.blogspot.com/

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Blog Archive

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy