Friday, October 9, 2009

Saya Akan Bangkitkan Di Bagan Pinang !!!


Saya bersama Ketua AMK Cabang Semporna, Sabah tiba di Lapangan Terbang Hong Kong pada jam 9 malam. Saya mempunyai jadual yang agak padat di Hong Kong sebermula esok 2/10/2009. Selain ke Independent Commission Against Corruption (ICAC), North Point, Hong Kong pada jam 10 pagi, saya juga akan mengadakan pertemuan dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang berpusat di Hong Kong. Saya juga akan bersolat jumaat di Islamic Kasim Tuet Memorial College yang dipimpin oleh saudara Imam Yusuf C.W. Yu.

Pada 14 Ogos 2008 yang lalu, semasa kempen pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan penahanan seorang rakyat Malaysia bernama Michael Chia, confidante Musa Aman yang telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong kerana disyaki membawa wang haram di dalam matawang Singapura berjumlah RM 16 juta. ICAC kemudiannya telah membuka kertas siasatan terhadap Michael Chia. Melalui sumber dalaman, ICAC sedang menunggu maklumat tambahan bagaimana wang sebanyak itu boleh dibawa oleh seorang individu warganegara Malaysia.

RASUAH & KEPIMPINAN MENURUT ISLAM

Beberapa siri pendedahan telah dilakukan oleh pimpinan AMK Sabah mengenai bagaimana Michael Chia boleh memperolehi kekayaan seperti itu. Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat kemudiannya telah membuat laporan polis terhadap Michael Chia mengenai salah laku beliau yang telah disyaki memalsukan pelan kawasan pembalakan dan kemudiannya mengaut keuntungan mencecah jutaan ringgit. Laporan lanjut boleh didapati di www.sabahkini.net.

Oleh kerana tiada tindakan susulan yang diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beberapa pimpinan AMK Malaysia dan juga Sabah telah mencadangkan supaya laporan lanjut dikemukakan kepada ICAC. Saudara Khairul aka Jonah, Naib Ketua AMK telah mencadangkan untuk saya sendiri membuat laporan di ibu pejabat ICAC di North Point, Hong Kong. Pada hemat saya, sudah sampai masanya kita mengambil tindakan yang drastik untuk mencegah rasuah sehingga ke akar umbi walaupun terpaksa menggunakan agensi pencegahan rasuah daripada luar Malaysia !

Saya dimaklumkan oleh beberapa orang pegawai MAS, Musa Aman dan kroni-kroninya turut berlepas ke Hong Kong dan juga ke Australia jam 9 pagi tadi. Hari ini juga menyaksikan kes rasuah Michael Chia dibicarakan di Mahkamah Sesyen Sandakan, Sabah.

Walaupun kami agak bimbang dengan keselamatan diri, namun kami percaya sesuatu mesti dilakukan oleh rakyat Malaysia untuk menyelamatkan wang yang sepatutnya dipulangkan semula ke pangkuan rakyat Sabah. Insya Allah, isu ini tentunya akan saya bangkitkan di dalam kempen pilihanraya kecil di Bagan Pinang nanti.

Selamatkan wang rakyat !

SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
Kowloon, Hong Kong

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Blog Archive

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy