Monday, December 5, 2011

CIRI-CIRI ORANG MUNAFIK



Munafik ialah orang-orang yang berpura-pura keimanannya di mana pada zahirnya nampak beriman dengan lidahnya mengakui keesaan Allah dan kerasulan nabi Muhammad s.a.w sedangkan pada hakikat batinnya yang sebenar penuh dengan kekufuran dan kesesatan. Mereka menentang kebenaran dengan kebatilan, menjual petunjuk membeli kesatan, memilih kufur menolak iman, memperjuangkan bid'ah ganti daripada sunnah dan memilih azab daripada nikmat. Munafik terbahagi kepada 2 iaitu :

1. Munafik iktiqad iaiatu pegangan terhadap pokok persoalan iman bersikap dan bersifat nifaq atau penipuan maka golongan ini kekal dalam neraka, sekiranya mati tanpa bertaubat kepada Allah dan memperbetulkan semula iktiqadnya.

2. Munafiq amali iaitu amalan-amalan dalam ibadatnya bersifat nifaq atau penipuan seperti beramal kerana seseorang atau sesuatu selain Allah. Golongan ini melakukan dosa yang memerlukan agar bertaubat kepada Allah. Mereka akan dimasukkan ke syurga sesudah diazabkan dalam neraka.

Antara ciri-ciri munafiq

1. Berpenyakit hati Maksud firman Allah dalam ayat 10 surah al-Baqarah yang bermaksud : Dalam hati mereka ada penyakit. Maka Allah tambahkan lagi penyakit itu, kepada mereka dan mereka akan mendapat seksa yang pedih dengan sebab mereka berdusta terhadap kebenaran. Antara penyakit hati yang disebutkan dalam ayat itu ialah sebagaimana berikut :
a. Kebodohan diri sendiri di mana golongan munafik terlalu yakin bahawa segala kerja jahat mereka tidak akan diketahui dan disedari oleh orang mukmin sedangkan mereka lupa bahawa Allah mengetahui segala-galanya.
b. Tidak berpendirian di mana mereka sentiasa merasa cemas dan bimbang kepada suasana sekitar yang mana tetap akan kembali kepada Islam dengan pertolongan Allah dan akan terhapusnya kebatilan. Mereka sentiasa mencari jalan penghalang agar kebenaran dapat dikaburkan dan dipandang serong.
c. Menentang kebenaran iaitu dengan menghalang dan mengfitnah orang yang benar-benar berjuang di jalan Allah agar segala kejahatan dan penipuan mereka selama ini dengan menjual dan mencipta Islam palsu tidak terbongkar dan disedari oleh orang ramai.Benarlah firman Allah dalam ayat 64-65 surah at-Taubah yang bermaksud : Orang-orang munafik itu takut jika diturunkan kepada mereka satu surah yang memberitahu apa yang (tersembunyi) di hati mereka. Katakanlah kepada orang-orang munafik itu : "Ejeklah lagi! sesungguhnya Allah akan melahirkan apa yang kamu takutkan itu". Dan jika engkau tanyakan kepada mereka tentu mereka akan menjawab: " Kami hanya bercakapcakap dan bermain-main sahaja". Katakanlah :" Adakah Allah dan keterangan- keteranganNya serta rasulNya mahu kamu perolokolokkan?.."
d. Berperasaan syak terhadap agama Firman Allah dalam ayat 125 surah at-Taubah yang bermaksud : Dan adapun orang-orang yang berpenyakit dalam hati mereka, (hanyalah) menambah kekotoran bersama kekotoran mereka (yang sedia ada) dan mereka mati dalam keadaan kufur. Mereka sentiasa berperasaan syak terhadap kemampuan sistem Islam dalam menjamin kemajuan dan keadilan sepanjang zaman, syak tentang keamanan dan kestabilan jika pelaksaan hukum Islam dijalankan.

2. Melakukan kebinasaan di muka bumi Firman Allah dalam ayat 11-12 surah al-Baqarah yang bermaksud : Dan apabila dikatakan kepada mereka itu, janganlah kamu membuat kebinasaan (kemungkaran) di muka bumi mereka menjawab : "Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebajikan (untuk kepentingan manusia). Ketahuilah bahawa sesungguhnya mereka ialah sebenar-benar orang membuat kebinasaan (kemungkaran) tetapi mereka tidak menyedarinya. Golongan ini sentiasa merancang dan berusaha ke arah menjauhkan umat manusia daripada Islam yang menjamin keamanan sejagat melalui media massa, mendapat bantuan daripada kuffar termasuk yahudi dalam menghadapi kebangkitan gerakan Islam dan menggadaikan agama dengan menghinanya sehingga menakutkan orang belum Islam sehingga wujudnya suasana yang tegang dan takut kepada Islam. Mereka lebih gembira melihat keadaan yang penuh kekeliruan dan kekecohan daripada melihat bangkitnya Islam dengan kebenarannya.

3. Menuduh orang mukmin dengan bodoh dan tolol Firman Allah dalam ayat 13 surah al-Baqarah yang bermaksud : Dan tatkala dikatakan kepada mereka, berimanlah kamu sebagaimana orang ramai beriman. Jawab mereka : " Adakah patut kami beriman sebagaimana telah beriman orang-orang bodoh dan tolol itu?". Ketahuilah sesungguhnya merekalah orang-orang yang benar-benar bodoh dan tolol tetapi mereka tidak mengetahuinya. Mereka sanggup menghina ulama' yang lebih arif tentang Islam dan sanggup hina nabi s.a.w dan Islam itu sendiri kerana merasai bahawa mereka lebih cerdik dan pakar dalam bab agama dan keduniaan. Mereka berusaha menjadikan para mufti, qadhi dan ulama' sebagai orang yang patuh dan taat pada kejahilan mereka demi menjaga pangkat dan kedudukan mereka. Agama hanya digunakan untuk menangkis dan menyembunyikan penipuan mereka terhadap Islam. Mereka lebih rela meminta nasihat daripada orang kafir dan anti-hadis daripada menerima teguran daripada ulama' akhirat.

4. Kuat permusuhan dan bongkak dengan dosa Firman Allah dalam ayat 204-206 surah al-Baqarah yang bermaksud : Dan diantara manusia itu, ada setengahnya yang menyebabkan engkau tertarik hati kepada percakapan mereka (yang lunak dan menarik) semasa hidup di dunia. Dan dia bersumpah (dengan nama Allah bahawa segala yang dikatakan itu adalah benar) kepada Allah akan apa yang di dalam hatinya sedangkan dia sebenarnya orang yang paling kuat permusuhannya terhadapmu. Dan apabila ia berpaling (apabila mendapat hajatnya) berusahalah dia di muka bumi Allah untuk melakukan kerosakan dan kebinasaan, dirosakkannya tanaman dan ternakan dan Allah tidak menyukai kerosakan dan kebinasaan itu. Dan apabila dikatakan kepadanya : " Bertaqwalah kepada Allah". Maka timbullah kesombongannya dengan meneruskan melakukan dosa. Maka cukuplah neraka jahannam sebagai balasannya dan demi sesungguhnya neraka jahannam itu seburuk-buruk tempat balasan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Blog Archive

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy