Sunday, July 22, 2012

Sekitar Majlis Pelancaran Bulan Tarbiyah DPPNT


RUSILA, 19 JULAI: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) telah menganjurkan Majlis Pelancaran Bulan Tarbiyah di Masjid Rusila Marang.

Majlis yang pada asalnya dijangka akan dirasmikan oleh YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS telah dirasmikan oleh Setiausaha Majlis Syura Ulama’ PAS Pusat, Al-Fadhil Tuan Guru Hj Nik Zawawi Nik Salleh. Tuan Guru Presiden tidak dapat merasmikan program tersebut kerana baru tiba daripada siri lawatan beliau ke Mesir dan Morocco. 


Majlis bermula dengan solat Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Al-Fadhil Tuan Guru Hj Nik Zawawi Nik Salleh, Ketua Penerangan BPPNT. Sebaik sahaja selesai solat sunat ba’diah Maghrib, majlis pelancaran diteruskan dengan ucapan alu-aluan pengerusi majlis yang juga Ketua Lajnah Tarbiyah DPPNT, Us Kamaruzzaman Abdullah. Beliau mengajak seluruh hadirin supaya bersyukur kerana berkesempatan untuk bersama seorang tokoh ulama’ muda walaupun tidak dapat bersama Tuan Guru Presiden. Beliau turut mengharapkan supaya kedatangan bulan Ramadhan akan menguatkan lagi roh anak muda untuk berjuang menegakkan agama Allah Taala.

Selepas itu, ucapan disampaikan oleh Al-Fadhil Us Mohd Nor Hamzah selaku Ketua DPPNT bagi mewakili DPPNT yang menganjurkan majlis tersebut. Beliau terlebih dahulu merakamkan rasa syukur kerana DPPNT berjaya menghimpunkan anak muda untuk bersama-sama menghidupkan Ramadhan sebagai bulan tarbiyah. Selain itu, beliau turur bersyukur kerana kehadiran al-Fadhil Tuan Guru Hj Nik Zawawi sebagai tokoh pelapis bagi menggantikan tuan guru-tuan guru dalam PAS yang semakin lanjut usianya.

Para pemuda turut diingatkan bahawa  Ramadhan adalah bulan untuk kita mendidik segala yang berada pada tubuh kita samada jasmani mahupun rohani untuk tunduk kepada Allah Taala. Pemuda sepatutnya menjadi wakil PAS untuk bertemu seluruh pemuda-pemuda bagi memahamkan mereka betapa pentingnya tarbiyah. Walaupun secara zahir, kita dilihat berada dalam keadaan serba kekurangan pada zahirnya, kita tetap mempunyai peluang menguasai arena jihad ini dengan bekalan taqwa kepada Allah Taala. Istimewanya apabila Ramadhan hadir untuk membuahkan rasa taqwa dalam diri seluruh pejuang agama Allah Taala.

Acara kemuncak merupakan ucapan perasmian oleh Al-Fadhil Tuan Guru Hj Nik Zawawi Salleh. Beliau menceritakan mengenai peristiwa-peristiwa perang yang berlaku sepanjang Ramadhan. Bulan Ramadhan merupakan satu bulan yang disusun oleh Allah untuk kita menjadi semakin kuat, bukannya semakin lemah. Maka, bolehlah dikira Ramadhan adalah Bulan Jihad.

Selesai perasmian, seluruh hadirin menunaikan solat Isyak berjemaah yang diimamkan oleh Ketua DPPNT, Us Mohd Nor Hamzah. Majlis berakhir dengan bacaan Ma'thurat yang dipimpin oleh Naib Ketua DPPNT, Us Kamaruzzaman Abdullah.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Blog Archive

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy