Showing posts with label Kenyataan media. Show all posts
Showing posts with label Kenyataan media. Show all posts

Tuesday, February 4, 2014

PRK Kajang : Pemuda PAS Gesa Henti Polemik Kerusi MB

0 comments
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia akan turun membantu PKR dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) N25 Kajang atas semangat kebersamaan dalam Pakatan Rakyat.

Ketuanya Suhaizan Kaiat berkata demikian pada satu sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut pagi ini.

Tegasnya dalam hal ini, Pemuda PAS tidak akan memberi kemenangan percuma kepada BN dalam PRK itu nanti.

"Kita menghormati muafakat Pakatan Rkayat yang memberi hak mengurs Dun kepada parti yang menang dalam pilihan raya lepas. Justeru kami meminta agar mana-mana komponen Pakatan Rakyat tidak mengulangi kesilapan serupa pada masa akan datang," katanya.

Bagaimanapun, Pemuda PAS Malaysia mendesak agar isu Menteri Besar Selangor dihentikan segera kerana rakyat Malaysia sudah muak dengan polemik politik yang tidak berkesudahan.

"Polemik Kajang ini tidak perlu mengheret Pakatan Rakyat membincangkan isu Menteri Besar Selangor yang baru, kerana ia akan menjejaskan isu kebajikan rakyat," tegas Suhaizan.

Read full story

Tuesday, February 7, 2012

Awas Jalan ‘Hancur’ di Hadapan!

0 comments

DUNGUN – Jalan Haji Zainal Abidin yang merentangi bandar Dungun di sini tidak akan siap kerana kontraktor pembinaannya dilaporkan telah ‘melarikan diri’ akibat wang kos pembinaannya telah habis.

Menurut ADUN Sura, Ustaz wan Hassan Mohd Ramly, Jabatan Kerja Raya (JKR) terpaksa mengambil tugas kontraktor terbabit dan melakukan kerja-kerja pembina secara berdikit-dikit.

Oleh kerana jalan tersebut mengalami kerosakkan yang teruk, beliau menyarankan supaya papan tanda yang diletakkan oleh JKR ‘Awas Jalan Rosak Di Hadapan’ ditukar kepada ‘Awas Jalan Hancur Di Hadapan’.


BACA LAGI....
Read full story

Friday, November 18, 2011

ISA : Kerajaan BN Keras Kepala

0 comments
Kenyataan Media : Dewan Pemuda PAS Malaysia
22 Dzu al-Hijjah 1432 / 18 November 2011

Sebelum ini, dengan yakinnya YAB Perdana Menteri Datuk Seri Hj. Najib Tun Abd Razak mengisytiharkan bahawa Kerajaan UMNO dan BN akan memansukhkan ISA sekaligus memberi sinar harapan kepada rakyat yang menanti sejak sekian lama untuk bebas dari belenggu akta drakonian ISA yang bertentangan dengan hak asasi manusia dan telah banyak membawa kesengsaraan kepada rakyat sendiri.

Tangkapan terbaru ke atas saudara Nazri Dollah di bawah akta ISA adalah bukti bahawa Kerajaan UMNO dan BN terus mempermainkan kesabaran rakyat dan terus mendera perasaan mereka. Ia bukan sahaja satu bukti bahawa kerajaan UMNO dan BN tidak serius dan jujur menghapuskan akta zalim itu tetapi juga terus mendera dan membuli rakyat sendiri.

Read full story

Wednesday, November 2, 2011

Bob Lokman ajak anak-anak muda 'langgar kebiasaan'

0 comments
DUNGUN - Bekas selebriti terkenal dengan 'lagu hantu' Isabela, Bob Lokman mengajak anak-anak muda 'melanggar kebiasaan' dan mengubah persepsi masyarakat.

Beliau berkata, anak-anak muda kena bangun dan tunjukkan kebanggaan bahawa mereka adalah generasi yang menyokong Islam kerana menurutnya hanya cara hidup Islam yang akan menyelamatkan dihari kemudian.

"Jangan kita terpengaruh (dengan keduniaan) hari kita mati, yang menyelamatkan kita (ialah) Islam dan cara hidup Islam,

"bukan zink, bukan jalanraya baru (yang diberi dan dibina oleh BN) ini anak-anak muda hari ini yang kena berubah (mengubah) persepsi masyaakat,"ujarnya dalam sesi 'talk show'' pada Konsert Dakwah Alternatif, di bandar Paka, dekat sini, Selasa, 1 November, 2011


sambung lagi di www.buletinonline.net
Read full story

Wednesday, October 26, 2011

PEMUDA PAS DUNGUN MENYOKONG PENGGANTUNGAN TERHADAP PROF. AZIZ BARI DITARIK BALIK

0 comments

Dewan Pemuda PAS Kawasan Dungun (DPPKD) menyokong sepenuhnya penggantungan terhadap Prof Abdul Aziz Bari ditarik balik kerana merasakan pihak pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) bertindak di atas tekanan politik dan tidak rasional.

Penggantungan dibuat selepas Prof Dr Aziz Bari mengeluarkan kenyataan dan memberi pandangan terhadap Al Sultan selangor DE berhubung serbuan penguatkuasa JAIS ke atas sebuah gereja di Damansara tempoh hari. Justeru pengamal media milik Umno meletakkan kenyataan Prof Dr Aziz Bari sebagai seorang rakyat yang menjadi penderhaka kepada Sultan walaupun kenyataan beliau sebenarnya berbentuk ilmiah.

Melihat perkembangan ini, saya mewakili DPPKD mengucapkan tahniah kepada rakyat terutamanya kepada mahasiswa UIA kerana berjaya mendesak pentadbiran UIA menarik balik penggantungan tersebut.

Tidakan hampir 1,000 orang mahasiswa dan orang ramai hadir berdemonstrasi di hadapan Masjid UIAM Jumaat lalu menuntut agar penggantungan ke atas Prof. Aziz Bari ditarik serta-merta telah membuka mata semua pihak terutama pihak pentadbiran UIA dan kerajaan.

Justeru itu, tindakan ini membuktikan bahawa suara Mahasiswa sebenarnya mempunyai kuasa untuk merubah corak politik tanah air. Disamping itu penarikan penggantungan itu juga dipercayai diambil kerana mendapat kritikan atau tekanan yang kuat daripada kakitangan universiti, mahasiswa, ahli akademik, Pakatan Rakyat dan orang awam.

Selain itu, saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan pentadbiran UIA itu yang dilihat telah tunduk pada kepada tekanan politik kerajaan dan memberi amaran supaya perkara ini tidak berulang lagi kepada mana-mana intitusi pendidikan.

Institusi-institusi pendidikan yang sepatutnya menghasilkan modal insan perlu dilihat terbuka dan tidak seharusnya tunduk kepada tekanan politik kerajaan semata-mata. Mereka seharusnya diberi ruang untuk berbicara secara ilmiah. Sebarang perbezaan pandangan dengan pihak kerajaan harus ditangani secara bijaksana dan bertamaddun melalui pelbagai bentuk forum, seminar atau diskusi politik.

Saya mengharapkan supaya Prof Dr Abdul Aziz Bari lebih bersemangat untuk memberi pandangan/kajian yang ilmiah dan berguna pada masa akan datang. Saya mendoakan akan lahir lebih ramai lagi ahli-ahli akademik yang berusaha membentuk masyarakat yang kritis dan berpengetahuan melalui kajian-kajian serta pandangan yang bernas. Semoga usaha Prof Dr Aziz Bari mendapat ganjaran yang setimpal di sisi Allah swt.


MOHD HANAFI BIN ABDUL AZIZ
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Dungun ( DPPKD ) Dungun, Terengganu
27 Zulkaedah 1432H/ 25 Oktober 2011


sumber : laman web Dewan Pemuda PAS Kawasan Dungun
Read full story

Friday, December 24, 2010

Nahas Bas Ekspres : DPPNK Kesal Laporan Media Berunsur Khurafat

0 comments


KENYATAAN MEDIA

1. Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) terpanggil untuk memberikan respon ekoran nahas Bas Ekspres di Jalan Simpang Pulai – Cameron Highlands yang mengakibatkan 27 orang maut pada 20 Disember 2010 yang lepas. DPPNK mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat termasuklah pelancong-pelancong dari Thailand dan semoga dapat bersabar di dalam menghadapi kehilangan orang yang tersayang.

2. Di dalam masa yang sama, DPPNK terpanggil untuk memberikan respon terhadap laporan muka hadapan akhbar Kosmo, 21 Disember 2010 yang boleh menjurus kepada kepercayaan khurafat dan syirik.

3. Laporan muka hadapan akhbar berkenaan cuba mengaitkan kehadiran ratusan burung gagak di atas bumbung hotel tempat penginapan mangsa nahas pada malam sebelum kejadian sebagai petanda bahawa nahas tersebut akan berlaku. Dilaporkan juga bahawa ratusan burung gagak berkenaan membuat bising pada malam berkenaan seakan-akan memberi petanda awal terhadap tragedi tersebut.

4. Perlulah diingatkan, mengaitkan nasib malang atau tuah kepada burung yang terbang di udara merupakan amalan syirik yang sangat ditegah oleh Rasulullah SAW. Di dalam Islam, ia digelar sebagai amalan tatayyar. Di zaman Jahiliyyah, mereka akan melihat arah burung yang terbang sebelu memulakan perjalanan. Arah terbang tertentu dianggap sebagai nasib malang yang akan menimpa dan begitu juga sebaliknya.

5. Amalan ini sangat ditegah oleh Rasulullah SAW berdasarkan hadisnya :

a. “al-Tiyarah (tatayyar) itu syirik” – maksud hadis riwayat Bukhari, Abu Daud dan Ahmad.

b. “Sesiapa yang menggantung hajat kepada burung yang terbang sesungguhnya telah (melakukan) syirik..” – Maksud hadis riwayat Ahmad.

6. Kesimpulannya, menggantungkan tingkah laku binatang khususnya burung dengan sesuatu perkara yang akan berlaku (kecuali mempunyai penjelasan logik) adalah merupakan amalan syirik dan khurafat. Sehubungan dengan itu, sukalah diingat kepada pengamal media untuk tidak memanipulasikan berita-berita seperti ini dari sudut yang boleh menjerumuskan kepada kepercayaan syirik. Janganlah pemberitaan sensasi menjadi keutamaan sehingga menyebabkan terlanggarnya batasan-batasan akidah dan syarak.

Sekian.




AHMAD FADHLI BIN SHAARI,

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan. Bertarikh : 23 Disember 2010 / 17 Muharam 1432

Read full story

Sunday, December 12, 2010

Barang Naik Kerajaan Cuba Menyalahkan Peniaga

0 comments

oleh : Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat


Parti Islam Se-Malaysia PAS menganggap kenyataan amaran Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada para peniaga agar tidak menaikkan harga barangan sesuka hati sebagai usaha untuk mengalih isu kemarahan rakyat terhadap kerajaan kerana menaikkan petrol, diesel, gas dan gula pada 4 Disember 2010.

Beliau cuba hendak menyalahkan peniaga kerana menaikkan harga barang, dan hendak menjadi hero rakyat dan pembela rakyat, kononnya barang naik bukan salah kerajaan, tetapi peniaga. Perlu diingatkan bahawa semua barang niaga dibawa dengan kenderaan memakai minyak bukan dengan air liur.

Nampaknya kerajaan resah pada hari ini akibat tidak bijak urus khazanah negara yang melimpah ruah sehingga rakyat derita dengan kenaikan harga barang yang melambung. Alangkah baiknya jika kerajaan Malaysia ini orang yang bijak dan telus.

Sepatutnya pemimpin BN perlu belajar daripada kerajaan Pakatan Rakyat yang bijak urus dan cuba untuk mengagihkan harta negeri kepada rakyat.

Kebijaksanaan pimpinan PAS di Kelantan yang mampu bertahan sampai 20 tahun walau pun dengan kekangan dan tekanan dariapda pusat. Kelantan tidaklah banyak hasil, tetapi mampu mengurus dengan baik dan teratur. Ketika negeri yang di bawah pentadbiran BN menghadapi masalah kewangan, Alhamdulillah Kelantan selamat daripada malapetaka buruk ini.

Pihak kerajaan perlu mengambil ingatan daripada pemimpin Pakatan Rakyat, apabila minyak naik maka semua perkara akan naik. Selepas ini tarif elektrik akan naik pula. Senang sungguh menjadi pemimpin BN yang mentadbir negara.

Jikalau wang tidak ada jalan keluarnya dengan membebankan rakyat dengan menaikkan tol, letrik, minyak, saman ekor dan apa sahaja yang boleh menjadi wang untuk kambus gaung yang begitu dalam kerana boros dan tidak bijak mengurus.
Read full story

Saturday, November 6, 2010

Kekalahan Di Galas Sebagai Loceng Amaran PRU 13

0 comments


Parti Islam Se-Malaysia PAS menganggap kekalahan di Galas dan PKR di Parlimen Batu Sapi sebagai satu loceng amaran untuk terus bangkit dan muhasabah terhadap kerja parti bagi menghadapi Pilihanraya ke 13. PAS menerima kekalahan di Galas sebagai satu adat perlawanan. Pilihanraya kecil Galas dan Batu Sapi merupakan satu siri pilihanraya yang menampakkan ketempangan demokrasi dan pencabulan media terhadap PAS dan Pakatan Rakyat.

Keputusan di Galas bukan satu yang mengejutkan kerana, sebelum ini pilihanraya kecil Manik Urai yang merupakan kubu kuat PAS pun, hampir PAS tewas dengan majoriti 65 sahaja. Begitu juga sebelumnya ketika PRK Pengkalan Pasir merupakan kubu kuat PAS tewas dan dapat tawan kembali dalam PRU 12.

Insya Allah PAS akan membuat muhasabah ke dalam dengan melihat masalah-masalah yang perlu diperbaiki. Sebagai sebuah parti Islam kekalahan ini akan memberi satu pengajaran yang berguna, kerana setiap musibah ada hikmahnya. Kemungkinan Allah tidak mahu kita leka dengan kemenangan cemerlang PRU 12 sehingga menimpa kekalahan yang mengejutkan dalam PRU 13.

Kekalahan PAS di Galas, bukan bererti kita menjadi malas untuk berjuang, sebaliknya kita mesti bersemangat untuk menggalas amanah ummah di negara ini untuk menggantikan Umno sebagai wadah perjuangan orang Melayu di negara ini. PAS tidak akan membiarkan rakyat menjadi mangsa kezaliman Umno terhadap rakyat sehingga kualiti hidup rakyat semakin teruk. Kenaikan harga barang, jenayah bunuh meningkat, perzinaan dan buang bayi meningkat.

PAS mesti berusaha untuk bekerja dengan lebih kuat. Kita perlu sekat kemenangan mereka, dengan kita mesti bekerja kuat untuk menangkis fitnah dan menerangkan wadah perjuangan kepada masyarakat. Sudah cukup mandat yang mereka perolehi selama 53 tahun menyebabkan anak cucu kita terutamanya yang akan menanggung beban.

Kegigihan PAS dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat yang bekerja dalam pilihanraya tanpa diupah adalah merupakan satu kekuatan, berbanding dengan Umno. Mereka hanya menumpang tuah jentera kerajaan, jika diharapkan jentera Umno maka sudah lama Umno akan berkubur.



Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Read full story

Monday, October 18, 2010

Kalah Baru Hendak Dekati Rakyat

0 comments



KENYATAAN MEDIA
email dari : penerangan@pas.org.my


Parti Islam Se-Malaysia PAS berpendapat saranan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak supaya jentera Umno perlu menembusi kawasan pembangkang dengan mengadakan pelbagai program supaya dapat mendekati hati rakyat menujukkan rasa insaf beliau setelah Umno kalah di dalam pilihanraya yang lalu.

Ketika berucap pada Karnival Skuad Sayang 1Malaysia anjuran Wanita umno di Taman Datuk Ahmad Razali, Ampang berkata, jentera Umno perlu menyahut cabarannya dengan mengadakan program di kawasan pembangkang supaya rakyat dapat mendengar suara hati kerajaan dan bukannya hanya berjuang di kawasan yang selamat.

Nampaknya pemimpin Umno hanya boleh diajar rasa bertanggungjawab kepada rakyat apabila mereka kalah. Sewaktu mereka berada dipuncak kuasa mereka tidak pandang kepada rakyat yang menderita hidup .

PAS berpandangan, untungnya rakyat yang memilih parti lain daripada Umno BN, sehingga dapat mengajar pemimpin Umno bahawa mereka adalah khadam rakyat. Ketika mereka kalah macam-macam program yang dibuat untuk cakna rakyat, kononnya untuk ambil hati rakyat. Situasi ini rakyatlah yang paling beruntung kerana semua pemimpin akan berusaha mengambil hati rakyat.

PAS dan Pakatan Rakyat melaksanakan program kebajikan dan mengambil berat hal rakyat bukan secara bermusim, tetapi menjadi dasar yang terancang dalam setiap proram kerana ini adalah amanah Allah SWT.



Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Read full story

Thursday, September 9, 2010

PAS sokong Tengku Abdullah, rakyat wajib tolak parti perkauman dan bersatu dengan Islam

0 comments



KENYATAAN MEDIA
email dari : penerangan@pas.org.my


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyokong dan menjunjung kasih keatas titah Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mahukan umat Islam menolak cara hidup berpuak-puak dan terus mengimarahkan masjid dengan majlis Ilmu.

PAS dapat mengambarkan betapa besarnya harapan pihak istana untuk rakyat dan parti-parti politik di negara ini bersatu atas nama Islam dan bukannya berpuak-puak mengikut bangsa dan kaum masing-masing. Politik perkauman dan menyertai parti politik perkauman adalah satu kerugian buat umat Islam. Kesatuan umat Islam dan sikap berani bersaing menjadi teras kekuatan umat zaman Rasulullah seperti yang
baginda titahkan.

Hanya Islam yang mampu memberikan keharmonian dan keamanan serta menyatukan rakyat sedangkan politik mengikut bangsa dan kaum tertentu hanya memecahkan lagi masyarakat. Orang Melayu tidak seharusnya duduk dalam parti Melayu sahaja, orang Cina juga tidak boleh duduk parti Cina sahaja, Orang India pun begitu.

PAS kini menjadi platform terbaik untuk rakyat bersatu padu kerana disini umat Islam tak kira Melayu, Cina dan India dapat bersama dengan harmoninya. Malah dengan keterbukaan PAS yang mewujudkan Dewan Himpunan Penyokong PAS yang majoriti ahlinya adalah kalangan bukan Islam telah menjadikan PAS sebagai pilihan terbaik menyatukan rakyat bukan sahaja yang berbeza bangsa, malah yang berbeza agama juga bersatu dalam PAS.

PAS juga menyanjungi keprihatinan Tengku Mahkota Pahang yang menyebut dengan jelas bahawa Masjid seharusnya diimarahkan dengan aktiviti keagamaan, dijadikan pusat perpaduan, menimba ilmu dan perhimpunan masyarakat setempat.

Inilah idea yang dibawa dan diperjuangkan PAS selama ini. Di Selangor sebagai contoh, semasa Umno memerintah, Masjid dan Surau dikunci dan dirobohkan hanya kerana mereka menjemput para penceramah yang menyokong PAS untuk berikan kuliah. Penceramah PAS amat profesional, mereka tahu membezakan kuliah agama dan ceramah politik. Hanya kerana berbeza politik kariah masjid dihalang memasuki masjid mereka.Jawatankuasanya ditukar jika bukan ahli Umno.

Tetapi selepas PAS-Pakatan memerintah Masjid Surau yang dikunci dibuka semula. Para penceramah tanpa mengira parti politik dijemput untuk berkongsi ilmu. Masjid Surau menjadi pusat aktiviti belia. Ada yang dijadikan pusat tuisyen juga. Malah kariah Masjid Surau semakin ramai kalangan orang muda kerana begitu banyak program diadakan termasuk sukan dan juga gotong-royong. Begitulah yang berlaku hingga ke hari ini.

PAS berharap rakyat Pahang khususnya dan diseluruh Malaysia, dapat melihat hasrat kepimpinan mereka yang mahukan Islam diletakan ditempat yang sewajarnya dan menukar Kerajaan yang mempertahakan perjuangan berasaskan kaum dan puak mereka sahaja. Dengan menolak Umno-BN sekaligus umat Islam khususnya kalangan kaum Melayu dapat bersatu atas nama Islam.

PAS mendoakan kesejahteraan Yang DiPertuan Agong, Sultan Pahang,Tengku Mahkota, seluruh kerabat DiRaja dan rakyat jelata. Semoga negara ini akan terus makmur dibawah rahmat Allah swt.


Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat









Read full story

Saturday, September 4, 2010

Bebaskan Semua Tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)

0 comments

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) melahirkan rasa kesyukuran di atas pembebasan seorang tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) iaitu Shamsuddin Sulaiman yang sebelum ini telah ditangkap pada 17 April 2002 dan ditahan sejak 13 Jun 2002 di atas tuduhan kerana terlibat dengan Jemaah Islamiah (JI) Malaysia. Mengikut Pengarah Pasukan Petugas Khas Bukit Aman, Datuk Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, beliau dibebaskan dengan alasan tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara dan pembebasan itu dibuat atas arahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Sudah tentu jangka masa selama lapan tahun ditahan di bawah ISA dengan tanpa melalui proses perbicaraan dan tanpa membuktikan kesalahan yang dilakukan adalah merupakan satu jangka masa yang lama dengan memisahkan beliau daripada keluarga dan ia adalah merupakan satu bentuk kezaliman yang berterusan dilaksanakan oleh pemerintah. Alasan ‘tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara' adalah hujah yang sangat lemah sedangkan selama lapan tahun beliau ditahan masih tidak terbukti lagi apakah sebenarnya kesalahan yang telah dilakukannya.
DPPP secara konsistennya membantah perlaksanaan ISA terhadap mana-mana rakyat di Malaysia kerana ISA adalah akta yang zalim kerana ISA membenarkan sesiapa sahaja yang disyaki terlibat dengan aktiviti yang dianggap boleh mendatang kemudaratan kepada negara ditahan oleh polis selama 60 hari berturut-turut dengan mendapatkan kelulusan daripada Menteri Dalam Negeri. Selepas 60 hari, seseorang tahanan itu jika didapati masih mampu mendatangkan kemudaratan maka dengan kuasa Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri boleh menahan tertuduh selama dua tahun tanpa melalui perbicaraan di mana-mana mahkamah. Kuasa yang diberikan kepada menteri ini semakin bertambah apabila pada tahun 1989 akta ISA telah dipinda untuk memberikan kekebalan kepada Menteri Dalam Negeri daripada disiasat oleh makkamah dalam menentukan keputusannya terhadap tahanan ISA. Mahkamah hanya dibenarkan untuk melihat semula hanya perkara-perkara teknikal sahaja berkenaan sebarang penahanan di bawah ISA.

Ketidaksesuaian ISA juga telah mendapat perhatian serius Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang memandang berat terhadap penggunaan penahanan tanpa perbicaraan dan telah berulangkali menyarankan supaya tahanan ISA dibebaskan atau didakwa mengikut kesalahan mereka dengan menegaskan bahawa tindakan menahan seseorang tanpa sebarang perbicaraan adalah salah kerana bercangggah dengan Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR) yang memberi penekanan terhadap hak kepada nyawa, kebebasan dan keselamatan diri.

Dalam satu kajian SUHAKAM bertajuk "Review of The Internal Security Act 1960" yang dikeluarkan pada tahun 2003 telah membuat cadangan kepada kerajaan supaya meminda ISA. Cadangan tersebut adalah berdasarkan dua perkara yang disandarkan kepada perspektif hak asasi manusia. Pertama, ada kebimbangan dalam hubungannya dengan syarat-syarat ISA yang dipercayai bahawa mereka melanggar prinsip-prinsip hak asasi manusia. Perkara yang kedua, ada keprihatinan berhubung dengan pelaksanaan peruntukan ISA.

Malah, Suhakam bukan sahaja mahu ISA dipinda tetapi mendesak agar ISA dibubarkan. Pengerusi baru Suhakam iaitu Tan Sri Hasmy Agam telah membuat cabaran kepada semua rakyat Malaysia seandainya tidak mahu ISA maka bersatu menentangnya dan Suhakam telah dan akan terus mendesak agar ISA dibubarkan. Beliau menegaskan bahawa ISA adalah akta tinggalan sejarah memandangkan darurat telah berakhir dan tidak ada lagi komunis justeru mengapa ISA perlu dikekalkan.

Maka, DPPP mendesak agar kerajaan Malaysia membebaskan kesemua tahanan yang sedang ditahan di bawah akta zalim ISA ini dan dakwa kesemua tahanan di mahkamah untuk membuktikan kesalahan yang telah mereka lakukan.


Disediakan Oleh

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat
Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional dan Hubungan NGO DPPP

Read full story

Tuesday, August 3, 2010

Daftar Pengundi : BN tidak Konsisten, SPR Tersepit

0 comments


KENYATAAN MEDIA
email dari : penerangan@pas.org.my


Parti Islam Se-Malaysia (Pas) kesal dengan sikap tidak konsisten pemimpin Barisan Nasional (BN) dalam menyelesaikan isu pendaftaran pemilih. Semalam Dr Mohd Puad Zarkashi yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Timbalan Menteri Pelajaran mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) melaksanakan pendaftaran pengundi dan pemilih secara automatik dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara dimana, setiap warganegara berumur 21 tahun ke atas secara automatik didaftarkan sebagai pengundi.

Pakatan rakyat sudah lama mencadangkan perkara ini dan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sebelum ini sudah membawa cadangan itu tetapi ditolak melalui jawapan Parlimen oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang mengatakan bahawa negara ini mengamalkan 'freedom of association, freedom of expression and freedom to make decision' dan rakyat tidak boleh dipaksa untuk mendaftar dan keluar mengundi.

Jawapan berkenaan jelas memberikan masalah kepada SPR yang masih gagal mendaftarkan pengundi-pengundi yang telah layak kerana kekurangan kakitangan dan sumber. Akibat penolakan itu, SPR mewujudkan cadangan baru iaitu menaikan bayaran untuk penolong pendaftar yang berjaya mendaftarkan setiap pemilih baru daripada RM1 kepada RM3. Tetapi cadangan ini pula ditolak oleh Dr. Puad atas alasan membazirkan wang rakyat dan kembali semula mengutarakan cadangan yang pernah disebut oleh Pakatan dan SPR iaitu membuat pendaftaran secara automatik.

Jelaslah, bahawa Kerajaan BN sendiri tidak konsisten dan tidak mempunyai persefahaman yang jelas terhadap keputusan yang mereka ambil. SPR menjadi seperti bola yang bukan sahaja ditendang ke sana ke mari, cadangan mereka diperlecehkan dan BN jelas takut untuk membuat penyelesaian terhadap isu pendaftaran pemilih ini kerana jumlah pengundi baru yang ramai adalah satu ancaman kepada mereka.

PAS tegas mahu pendaftaran pemilih secara automatik dibuat dan kita bersedia membantu SPR untuk meningkatkan jumlah pengundi baru. PAS berharap agar SPR bersikap lebih terbuka dan menerima dengan positif bantuan yang ditawarkan oleh PAS. Kita menawarkan perkhidmatan secara PERCUMA kepada SPR bagi mendaftarkan pemilih-pemilih baru dengan syarat pendaftar pemilih dari parti ini dan parti-parti Pakatan lainnya tidak didiskriminasi oleh SPR. Layanan yang adil hendaklah diberikan dan jawapan segera diberikan bagi setiap senarai pendaftaran yang telah diserahkan sebelum ini.

PAS berjanji, bahawa pendaftaran pemilih secara automatik akan dilaksanakan jika Pakatan menjadi kerajaan selepas Pilihanraya kali ke-13 nanti sekaligus dapat menjimatkan wang rakyat dan memudahkan kerja-kerja SPR.



Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat



Read full story

Saturday, July 24, 2010

PAS Parti Islam Terbesar Di Malaysia

0 comments



KENYATAAN MEDIA
email dari : penerangan@pas.org.my


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang ditubuhkan pada 1951 kini mengorak langkah lebih jauh sebagai parti yang berteraskan perjuangan Islam dan membawa mesej Islam yang terbesar dinegara ini.

Kita tidak menafikan sumbangan rakan-rakan NGO lain yang turut sama memperjuangkan dakwah Islamiah dinegara ini dan dari semasa ke semasa PAS turut menjalinkan hubungan yang akrab serta saling bekerjasama dengan mereka.

PAS memilih untuk menyertai politik dan pilihanraya sebagai satu wadah bagi menyumbang kepada penyebaran dakwah serta mengangkat martabat umat Islam dinegara ini disamping kekal menjalankan tanggungjawab mengharmonikan hubungan antara kaum dan agama lain.

PAS parti yang mengutamakan keamanan, perpaduan serta berpegang teguh kepada prinsip bahawa akidah Islam dan dasar-dasar Islam mampu memberikan kesejahteraan kepada semua.

PAS bukanlah parti perkauman yang khusus buat kaum-kaum tertentu, tetapi kita tidak nafikan bahawa majoriti ahli PAS adalah dari kalangan umat Melayu. Namun mereka bersama dengan parti ini atas semangat Islam dan bukannya kerana semangat Melayu.

PAS juga jelas berdiri teguh menghormati dan mempertahankan hak-hak istimewa orang Melayu khususnya dalam aspek agama, budaya, tanah dan juga sosialogi yang lain. PAS prihatin dengan nasib umat Melayu akhir-akhir ini yang sering dijadikan mangsa dasar Liberalisasi dan Model Ekonomi Baru Kerajaan BN yang akhirnya mengecilkan kuota ekuiti Melayu daripada 30 peratus kepada 12.5 peratus sahaja. Banyak lagi hak Istimewa orang Melayu yang gagal diangkat oleh Umno walaupun mereka bangga mengatakan bahawa merekalah Parti Melayu Terbesar.

PAS sedar kepentingan orang Melayu dan mengajak seluruh umat Melayu untuk bangkit berjuang atas nama Islam, kerana hanya dengan Islamlah mereka akan lebih dihormati. Perpaduan umat Melayu atas nama Islam adalah pilihan terbaik berbanding apa yang ditawarkan oleh Umno, kerana dalam Islam kita tegas mengharamkan apa yang haram dan menghalalkan apa yang halal.

PAS akan terus berjuang untuk semua, kerana PAS yakin setiap yang lahir kedunia ini ada hak untuk diperjuangkan tanpa mengira apa bangsa mereka. Keterbukaan PAS ini jelas dengan kelahiran Dewan Himpunan Penyokong PAS, dimana sebagai parti Islam kita juga mempunyai sokongan yang kuat kalangan bukan Islam untuk memimpin negara ini.

Pemerintahan PAS di Kedah dan Kelantan berjaya membuktikan bahawa Islam adalah agama yang memberikan kesejahteraan kepada semua bangsa dan agama. Tidak cukup dengan itu, kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat jelas memberikan manfaat kepada rakyat keseluruhannya. Dan PAS dari semasa ke semasa akan terus menerapkan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran Kerajaan yang harus difahami bahawa sesuatu perkara yang ingin dilakukan haruslah bermula dari tangga pertama hingga tangga terakhir secara bijaksana.

Oleh itu, PAS terus menyeru kepada rakyat untuk sama-sama menyertai parti ini, menyokong parti ini dan memberikan kepercayaan untuk parti ini menjadi alternatif kepada Umno menjelang Pilihanraya ke-13.



Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Read full story

Friday, July 23, 2010

Perpaduan Melayu : Supaya Lupa Isu Negara

0 comments




KENYATAAN MEDIA
email dari : penerangan@pas.org.my


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengingatkan kepada semua pimpinan dan ahli PAS di semua peringkat jangan terpedaya dengan tektik media Umno untuk menenggelamkan isu negara yang bertimbun-timbun sekarang yang mengambarkan kerajaan yang ditunjangi Umno di negara ini semakin rapuh dan reput.

Ketika gelombang krisis keyakinan kepada Umno dan BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sedang karam, maka perpaduan Melayu dijadikan sebagai benteng untuk menutup bangkai gajah yang terlalu besar. Slogan 1 Malaysia nampak tidak menjadi dengan gelagat Perkasa dan kenyataan Datuk Nasir Safar.

PAS menyedari ini adalah sebahagian daripada tektik media untuk mengalih isu yang sebenar dan melupakan isu pokok yang mencengkam rakyat. Mereka melontarkan isu ini melalui proksi mereka Tan Sri Harussani yang hendak menjadi perantara, untuk menunjukkan bahawa mufti yang mencadangkan perpaduan ini, apabila PAS menolak maka ada peluang untuk menuduh PAS sombong dan angkuh.

Perlu diingat bahawa isu perpaduan Melayu diuar-uarkan ketika rakyat didahulukan dengan kenaikan harga minyak dan kenaikan harga gula pada 16/7/2010. Pemimpin Umno hendak rakyat leka dan berbincang mengenai isu perpaduan Melayu, yang tidak pernah berbangkit langsung dalam mesyuarat tertinggi PAS. Hajat mereka supaya rakyat tidak marah mengenai kenaikan harga minyak dan gula. Perlu dingatkan bahawa gula, tepung dan minyak akan dinaikkan secara berperingkat-peringkat kearah untuk menghapuskan subsidi di negara ini dalam masa 3-5 tahun.

PAS hendak mengingatkan kepada rakyat, bagaimana media diarahkan supaya jangan sama sekali meletakkan tajuk berita “harga barang naik”, ketika ditaklimat pada 15 hb Julai 2010. Sebaliknya media perlu meletakkan “subsidi dikurangkan”, “rasionalisasi”, menstrukturkan semula supaya rakyat yang tidak faham dan ada yang faham harga barang turun. Maka tidak hairanlah kepada kita pada hari ini media proksi Umno memainkan isu perpaduan supaya rakyat lupa isu negara yang begitu banyak dan kenaikan harga barang.

PAS hendak memaklumkan kepada semua ahli dan pimpinan PAS supaya fokuskan kerja kita untuk menggantikan Umno di negara ini. Penerangan dan dakwah kepada ahli Umno yang tidak faham perjuangaan PAS perlu dilakukan secara berterusan, usahkan dilayan segala ajakan dan pujuk rayu Umno untuk melamar PAS, kita biarkan cinta Umno tidak berbalas dan biarkan Umno “angau” seorang diri.

Petunjuk ekonomi negara semakin tertekan dengan kadar faedah pinjaman bank dinaikkan. Bank Negara Malaysia pada 8 Julai lalu menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bagi kali ketiga tahun ini kepada 2.75 peratus. Susulan itu, bank turut menaikkan Kadar Pinjaman Asas (BLR) dan Kadar Pembiayaan Asas (BFR) masing-masing. Maybank menaikkan BLRnya sebanyak 0.25 peratus kepada 6.30 peratus. Semuanya gara-gara pemimpin negara yang boros dan rasuah sehingga amat dirasai oleh rakyat biasa di negara ini.

Begitu banyak isu-isu negara yang mengambarkan Umno sudah tidak mampu mengemudi negara, antaranya peruntukan saham bumiputera lesap sebanyak RM52 bilion, jenayah meningkat, anak luar nikah Melayu sahaja 17,303 orang (2009), enjen kapal terbang hilang, kapal selam berharga RM1.7 bilion tidak boleh menyelam, hutang negara RM362.4 bilion, serah telaga minyak blok L dan M pada Brunei yang bernilai RM320 bilion (kalau perbelanjaan negeri Kedah RM400 juta, dapat belanja selama 700 tahun), terlepas Pulau Batu Putih pada Singapura, Pos Malaysia rugi RM 227 juta, 217 hektar tanah serah pada Singapura, serah 50 peratus kepada Singapura untuk membangun Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), wang Felda susut daripada RM4.08 bilion 2004 hanya tinggal RM1.35 bilion pada tahun 2009, membazir wang rakyat RM77 juta kepada APCO Israel setahun untuk menjadi penasihat komunikasi.

Isu-isu inilah yang perlu disampaikan kepada rakyat, maka jangan kita hiraukan pujukan Umno melalui proksinya, PAS sudah tegas dengan Pakatan Rakyat. PAS tidak akan mencari nahas untuk untuk mencari pasangan hidup dengan orang yang ada masalah kesihatan yang sukar hendak diubat.



Ustaz Idris Haji Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat


Read full story

Friday, July 9, 2010

Isu Permit - KDN Perlu Juga Melihat Kepada Akhbar Arus Perdana

0 comments

KENYATAAN MEDIA
ISU PERMIT - KDN PERLU JUGA MELIHAT KEPADA AKHBAR ARUS PERDANA
09 Julai 2010 / 26 Rejab 1431

Dewan PEMUDA PAS Pusat (DPPP) menempelak tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bertindak menghantar Surat Tunjuk Sebab kepada Akhbar Harakah yang merupakan lidah rasmi Parti Islam Semalaysia (PAS). Sebelum ini KDN juga telah menggantung permit Suara Keadilan yang dimiliki oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) atas alasan Suara Keadilan gagal memberikan jawapan yang memuaskan berhubung artikelnya yang mendakwa Felda bankrap.


Tindakan KDN jelas ada agenda tersendiri dan tindak tanduk mereka seolah-olah KDN satu badan yang tidak bebas sepenuhnya dan dibayangi oleh kerajaan memerintah. Buktinya, Suara Perkasa yang dikeluarkan oleh NGO PERKASA yang dipimpin oleh MP Pasir Mas, Dato’ Ibrahim Ali hanya diberikan amaran sahaja sedangkan kenyataan yang dikeluarkan sememangnya berbaur perkauman. Suara Perkasa itu sendiri pun tidak melambangkan konsep 1 Malaysia yang sibuk dilaungkan oleh Kerajaan UMNO/BN sekarang ini.

Kemudiannya jika dilihat pula kepada Utusan Malaysia dan Berita Harian, kenyataan-kenyataan dan artikel-artikel yang dikeluarkan saban hari memfitnah pembangkang dan membohongi rakyat secara terang-terangan akan tetapi selamat dari sebarang tindakan. Akhbar milik kerajaan ini sentiasa cuba memutar belitkan kenyataan pimpinan Pakatan Rakyat (PR) dan isu yang dimainkan sememangnya jelas berbaur perkauman.

Mengambil contoh bagaimana Utusan Malaysia memutar belit kenyataan Anwar Ibrahim dalam isu lawatan beliau ke AS. Begitu juga dalam isu tanah melayu di Pulau Pinang, mereka mengambarkan bahawa kerajaan Pulau Pinang yang diterajui oleh Lim Guan Eng bertindak sesuka hati merampas tanah orang melayu tanpa belas kasihan. Mereka cuba menimbulkan isu perkauman daripada isu ini. Jadi sudah terang dan jelas Utusan bermain api perkauman tetapi mengapa tiada tindakan diambil? Bukankah ini boleh menimbulkan keadaan yang tidak tenteram diantara kaum dinegara ini? Mengapa KDN hanya membisu dalam hal ini. Banyak lagi rencana-rencana yang kalau hendak diambil kira sememangnya cukup layak KDN bertindak namun KDN hanya mengambil sikap butakan mata,pekakkan telinga. Itu belum lagi dilihat kepada lambakan majalah-majalah separuh bogel dan berbaur lucah serta kurafat yang boleh memesongkan akidah umat Islam dalam negara kita.

DPPP mencabar agar KDN bertindak ke atas Utusan Malaysia dan Berita Harian yang saban hari mengeluarkan artikel yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam serta membohongi rakyat dengan tuduhan yang tidak berasas sama sekali terhadap pembangkang. KDN perlu bertindak secara adil kepada semua. Jangan bertindak hanya kerana akhbar tersebut milik pembangkang namun menjadi seperti ‘budak bodoh’ bila berdepan dengan akhbar milik kerajaan. Bersikap dan bekerjalah secara profesional, bukan semacam ‘melayu’.

SUHAIZAN KAIAT
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Pusat

sumber : pas.org.my

Read full story

Saturday, June 26, 2010

Najib Takut Dengan Kartun Zunar

0 comments

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kasihan melihat Presiden Umno, Dato'
Seri Najib Tun Razak yang ketakutan melihat penerbitan kartun-kartun
karya kartunis popular Zulkifli Anwar Ulhaque, atau lebih dikenali
sebagai Zunar.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengharamkan dan merampas buku
kartun 1Funny Malaysia, Perak Darul Kartun dan Isu Dalam Kartun.
Syarikat Penerbitan Kinibooks yang juga anak syarikat Malaysiakini
yang menerbitkan buku berkenaan berhadapan dengan ancaman hukuman
penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000
atau kedua-duanya sekali dibawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Sebelum ini Zunar juga dilaporkan pernah memohon untuk mendapatkan
permit penerbitan Gedung kartun, tetapi pihak KDN menolak.

Pemimpin Umno-BN yang menguasai Kerajaan tidak dapat menerima secara
terbuka kritikan, sindiran dan satira yang dikemukakan dalam edisi
kartun-kartun ini. Mereka terdesak untuk menafikan pandangan rakyat
terhadap kezaliman, penyelewengan dan keangkuhan mereka.

PAS menyokong usaha Zunar dan Malaysiakini dalam memberikan gambaran
alternatif kepada rakyat tentang Kerajaan yang selalunya digambarnya
dengan imej positif sahaja melalui rangkaian media mereka.

Rakyat perlu tahu apa yang Kerajaan sembunyikan dari mereka. Zunar
yang juga mantan Ketua Pengarang Suara Keadilan diakui ramai pihak
sebagai pengkartun yang mempunyai daya kreativiti satira yang luar
biasa dan mampu mengoyahkan kedudukan dan imej Najib.

Kes Kapal Selam, Dasar-dasar Najib, Pergaduhan Pemimpin Umno-BN,
Kezaliman mereka, rasuah dan sebagainya adalah antara perkara yang
tidak mampu dijelaskan oleh Najib tetapi mudah diterjemahkan dalam
bentuk kartun oleh Zunar.

Beliau juga antara pengkartun yang berjaya menelanjangkan kebobrokan
Mahathir dan Pak Lah serta Menteri-menteri mereka seperti Rafidah,
Samy Vellu dan sebagainya sebelum ini dalam bentuk kartun.

Kartun adalah antara karya seni yang menarik, mudah diterima dan
difahami oleh pelbagai lapisan rakyat, khususnya golongan muda. Di
negara-negara luar, kartun-kartun satira sebegini bebas di diterbit
dan disiarkan sama ada dipihak Kerajaan atau pembangkang.

PAS melihat tindakan KDN ini membuktikan bahawa Najib, dan pemimpin
Umno-BN cukup terasa dengan penangan kartun Zunar dan kawan-kawannya.

Ruangan kartun Senyum Kambing dalam Utusan serta kartun-kartun lain
diakhbar milik Umno-BN pun tak mampu menyaingi apa yang dihasilkan
oleh Zunar. Dan jelas, KDN dipergunakan bagi menyekat pengaruh
kartun-kartun satira demi untuk menyelamatkan Imej Najib dan Umno-BN
yang kini dianggap sebagai pelawak sahaja.

PAS akan terus menyokong usaha Zunar dan rakan-rakan pengkartunnya.
PAS berharap agar KDN bersikap terbuka dan realitik serta tidak tunduk
pada tekanan pemimpin politik dalam BN dalam bertindak.



Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat



Read full story

Wednesday, April 21, 2010

Muhyiddin Pembohong Besar, PAS Buktikan BN Memang Zalim

0 comments

KENYATAAN MEDIA
Email dari : penerangan.paspusat@yahoo.com


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyifatkan Timbalan Presiden Umno sebagai pembohong besar kerana cuba menafikan kezaliman yang dilakukan oleh Barisan Nasional selama ini.

PAS mempunyai banyak bukti yang nyata tentang kezaliman BN itu. Rakyat kini semakin bijak.Mereka tidak akan lupa apa yang berlaku pada penduduk Berembang di Selangor, Kg Paya Bunga, Kuala Terengganu, Kg Denai Pinggiran, Kempas Johor dan terbaru di Kg. Bakau, Likas Sabah.

Rumah-rumah rakyat marhaien yang selama ini mengundi BN telah dirobohkan oleh jentolak-jentolak yang diarahkan oleh Kerajaan BN. Mereka akhirnya duduk menumpang dirumah saudara mara, malah yang lebih menyedihkan ada kalangan mereka yang merempat dikhemah-khemah sementara seperti pelarian perang.

Begitulah zalimnya BN, rumah-rumah rakyat menjadi mangsa pembangunan yang selalu diwar-warkan oleh BN semasa kempen pilihanraya.

Perkara yang sama tidak mustahil akan berlaku di kawasan Hulu Selangor kerana BN hanya melakukan pembangunan untuk kepentingan mereka.

PAS menasihatkan agar pengundi Hulu Selangor berfikir banyak kali. Mereka telah mengundi BN sejak pilihanraya pertama lagi, malah telah memberikan BN 3 kerusi DUN pada pilihanraya ke-12. Tapi apa mereka dapat?

BN datang dalam Pilihanraya kecil kali ini tapi masih cerita soal pembangunan sedangkan selama 12 penggal mereka tidak berbuat apa-apa yang besar untuk kawasan ini. Itu zalim namanya kerana Pakatan hanya tadbir Selangor dua tahun pula yang dituduh gagal membangunkan Hulu Selangor.

Kezaliman BN hanya akan berhenti jika rakyat menolak mereka secara total dalam Pilihanraya. Maka pengundi Hulu Selangor perlu berani menolak BN untuk menidakkan kezaliman mereka.



Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Read full story

Thursday, April 15, 2010

PAS Mahu Jentera Pakatan Fokus Gempur Hulu Selangor

0 comments

KENYATAAN MEDIA
email dari : penerangan.paspusat@yahoo.com


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyeru seluruh jentera Pakatan Rakyat khususnya kalangan anggota dan penyokong PAS untuk memberikan fokus sepenuhnya bagi mengempur Parlimen Hulu Selangor.

Pas mahu setiap anggota parti, sama ada ahli biasa, pimpinan, para penyumbang dana, blogger, penceramah bebas dan sebagainya memberikan bantuan sepenuhnya kepada calon dari Parti Keadilan Rakyat-Datuk Zaid Ibrahim.

Pilihanraya kecil Hulu Selangor adalah peluang terbaik untuk menegur kelemahan pentadbiran Kerajaan serta membongkar kezaliman BN.


PAS berharap agar jentera Pakatan turun ke setiap rumah-rumah pengundi untuk menyampaikan maklumat sebenar terhadap situasi negara kini, disamping mendengar sendiri luahan hati rakyat yang dizalimi BN selama ini.

Peluang pilihanraya kali ini juga harus dimanfaatkan oleh jentera PAS untuk menyampaikan dakwah Islam serta memberikan kesedaran kepada rakyat untuk lebih mendekati Islam yang sebenarnya.

PAS menyeru agar seluruh jentera yang turun di Hulu Selangor agar dapat menunjukan komitmen dan akhlak yang baik, disamping mengelakkan provokasi yang boleh memburukan imej Pakatan.

PAS yakin Hulu Selangor akan kekal ditangan Pakatan dan para pengundi wajib mengambil peluang ini untuk keluar mengundi calon Pakatan-Datuk Zaid Ibrahim.



Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Read full story

Thursday, April 8, 2010

SEBELUM BERJANJI DI HULU SELANGOR: SELESAIKAN MASALAH SEKOLAH BOCOR DI SJKT BUKIT DARAH.

0 comments

KENYATAAN MEDIA
Email dari : penerangan.paspusat@yahoo.com


Parti Islam Se-Malaysia Pas (PAS) mendesak supaya pihak Kementerian Pelajaran Malaysia yang diterajui oleh Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yasin supaya menyelesaikan masalah sekolah SJKT di Bukit Darah dekat dengan Sungai Buluh. Sekolah yang begitu dhaif dengan bumbung bocor dan struktur bangunan yang merbahaya kepada pelajar.

Menurut laporan Utusan Malaysia online (6/4/10) Guru Besar SJKT Bukit Darah, A. Rajendra Devi berkata dia mula mengenalpasti keadaan itu sejak memulakan tugas di situ pada tahun 2006. Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja dihadapi murid-murid tetapi juga guru-guru kerana setiap kali musim hujan ia begitu membimbangkan.Beliau mengakui agak terkejut dengan maklum balas yang diterima bahawa peruntukan RM150,000 untuk sekolah berkenaan telah habis digunakan.

Apakah pihak kerajaan Umno/BN akan memperbaiki apabila ada pilihanraya kecil sahaja. Pemimpin Umno/BN menjadi buta mata apabila tidak ada pilhanraya kecil, mereka celik hanya apabila ada pilihanraya. Malahan ada bangunan sampai berkali-kali dirasmi sempena kempen pilhanraya.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS), mengharapkan pemimpin Umno/BN jangan menambahkan senarai yang bakal tidak ditunaikan kepada rakyat dalam setiap kali pilihanraya kecil. Walaupun peruntukan sudah diluluskan sebanyak RM150 ribu, namun tidak ada apa-apa perubahan fizikal yang dibuat. Pas meminta supaya satu siasatan mesti dibuat untuk menyiasat perkara ini. Pihak SPRM mesti bertindak untuk menyiasat laporan mengenai peruntukan wang sudah diluluskan tetapi projek tidak berjalan dan wang sudah habis.

PAS ingin menasihati pemimpin Umno/BN usahlah berjanji banyak sangat dalam pilhanraya kecil Hulu Selangor ini. Jangan menambahkan senarai pembohongan dan janji kosong dalam setiap kali pilihanraya. Kalau SJKT yang sudah lama pun tidak terbela bagaimana pula Tan Sri Muhyiddin boleh berjanji untuk mendirikan empat sekolah baru di kawasan Parlimen Hulu Selangor.

PAS mengharapkan semua pengundi di Parlimen Hulu Selangor sekali lagi bangkit menolak calon BN, supaya tercatat lagi satu sejarah keberanian pengundi di Hulu Selangor yang akan menjadi guru politik di negara ini. Bahasa undi sahaja yang pemimpin yang rakus ini boleh faham, mereka tidak faham dengan undang-undang, tidak faham dengan dialog ilmiah, tidak faham dengan teguran di parlimen tetapi akan faham dengan bahasa undi.




Ustaz Idris Haji Ahmad
Ketua Penerangan Pas Pusat


Read full story

Thursday, April 1, 2010

TUGU : Akhirnya Umno Henti Amalan Syirik dan akur teguran PAS, Majlis Fatwa

0 comments


KENYATAAN MEDIA
Email dari : penerangan.paspusat@yahoo.com


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan syukur kepada Alllah swt kerana akhirnya Umno-BN mengumumkan akan berhenti melakukan upacara meletakan bunga dan bertafakur di hadapan Tugu Negara yang jelas perbuatan syirik dan khurafat.

Pengumuman Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam membuktikan dakwaan PAS selama ini bahawa perbuatan itu adalah dosa besar Umno kepada Allah swt adalah benar. Beliau yang juga Naib Presiden Umno, mengumumkan semalam bahawa Upacara memperingati Hari Pahlawan tidak akan dilakukan di Tugu Negara lagi mulai tahun ini dan akan dipindahkan di Putrajaya dalam bentuk majlis yang berbeza.

PAS tegas menolak amalan meletakan bunga dan bertafakur di Tugu Negara setiap 1 Julai sempena Hari Pahlawan, dan Majlis Fatwa Kebangsaan yang berbincang pada 6 – 7 Oktober, 1987 juga telah mengeluarkan fatwa berhubung isu ini. Ianya adalah amalan yang bercanggah dengan Islam dan syirik.

Rakyat, khususnya kaum Melayu selalu bertanya. Apa beza PAS dan Umno? dua-dua parti yang dipimpin Melayu dan Islam, kenapa tidak boleh bersatu?

PAS berharap, isu Tugu Negara ini membuka mata rakyat bahawa PAS dan Umno memang jelas berbeza. Walaupun Umno mengaku Islam tetapi mereka jelas menolak syariat Islam yang ditetapkan oleh Allah swt.

Isu ini juga jelas membuktikan bahawa Islam dan Politik tidak dapat dipisahkan. PAS yakin, Umno akhirnya mengambil keputusan ini setelah tertekan bila mana PAS serius membawa isu ini hinggalah ke pentas Politik.




Walaupun Umno mempunyai Biro Agama dan Menteri Agama, tetapi mereka mengambil masa 23 tahun untuk memahami Fatwa Majlis Kebangsaan. Hakikatnya perkara ini tidak perlu dibawa ke Majlis Fatwa jika Umno benar-benar memahami Islam dan berjuang atas nama Islam. Walaupun Umno bangga mengatakan mereka berjaya membawa syiar Islam dengan wujudnya Tabung Haji, Pusat Zakat, Masjid-masjid besar dan sebagainya, tetapi 23 tahun mereka menafikan Fatwa syirik yang dikeluarkan Majlis Fatwa.

Allah sendiri memperingatkan dalam Al-Quran, bahawa semua dosa besar akan diampunkan kecuali Syirik. Dan jelaslah bahawa saranan Majlis Fatwa ini serius dan Umno-BN telah menyesatkan rakyat dengan melakukan upacara syirik ini sejak tahun 1963 iaitu tarikh ia dibina dengan kos RM 1.3 juta ketika itu.

PAS menghormati pengorbanan dan jasa pahlawan negara. Oleh itu PAS mahu majlis kesyukuran dan tahlil serta memberikan bantuan yang sewajarnya kepada keluarga pahlawan yang telah gugur menjadi program rasmi sempena Hari Pahlawan. Bukannya bertafakur dan membazir duit untuk meletakan bunga ditugu yang tidak bernyawa itu.

PAS juga berharap agar Umno menghapuskan semua amalan syirik dan khurafat yang mereka lakukan termasuk amalan menepung tawar dan menabur beras kuning seperti yang dilakukan oleh Datuk Ismail Sabri dalam Majlis pelancaran Van Umno Bahagian Wangsa Maju minggu lepas.

PAS yakin rakyat semakin cerdik dan melihat siapa sebenarnya yang memperjuangkan Islam dan siapa sebenarnya yang mengkhianati Islam.



Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat


Read full story
Related Posts with Thumbnails
 

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy