Thursday, September 3, 2009

Zaid Tidak Faham Risalah Pemuda


oleh : Ustaz Nasrudin Tantowi
(Ketua Pemuda PAS Pusat)


1. Saya tidak terperanjat apabila Dato' Zaid Ibrahim mempertikai kenyataan saya berkait bantahan Konsert Hiburan yang diadakan di Arena Star Genting Hingland pada pertengahan Ramadhan ini . Saya melihat beliau gagal memahami risalah yang cuba dibawa oleh Dewan Pemuda PAS Pusat .

2. Berkali telah kita tegaskan bahawa Dewan Pemuda PAS Pusat [ DPPP ] tidak anti hiburan bahkan di bawah seliaan DPPP , kita mempunyai satu agensi khas yang membawa hiburan alternatif.

3. Apa yang pemuda bantah ialah kelekaan , kealpaan , keterlaluan dalam penampilan pakaian dan gerak tari artis , pergaulan bebas dan lirik lagu yang memuja nafsu serta muzik yang hingar bingar mematikan jiwa .

4. Item yang saya sebutkan di atas tiada kena mengena dengan hiburan , sebaliknya ia adalah unsur negatif yang diterap ke dalam hiburan untuk mematikan jiwa , melemahkan aqal sekaligus menenggelamkan manusia dalam khayalan .

5. Hiburan pada konsep asalnya adalah untuk menyegar dan menyuburkan . Menceriakan hati yang gundah dengan menyajikan kepuasan yang abadi buka keseronokan yang tenggelam timbul malah membuatkan jiwa terus hanyut dibuai fantasi .

6. Justeru itu , hiburan mestilah mengambil kira pelbagai aspek seperti muzik , lirik , lagu agar tidak mendorong ke arah leka dan alpa . Sebagaimana kesesuaian hiburan juga harus diambil kira . Nabi saw pernah meminta para sahabat supaya memukul duff [ kompang ] untuk bergembira dan berhibur pada hari waliimatul urus agar hari gembira itu tidaklah menjadi sepi seperti majlis kematian .

7. Majlis kematian pula tentunya tidak sesuai untuk berhibur . Hiburan ini adalah positif tetapi jika berhibur tanpa mengira masa dan ketika ia dianggap keterlaluan . Antara masa dan ketika yang sangat tidak sesuai ialah Bulan Ramadhan sebagai bulan yang penuh dengan kemuliaan . Bulan di mana ummat Islam mengalih segala penumpuan dan mengambil segala kesempatan untuk memperbanyakkan koleksi ibadah mereka kepada Allah swt disamping merebut segala fadhilat yang diganjarkan Allah swt .

8. Saya kira tidak sukar untuk siapa sahaja untuk memahami risalah Pemuda PAS dalam perkara ini termasuk sdr Zaid Ibrahim jika dilihat dengan hati yang jernih dan semangat membangunkan jiwa ummah khasnya generasi muda hari ini dari kelalaian dan kealpaan lantaran kelalaian dan kelapaan inilah pintu kepada aneka kebinasaan .

9. Apa yang paling penting dalam sesuatu tindakan termasuk berhibur mesti jua dilihat kepada matlamat . Matlamat ini kelak akan memandu kita benar atau tidak dalam bertindak . Jika berhibur sekadar melepas lelah dan resah itu adalah suatu yang normal tetapi apabila hiburan menjadi satu kegilaan sehingga mereka sanggup meragut dan menyamun untuk mendapat wang guna ke kelab malam dan berhibur maka ia adalah musibah .

10. Peranan saya ialah menghidupkan jiwa anak muda bersama iman , amal soleh dan meruntun akhlak mereka dengan akhlak yang mulia disamping saya mendidik diri saya sendiri bersama rakan sepasukan di dalam Dewan pemuda PAS Pusat , sementara itu , tidaklah pula kami anti hiburan sehingga menentangnya secara membuta tuli .

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Blog Archive

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy