Saturday, July 28, 2012

Pemuda Bersamamu 8.0 : Prihatin kami tak bertepi,membantu sekadar termampu

0 comments



Ramadhan kembali menjenguk. Menziarahi para mukmin untuk melimpahkan rahmat dari Ilahi. Masing-masing berlumba-lumba melakukan kebajikan. Pemuda DUN Sura juga tidak ketinggalan untuk turut sama mengejar segala ganjaran kebaikan yang dijanjikan oleh Allah Taala kepada pencinta kebaikan. Ramadhan 1433H; Program Pemuda Bersamamu sudah masuk Musim Ke - 8.

Program kebajikan yang bertujuan melihat penduduk yang kurang berkemampuan sekitar kawasan ini mampu untuk sama-sama menguntum senyum menyambut kedatangan Ramadhan dan Aidilfitri yang bakal menyusul. Program yang bukan lagi suatu yang asing bagi penduduk di sini adalah satu usaha menyahut seruan Baginda Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam: " Sesiapa yang meringankan beban penderitaan seorang Mukmin di dunia, pasti Allah akan meringankan beban penderitaannya di akhirat kelak. Sesiapa yang memudahkan orang dalam keadaan susah, pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat. Sesiapa yang menutup aib seorang Muslim pasti Allah akan menutup (aibnya) di dunia dan di akhirat. Dan Allah akan selalu menolong hambaNya selama mana hamba tersebut menolong saudaranya..."


Para ulama' sentiasa berpesan: sebagaimana Baginda Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam diturunkan oleh Allah Taala sebagai rahmat atas sekalian alam; maka umat Baginda juga berperanan untuk menjadi penyebar rahmat Ilahi ini. Baginda mengingatkan kepada umatnya: " Sesiapa yang tidak mengambil cakna mengenai perihal muslim yang lain, sesungguhnya dia bukanlah termasuk dalam kalangan umatku" 


Pemuda Bersamamu adalah satu program kebajikan anjuran Pemuda PAS DUN Sura mengagihkan barang-barang keperluan termasuk sedikit wang belanja sepanjang Ramadhan dan Syawal ini untuk kegunaan golongan kurang berkemampuan yang terpilih tanpa mengira fahaman politik. Golongan-golongan yang menjadi pilihan untuk dibantu adalah golongan yang sedang menderita kerana sakit, faqir, miskin, ibu tunggal termasuk anak-anak yatim. 


Program kali ini mensasarkan 190 penerima seluruh DUN Sura. Program tahunan ini dirancang awal dan mendapat komitmen yang tinggi daripada seluruh ahli jawatankuasa program yang terdiri daripada tenaga JPC di setiap cawangan dalam Dun Sura dengan dipandu oleh Saudara Muhammad Amri selaku pengarah program. 


Kerja-kerja mengumpul dana tabung Pemuda Bersamamu Musim Ke - 8 telah giat dijalankan bermula daripada sebelum Ramadan lagi. Kali ini, Markaz Pemuda Dun Sura telah dipilih sebagai pusat operasi program ini. Pengagihan sumbangan dijangka akan dibuat secara langsung terus ke rumah penerima yang telah dijadualkan pada 22 Ramadhan ini bersamaan 11 Ogos 2012. 




Bagi memastikan kejayaan program yang dirancang ini, seluruh jawatankuasa program mengharapkan bantuan sekadar termampu daripada sesiapa yang berminat untuk menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban saudara kita yang dhaif. Segala sumbangan berupa wang tunai atau beras bolehlah dihulurkan kepada: 
URUSETIA PEMUDA BERSAMA MU 8.0 
PEJABAT PAS MAJLIS TINDAKAN DUN SURA,
LOT 1251, JALAN NIBONG, KAMPUNG MOLEK, 
23000 DUNGUN, TERENGGANU. 
(up : USTAZ MOHD HANAFIAH HITAM ~ 013-9819543)
atau melalui akaun bersama :
BANK ISLAM MALAYSIA BERHAD (BIMB) CAW. DUNGUN
NO AKAUN       : 13044010016883
PENAMA           : TENGKU MOHD HISHAM TENGKU AMBAK, ISMAZI ISMAIL, SHAFIEE EMBONG


atau menghubungi :
Ketua Kebajikan Pemuda Dun Sura, sdra Shaikh Salmin (019-9808903) @ Bendahari program,sdra Shahir (012-9383859)

Harapan untuk melihat kejayaan program ini dan manfaat yang akan dirasai oleh golongan yang kurang bernasib baik amatlah tinggi sekurang-kurangnya mereka turut merasa kemeriahan Hari Raya yang bakal disambut nanti dengan menerima sedikit sumbangan yang tidak seberapa daripada golongan yang lebih bernasib baik dan pemuda Dun Sura sekadar menjadi penggerak sukarela semampunya. 


" Prihatin kami tidak bertepi, membantu sekadar termampu "
Read full story

Friday, July 27, 2012

AMALAN SEDEKAH PALING AFDHAL PADA BULAN RAMADHAN.

0 comments
AMALAN bersedekah amat dianjurkan Islam dan akan mendapat ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT.

Rasulullah SAW sentiasa menunjukkan teladan kepada umatnya dalam perbuatan bersedekah. Sabda Rasulullah yang bermaksud, “Jagalah kalian dari neraka, meskipun hanya dengan separuh kurma.’ (Hadis Bukhari).

Di sini jelas kepada kita bahawa Islam sangat menekankan kepada amalan bersedekah dan nilai sedekah itu tidaklah hanya tertakluk kepada banyaknya yang dihulurkan seseorang, akan tetapi terletak pada nilai keikhlasan niat di hati.

Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang bersedekah sebesar biji kurma dari hasil yang baik dan Allah SWT hanya menerima sesuatu yang baik saja. Nescaya Allah SWT akan menerimanya dengan tangan kanan-Nya, lalu memeliharanya untuk diberikan kepada pemiliknya sebagaimana salah seorang daripada kalian memelihara anak kudanya hingga (pahala sedekahnya itu) menjadi seperti gunung”. (Hadis Bukhari).



Begitulah indahnya ajaran Islam yang menggalakkan umatnya bersedekah dan Allah SWT sendiri menjamin pahala untuk orang yang mengamalkannya sebagai agenda kehidupan mereka.

Menyentuh aspek bersedekah, Islam tidak pernah mengehadkan tempoh masa malahan boleh dilaksanakan pada bila-bila masa saja mengikut kemampuan seseorang. Namun demikian, amalan bersedekah yang paling afdal di sisi Allah SWT ialah ketika bulan Ramadan.

Ini dapat kita perhatikan menerusi satu hadis Nabi bermaksud, dari Ibnu Abbas, berkata: “Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan dan lebih besar kedermawannya pada bulan Ramadan ketika Jibril menemuinya. Jibril biasanya menemuinya setiap malam Ramadan, lalu tadarus al-Quran (dengan Nabi SAW). Sungguh Rasulullah ketika ditemui Jibril menjadi orang yang lebih bermurah hati dalam memberikan kebaikan, sehingga lebih banyak daripada tiupan angin.’ (Hadis Bukhari dan Muslim)

Jadi berasaskan kepada hadis itu dapat disimpulkan bahawa kita sebagai umat Islam sangat dituntut dalam membudayakan amalan bersedekah, lebih-lebih semasa menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan yang penuh berkat itu.
Read full story

Monday, July 23, 2012

Pemuda DUN Sura Jayakan Agihan Kurma Sempena Ramadhan Di Pasar Besar Dungun

0 comments

DUNGUN 23 Julai, Isnin - Menjelang program Pemuda Bersamamu Musim ke-8 yang juga akan berlangsung di bulan Ramadhan ini, tenaga pemuda DUN Sura turun ke Pasar Besar Dungun mengiringi ADUN Sura merangkap YDP PAS Kawasan Dungun, Y.B. Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli dan Pengarah MTD Sura, Haji Wan Hapandi Nik dalam siri agihan kurma kepada para peniaga muslim.
Bermula dengan satu tugasan segera sehari sebelumnya, para pemuda DUN Sura meneruskan gaya kerja berpasukan selaku sayap penting yang bakal mempertahankan kemenangan DUN Sura dalam PRU-13 akan datang.

seterusnya...di sini.
Read full story

Sunday, July 22, 2012

Selamat Datang Bulan Jihad, Bulan Tarbiyah – TG Hj Nik Zawawi Nik Salleh

0 comments
RUSILA, 19 JULAI: Seluruh pemuda PAS Terengganu bertuah kerana berkesempatan untuk mendengar taujihat dan motivasi persiapan Ramadhan oleh Al-Fadhil Tuan Guru Hj Nik Zawawi Nik Salleh di Masjid Rusila, Khamis lalu.

Beliau hadir menyampaikan ucapan perasmian sekaligus melancarkan Bulan Tarbiyah anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu. Kehadiran beliau telah mengubat hati seluruh pemuda yang hadir setelah YB Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang tidak dapat bersama-sama dalam majlis untuk melancarkan Bulan Tarbiyah DPPNT Tahun 1433H.


“ Pertama-tamanya marilah kita meletakkan perasaan syukur yang amat sangat kepada Allah Subhanahu Wa Taala yang memberi keizinan kepada kita –insyaallah- untuk kita bersama-sama dengan Ramadhan Al-Mubarak pada tahun ini. Barangkali kalau kita renung, ramai dalam kalangan pemuda ataupun orang yang berumur yang tidak diizin oleh Allah Subhanahu Wa Taala menyambut Ramadhan pada tahun ini. (Sedangkan) Mereka bersama-sama kita menyambut Ramadhan pada tahun lepas. ”, ujar beliau memulakan ucapan.

 " Kelebihan yang berada dalam bulan Ramadhan ini terlalu besar. Kelebihan yang hanya dianugerah oleh Allah kepada umat Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam. Walaupun ibadat puasa ini difardhukan oleh Allah Subhanahu Wa Taala sejak daripada zaman sebelum Rasulullah sebagaimana firman Allah Taala dalam surah al-Baqarah. Kita mesti ingat kelebihan yang diberi kepada umat Muhammad sangat berbeza dengan sekalian umat yang lain sehingga Nabi Sollallahu'alaihiwasallam menyebut dalam hadis baginda janji keampunan kepada mereka yang menyempurnakan ibadah puasa dengan penuh keimanan dan ihtisab"

Beliau turut menarik perhatian seluruh pemuda supaya memahami hakikat Ramadhan yang dilalui sepanjang tahun. Ramadhan yang difardhukan oleh Allah mempunyai makna yang tersendiri dalam membina jati diri pejuang agama Allah Taala.

" Apakah  dia ibadat Ramadhan yang difardhukan oleh Allah Subhanahu Wa Taala kepada kita? Bagaimana cara kita menyambut Ramadhan? Bagaimana cara kita mentarbiyah, mendidik diri kita di dalam Bulan Ramadhan yang dipanggil sebagai ' Madrasatun Tarbawiyyah'?" soal beliau membuka minda para pemuda untuk menghayati erti Ramadhan.

Arahan Ketua DPPP Buat Seluruh Pimpinan Pemuda Semua Peringkat

" Satu institusi yang mendidik dan membentuk jiwa manusia supaya manusia mengenali Allah dan dalam waktu yang sama manusia mengenali diri mereka sendiri. Kelebihan Ramadhan sangat banyak sehingga kita melihat Nabi Sollallahu'alaihiwasallam mentafsirkan kepada kita Syahru Ramadhan melalui praktikal Rasulullah"

" Allah Subhanahu Wa Taala menjadikan sepanjang perjalanan Islam yang diterjemahkan oleh Rasulullah secara amali, secara praktikal selama 23 tahun. Peperangan yang pertama yang berlaku dalam Islam iaitu Peperangan Badar; Allah mentakdirkan berlaku di dalam Bulan Ramadhan. Allah Taala telah menetapkan sejak dari azali bahawa peperangan pertama di dalam Islam berlaku dalam Bulan Ramadhan", tegas beliau membangkitkan semangat anak pemuda dalam menghadapi Ramadhan.

 " Disusuli dengan Peperangan Ahzab walaupun kemuncak Peperangan Ahzab berlaku di dalam Bulan Syawal tetapi persiapan yang menggugat jiwa orang yang tidak kuat iman kepada Allah semuanya berlaku dalam Bulan Ramadhan. Peristiwa menggali parit, peristiwa bagaimana umat Islam menerima tamparan hebat daripada ucapan golongan munafiqin apabila golongan ini mengatakan Islam tidak akan menang kali ini"
Read full story

Sekitar Majlis Pelancaran Bulan Tarbiyah DPPNT

0 comments
RUSILA, 19 JULAI: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) telah menganjurkan Majlis Pelancaran Bulan Tarbiyah di Masjid Rusila Marang.

Majlis yang pada asalnya dijangka akan dirasmikan oleh YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS telah dirasmikan oleh Setiausaha Majlis Syura Ulama’ PAS Pusat, Al-Fadhil Tuan Guru Hj Nik Zawawi Nik Salleh. Tuan Guru Presiden tidak dapat merasmikan program tersebut kerana baru tiba daripada siri lawatan beliau ke Mesir dan Morocco. 


Majlis bermula dengan solat Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Al-Fadhil Tuan Guru Hj Nik Zawawi Nik Salleh, Ketua Penerangan BPPNT. Sebaik sahaja selesai solat sunat ba’diah Maghrib, majlis pelancaran diteruskan dengan ucapan alu-aluan pengerusi majlis yang juga Ketua Lajnah Tarbiyah DPPNT, Us Kamaruzzaman Abdullah. Beliau mengajak seluruh hadirin supaya bersyukur kerana berkesempatan untuk bersama seorang tokoh ulama’ muda walaupun tidak dapat bersama Tuan Guru Presiden. Beliau turut mengharapkan supaya kedatangan bulan Ramadhan akan menguatkan lagi roh anak muda untuk berjuang menegakkan agama Allah Taala.

Selepas itu, ucapan disampaikan oleh Al-Fadhil Us Mohd Nor Hamzah selaku Ketua DPPNT bagi mewakili DPPNT yang menganjurkan majlis tersebut. Beliau terlebih dahulu merakamkan rasa syukur kerana DPPNT berjaya menghimpunkan anak muda untuk bersama-sama menghidupkan Ramadhan sebagai bulan tarbiyah. Selain itu, beliau turur bersyukur kerana kehadiran al-Fadhil Tuan Guru Hj Nik Zawawi sebagai tokoh pelapis bagi menggantikan tuan guru-tuan guru dalam PAS yang semakin lanjut usianya.

Para pemuda turut diingatkan bahawa  Ramadhan adalah bulan untuk kita mendidik segala yang berada pada tubuh kita samada jasmani mahupun rohani untuk tunduk kepada Allah Taala. Pemuda sepatutnya menjadi wakil PAS untuk bertemu seluruh pemuda-pemuda bagi memahamkan mereka betapa pentingnya tarbiyah. Walaupun secara zahir, kita dilihat berada dalam keadaan serba kekurangan pada zahirnya, kita tetap mempunyai peluang menguasai arena jihad ini dengan bekalan taqwa kepada Allah Taala. Istimewanya apabila Ramadhan hadir untuk membuahkan rasa taqwa dalam diri seluruh pejuang agama Allah Taala.

Acara kemuncak merupakan ucapan perasmian oleh Al-Fadhil Tuan Guru Hj Nik Zawawi Salleh. Beliau menceritakan mengenai peristiwa-peristiwa perang yang berlaku sepanjang Ramadhan. Bulan Ramadhan merupakan satu bulan yang disusun oleh Allah untuk kita menjadi semakin kuat, bukannya semakin lemah. Maka, bolehlah dikira Ramadhan adalah Bulan Jihad.

Selesai perasmian, seluruh hadirin menunaikan solat Isyak berjemaah yang diimamkan oleh Ketua DPPNT, Us Mohd Nor Hamzah. Majlis berakhir dengan bacaan Ma'thurat yang dipimpin oleh Naib Ketua DPPNT, Us Kamaruzzaman Abdullah.
Read full story

Tuesday, July 17, 2012

XPDC Gateh 2012 : Sepintas lalu

0 comments

14 Julai 2012 : Bukit Bauk


13 Julai 2012 : Darul Bayan,Pinang Merah

13 Julai 2012 : Hutan Lipur Air Menderu


(Klik gambar utk lebih jelas)
Sepintas lalu je...banyak lagi selepas ini
Read full story

Thursday, July 12, 2012

Diskusi Buku Bingkisan Fikrah Pejuang

0 comments

Lajnah Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Kawasan Dungun akan menganjurkan satu program Diskusi Buku: ' Bingkisan Fikrah Pejuang' pada 16 Julai 2012, Hari Isnin Selepas Maghrib. Muslimin msulimat dijemput hadir.

Biodata Pendiskusi:

Syeikh Muhd Zainul Asri bin Mohd Ramli adalah Mudir Pusat Pengajian Darul Hadis - Yayasan PAKSI.

Pengajian:

- Maktab Mahmud, Alor Setar
- Madrasah Al-Latifiah (Keroh)
- Universiti Al-Azhar (Fakulti Usuluddin - Hadis)
- Darul Ifta', Kaherah, Mesir.

Setiausaha Dewan Ulama' PAS Negeri Kedah
AJK Dewan Ulama' PAS Pusat
Read full story

Wednesday, July 11, 2012

XPDC Gateh PAS Ganti Umno

0 comments
XPDC berbasikal ke Hutan Lipur Menderu, Kg Chabang, Kerteh. (45 km dr Dungun)


Read full story

Saturday, July 7, 2012

CARA SYAITAN MENELANJANGI KAUM HAWA....

0 comments
Syaitan dalam menggoda manusia memiliki berbagai cara strategi, dan yang sering dipakai adalah dengan memanfaatkan hawa nafsu, yang memang memiliki kecenderungan mengajak kepada keburukan (ammaratun bis su'). Syaitan seakan mengetahui kecenderungan nafsu kita, dia terus berusaha agar manusia keluar dari garis yang telah ditentukan Allah, termasuk melepaskan hijab atau pakaian muslimah.

Berikut adalah cara bertahap:

I. Menghilangkan Definisi Hijab
Dalam tahap ini syaitan membisikkan kepada para wanita, bahawa pakaian apapun termasuk hijab (penutup) itu tidak ada kaitannya dengan agama, ia hanya sekadar pakaian atau gaya hiasan bagi para wanita. Jadi tidak ada pakaian syar'i, pakaian, dengan apa pun bentuk dan namanya tetap pakaian.

Sehingga akibatnya, ketika zaman telah berubah, atau kebudayaan manusia telah berganti, maka tidak ada masalah pakaian ikut ganti juga. Demikian pula ketika seseorang berpindah dari suatu negeri ke negeri yang lain, maka harus menyesuaikan diri dengan pakaian penduduknya, apapun yang mereka pakai. Berbeza halnya jika seorang wanita berkeyakinan, bahawa hijab adalah pakaian syar'i (identiti keislaman), dan memakainya adalah ibadah bukan sekadar gaya ( fesyen ). Biarpun hidup bila saja dan di mana saja, maka hijab syar'i tetap dipertahankan.

Apabila seorang wanita masih bertahan dengan prinsip hijabnya, maka syaitan beralih dengan strategi yang lebih halus. Caranya?

Pertama, Membuka Bahagian Tangan
Telapak tangan mungkin sudah kebiasaannya terbuka, maka syaitan membisikkan kepada para wanita agar ada sedikit peningkatan model yakni membuka bahagian hasta (siku hingga telapak tangan). "Ah tidak apa-apa, kan masih pakai jilbab dan pakai baju panjang? Begitu bisikan syaitan. Dan benar si wanita akhirnya memakai pakaian model baru yang menampakkan tangannya, dan ternyata para lelaki melihatnya juga seperti biasa saja. Maka syaitan berbisik," Tu.. tidak apa-apa kan?

Kedua, Membuka Leher dan Dada
Setelah menampakkan tangan menjadi kebiasaan, maka datanglah syaitan untuk membisikkan perkara baru lagi. "Kini buka tangan sudah menjadi lumrah, maka perlu ada peningkatan model pakaian yang lebih maju lagi, yakni terbuka bahagian atas dada kamu." Tapi jangan sebut sebagai pakaian terbuka, hanya sekadar sedikit untuk mendapatkan hawa, agar tidak panas. Cubalah! Orang pasti tidak akan peduli, sebab hanya sebahagian kecil sahaja yang terbuka.

Maka dipakailah pakaian fesyen terbaru yang terbuka bahagian leher dan dadanya dari yang fesyen setengah lingkaran hingga yang fesyen bentuk huruf "V" yang tentu menjadikan lebih terlihat lagi bahagian sensitif lagi dari dadanya.

Ketiga, Berpakaian Tapi Telanjang
Syaitan berbisik lagi, "Pakaian mu hanya gitu-gitu saja, yak "cool" cari fesyen atau bahan lain yang lebih bagus! Tapi apa ya? Si wanita berfikir. "Banyak fesyen dan kain yang agak tipis, lalu bentuknya
dibuat yang agak ketat biar lebih sedap/cantik dipandang," syaitan memberi idea baru.

Maka tergodalah si wanita, di carilah fesyenpakaian yang ketat dan kain yang tipis bahkan transparent. "Mungkin tak ada masalah, kan potongan pakaiannya masih panjang, hanya bahan dan fesyennya saja yang agak berbeza, biar nampak lebih feminin," begitu dia menokok-nambah. Walhasil pakaian tersebut akhirnya membudaya di kalangan wanita muslimah, makin hari makin bertambah ketat dan transparent, maka jadilah mereka wanita yang disebut oleh Nabi sebagai wanita kasiyat 'ariyat (berpakaian tetapi telanjang).

Keempat, Agak di Buka Sedikit
Setelah para wanita muslimah mengenakan pakaian yang ketat, maka syaitan datang lagi. Dan sebagaimana biasanya dia menawarkan idea baru yang sepertinya "cool" dan "vogue", yakni dibisiki wanita itu, "Pakaian seperti ini membuat susah berjalan atau duduk, soalnya sempit, apa tak sebaiknya di belah hingga lutut atau mendekati paha?" Dengan itu kamu akan lebih selesa, lebih kelihatan lincah dan energik." Lalu dicubalah idea baru itu, dan memang benar dengan dibelah mulai dari bahagian bawah hingga lutut atau mendekati paha ternyata membuat lebih selesa dan leluasa, terutama ketika akan duduk atau naik kenderaan. "Yah.... tersingkap sedikit tak apa-apa lah, yang penting enjoy," katanya.

Inilah tahapan awal syaitan merosak kaum wanita, hingga tahap ini pakaian masih tetap utuh dan panjang, hanya fesyen, corak, potongan dan bahan saja yang dibuat berbeza dengan hijab syar'i yang sebenarnya. Maka kini mulailah syaitan pada tahap berikutnya.

 II. Terbuka Sedikit Demi Sedikit
Kini syaitan melangkah lagi, dengan tipu daya lain yang lebih "power", tujuannya agar para wanita menampakkan bahagian aurat tubuhnya.

Pertama, Membuka Telapak Kaki dan Tumit
Syaitan Berbisik kepada para wanita, "Baju panjang benar-benar tidak selesa, kalau hanya dengan membelah sedikit bahagiannya masih kurang leluasa, lebih elok kalau dipotong sahaja hingga atas mata kaki." Ini baru agak longgar. "Oh...... ada yang yang terlupa, kalau kamu pakai baju sedemikian, maka jilbab yang besar tidak sepadan lagi, sekarang kamu cari jilbab yang kecil agar lebih serasi dan sepadan, ala....... orang tetap menamakannya dengan jilbab."

Maka para wanita yang terpengaruh dengan bisikan ini terburu-buru mencari fesyen pakaian yang dimaksudkan. Tak ketinggalan kasut tumit tinggi, yang kalau untuk berjalan, dapat menarik perhatian
orang.

Kedua, Membuka Seperempat Hingga Separuh Betis
Terbuka telapak kaki telah biasa ia lakukan, dan ternyata orang yang melihat juga tidak begitu ambil peduli. Maka syaitan kembali berbisik, "Ternyata kebanyakan manusia menyukai apa yang kamu lakukan, buktinya mereka tidak ada reaksi apa-apa, kecuali hanya beberapa orang. Kalau langkah kakimu masih kurang leluasa, maka cubalah kamu cari fesyen lain yang lebih menarik, bukankah kini banyak skirt separuh betis dijual di pasaran? Tidak usah terlalu terdedah, hanya terlihat kira-kira sepuluh centimetre saja." Nanti kalau sudah biasa, baru kamu cari fesyen baru yang terbuka hingga separuh betis."

Benar-benar bisikan syaitan dan hawa nafsu telah menjadi penasihat peribadinya, sehingga apa yang saja yang dibisikkan syaitan dalam jiwanya dia turutkan. Maka terbiasalah dia memakai pakaian yang
terlihat separuh betisnya kemana saja dia pergi.

Ketiga, Terbuka Seluruh Betis
Kini di mata si wanita, zaman benar-benar telah berubah, syaitan telah berhasil membalikkan pandangan jernihnya. Terkadang si wanita berfikir, apakah ini tidak menyelisihi para wanita di masa
Nabi dahulu. Namun bisikan syaitan dan hawa nafsu menyahut, "Ah jelas tidak, kan sekarang zaman sudah berubah, kalau zaman dulu para lelaki mengangkat pakaiannya hingga setengah betis, maka
wanitanya harus menyelisihi dengan menjulurkannya hingga menutup telapak kaki, tapi kini lain, sekarang banyak lelaki yang menurunkan pakaiannya hingga bawah mata kaki, maka wanitanya harus menyelisihi mereka iaitu dengan mengangkatnya hingga setengah betis atau kalau perlu lebih ke atas lagi, sehingga nampak seluruh betisnya."

Tetapi? apakah itu tidak menjadi fitnah bagi kaum lelaki," bersungut. "Fitnah? Ah...... itu kan zaman dulu, di masa itu kaum lelaki tidak suka kalau wanita menampakkan auratnya, sehingga wanita-wanita mereka lebih banyak di rumah dan pakaian mereka sangat tertutup. Tapi sekarang sudah berbeza, kini kaum lelaki kalau melihat bahagian tubuh wanita yang terbuka, malah senang dan mengatakan ooh atau wow, bukankah ini bererti sudah tidak ada lagi fitnah, kerana sama-
sama suka? Lihat saja fesyen pakaian di sana-sini, dari yang di pasar malam hingga yang berjenama di pusat membeli belah, semuanya memperagakan fesyen yang dirancang khusus untuk wanita maju di zaman ini. Kalau kamu tidak mengikutinya, akan menjadi wanita yang ketinggalan zaman."

Demikianlah, maka pakaian yang menampakkan seluruh betis akhirnya menjadi kebiasaan, apalagi ramai yang memakainya dan sedikit sekali orang yang mempersoalkannya. Kini tibalah saatnya syaitan melancarkan tahap terakhir dari tipu dayanya untuk melucuti hijab wanita.

III. Serba Mini
Setelah pakaian yang menampakkan betis menjadi pakaian sehari-harian dan dirasa biasa-biasa saja, maka datanglah bisikan syaitan yang lain. "Pakaian memerlukan variasi, jangan yang itu-itu saja, sekarang ini fesyen skirt mini, dan agar sepadan, rambut kepala harus terbuka, sehingga benar-benar kelihatan indah."

Maka akhirnya skirt mini yang menampakkan bahagian bawah paha dia pakai, bajunya pun bervariasi, ada yang terbuka hingga lengan tangan, terbuka bahagian dada sekaligus bahagian punggungnya dan berbagai fesyen lain yang serba pendek dan mini. Koleksi pakaiannya sangat beraneka ragam, ada pakaian untuk berpesta, bersosial, pakaian kerja, pakaian resmi, pakaian malam, petang, musim panas, musim sejuk dan lain-lain, tak ketinggalan seluar pendek separuh paha pun dia miliki, fesyen dan warna rambut juga ikut bervariasi, semuanya telah dicuba. Begitulah sesuatu yang sepertinya mustahil untuk dilakukan, ternyata kalau sudah dihiasi oleh syaitan, maka
segalanya menjadi serba mungkin dan diterima oleh manusia.

Hingga suatu ketika, muncul idea untuk mandi di kolam renang terbuka atau mandi di pantai, di mana semua wanitanya sama, hanya dua bahagian paling ketara saja yang tersisa untuk ditutupi, kemaluan dan buah dada. Mereka semua mengenakan pakaian yang sering disebut dengan "bikini". Kerana semuanya begitu, maka harus ikut begitu, dan na'udzubillah bisikan syaitan berhasil, tujuannya tercapai, "Menelanjangi Kaum Wanita."

Selanjutnya terserah kamu wahai wanita, kalian semua sama , telanjang di hadapan lelaki lain, di tempat umum. Aku berlepas diri kalau nanti kelak kalian sama-sama di neraka. Aku hanya menunjukkan jalan, engkau sendiri yang melakukan itu semua, maka tanggung sendiri semua dosamu" Syaitan tak ingin ambil risiko.

Penutup
Demikian halus, cara yang digunakan syaitan, sehingga manusia terjerumus dalam dosa tanpa terasa. Maka hendaklah kita semua, terutama orang tua jika melihat gejala menyimpang pada anak-anak gadis dan para wanita kita sekecil apapun, segera secepatnya diambil tindakan. Jangan biarkan berlarut-larutan, kerana kalau dibiarkan dan telah menjadi kebiasaan, maka sakan menjadi sukar bagi kita untuk mengatasinya. Membiarkan mereka membuka aurat bererti merelakan mereka mendapatkan laknat Allah, kasihanilah mereka, selamatkan para wanita muslimah, jangan jerumuskan mereka ke dalam kebinasaan yang menyengsarakan, baik di dunia mahupun di akhirat.

Wallahu a'lam bisshawab.

Sumber idea dan buah fikiran:
Kitab "At ta'ari asy syaithani", Adnan ath-Thursyah
Read full story

Thursday, July 5, 2012

Pemuda Mesti Sanggup Dan Bersedia Ditarbiyah

0 comments
oleh : Lajnah Tarbiyah Pemuda Dun Sura


KAMPUNG MOLEK : Pemuda DUN Sura telah berkesempatan menjemput Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu (DPPNT), Al-Fadhil Ustaz Kamaruzzaman Abdullah untuk menyampaikan motivasi khusus bertajuk 'Kepentingan Tarbiyah' kepada seluruh pemuda DUN Sura baru-baru ini. 

Program yang diadakan di Surau Kubur, Kampung Molek itu terlebih dahulu bermula dengan majlis berbuka puasa bersama jawatankuasa pemuda DUN Sura bagi membina jiwa pemuda yang sentiasa terdedah dengan hembusan roh tarbiyah yang berterusan.

Al-Fadhil Ustaz Kamaruzzaman dalam mukaddimah taujihatnya memperingatkan para pemuda bahawa kita sebagai hamba mestilah mengikut segala peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah Taala dalam kehidupan ini. Allah menilai seseorang bukanlah disebabkan paras rupanya yang cantik tetapi melalui hatinya yang bersih sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam.

Sirah turut merakamkan seseorang yang hitam seperti Bilal, Khabab dan perempuan yang sentiasa menyapu masjid Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam termasuk antara yang dijamin syurga. Beliau mengingatkan bahawa pemuda PAS mestilah sentiasa bersedia untuk menjadi orang yang ditarbiyah bagi membina jiwa-jiwa pejuang agama Allah. Bahkan, Rasulullah sendiri menghadapi suatu tempoh tarbiyah khusus daripada Allah Taala sebelum dibangkitkan dan dilantik sebagai Rasul utusan Allah pada usianya 40 tahun. 


"Oleh sebab itulah, dalam kehidupan Nabi, Allah telah mentarbiyah Nabi. (Nabi pernah bersabda): Tuhanku yang mendidikku, dan aku menerima sebaik-baik didikan. Allah sendiri mentarbiyah Nabi. Tarbiyah yang diberikan oleh Allah adalah sebaik-baik tarbiyah" tegas beliau yang juga Ketua Lajnah Tarbiyah DPPNT. Di samping itu, beliau juga menegaskan bahawa istiqamah adalah perkara yang penting dalam perjuangan ini.


Dalam kitab-kitab terdahulu, 3 nama iaitu Barsiso, Bal'am dan Sa'labah antara tiga cerita masyhur yang diuji dengan penghujung yang buruk walaupun sebelumnya dikenali dengan seorang yang sangat hebat mendidik manusia lain mengenali Allah Taala. Nabi Sollallahu'alaihiwasallam menerima tarbiyah jangka pendek dan jangka panjang daripada Allah.


Nabi telah diuji dengan ketiadaan bapanya sendiri ketika masih dalam kandungannya. Manakala ibunya meninggal selepas 6 tahun diikuti dengan datuknya 2 tahun selepas itu. Semasa kecil, beliau mengembala kambing kemudian mengikuti bapa saudaranya Abu Talib berniaga. semuanya terselit unsur-unsur tarbiyah yang tersendiri daripada Allah sebelum memikul amanah sebagai seorang Utusan Allah.


"Yang keduanya bagaimana Nabi Sollallahu'alaihiwasallam cekal dan sabar apabila meninggalnya bapa, ibu. Sehinggalah Allah melantik Nabi menjadi Rasul dan diturunkan ayat iqra' sebagai wahyu yang pertama. Rupa-rupanya Allah Taala keluarkan satu pengisytihran; wahai Muhammad, kemuncak dan kunci mentarbiyah manusia mestilah dengan ilmu. Nak ubah manusia mestilah dengan ilmu.


Pasal apa Allah turun iqra' kepada Nabi di padang pasir yang gersang? Kalau nak suruh ramai yang ikut Nabi dengan mudah, lantik Nabi sebagai ketua dan berikan rezeki yang melimpah ruah. Inilah asas tarbiyah sebenarnya. Bagi sesiapa yang nak berubah atau mengubah orang lain mestilah dengan ilmu. Allah mengubah masyarakat yang asalnya jahat di Mekah dengan asas dan paksi ilmu", terang beliau dengan penuh kesungguhan menarik perhatian para pemuda.


Selain itu, beliau memperingatkan bahawa kerja tarbiyah adalah untuk mengeluarkan segala sifat yang tidak baik dalam diri manusia dan digantikan dengan akhlak yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam. Begitulah yang berlaku kepada rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam yang dibersihkan hatinya dua kali dan disuntik dengan hikmah oleh malaikat yang ditugaskan oleh Allah Taala.


Berikut adalah antara isi penting motivasi tarbawi yang disampaikan oleh beliau: 


1) Manusia mestilah sentiasa mengikut segala peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah dalam menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat.

2) Jasad dan rupa paras bukanlah ukuran di sisi Allah, tetapi hati adalah menjadi tempat suluhan dan nilaian Allah.

3) Pemuda yang mengakui sebagai pejuang agama Allah mestilah sentiasa bersedia untuk ditarbiyah tidak kira yang dipimpin mahupun yang memimpin. Bahkan, Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam sentiasa melalui proses tarbiyah jangka pendek dan jangka panjang khusus daripada Allah yang merupakan sebaik-baik tarbiyah yang pernah dilalui manusia. 


4) Istiqamah sangat penting dalam perjuangan. Sesuatu amalan dikira mengikut penghujungnya samada baik ataupun sebaliknya.


5) Asas dan kunci kepada tarbiyah adalah ilmu. Itulah rahsia diturunkan ayat iqra' sebagai wahyu pertama.


6) Tugas Rasul Sollallahu'alaihiwasallam bahkan seluruh pewaris perjuangan rasul: menerangkan kekuasaan Allah kepada manusia, menyucikan jiwa serta mengajarkan manusia mengenai kitab dan hikmah. 


7) Sihir yang paling bahaya adalah Sihir Dunia yang memutuskan hubungan seseorang hamba dengan Allah Taala sebagaimana yang ditegaskan oleh Malik bin Dinar.


8) Setiap individu Muslim yang ingin berjaya mestilah sentiasa ditiupkan ruh tarbiyah dan tazkiyah dalam jiwanya. Kualiti pejuang agama ini lebih penting daripada kuantitinya.


9) Kemenangan bukanlah sesuatu yang diberikan percuma. Jangan hanya sekadar mendoakan dan mengimpikan kemenangan yang segera tanpa kita sendiri tidak berada dalam keadaan bersedia untuk memikul amanah berat mengisi kemenangan dengan perkara yang diredhai Allah Taala.


10) Tiga perkara dalam usaha tazkiyah: sentiasa melazimi zikir pada Allah, melazimi masjid dan sentiasa bersama Al-Quran.


p/s : Video penuh taujihat tarbawi ini akan menyusul 
Read full story

Monday, July 2, 2012

PGU 4.0 : Video konvoi ribuan anak muda

0 comments
 

Anak Muda Terengganu Sudah Bersedia Bersama PAS Mara ke Putrajaya 


 MARANG – Anak-anak muda Terengganu menjawab dengan jelas dan tegas, mereka telah bersedia untuk menjatuhkan kerajaan Umno dan Barisan Nasional secara demokratik pada pilihanraya umum yang ke-13 akan datang.
Mereka yang menyertai sesi ‘Xpresi Hijau Menuju Putrajaya’ berkata demikian ketika ditanya oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasruddin Hassan. “Justeru itu, saya nak tanya pada hari ini, tak kiralah anak muda lelaki ataupun anak muda muslimah, saya nak tanya pada hari ini….. “Adakah anak-anak muda yang berhimpun di experisi hijau anak muda Terengganu pada hari ini telah bersedia untuk memegang tanggungjawab ini?,”soal Nasruddin. 


 Baca seterusnya...DI SINI
Read full story
Related Posts with Thumbnails
 

Blog Archive

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy