Friday, January 20, 2012

Sambutan Jubli Emas Pemuda PAS Negeri Terengganu (3): Sekitar Majlis Perasmian

0 comments

DUNGUN, 20 Disember: Selepas selesai talkshow bersama ad-Da’eiyatul Islami al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus, program diteruskan lagi dengan Majlis Perasmian oleh al-Fadhil Ustaz Nasrudin Hasan at-Tantawi, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Majlis perasmian tersebut dimulakan dengan bacaan al-Quran oleh Ustaz Yahya bin Ali diikuti ucapan alu-aluan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, YB al-Fadhil Ustaz Mohd Nor Hamzah.

“ Semalam –alhamdulillah-, telah mengadakan ceramah dan mendapat sambutan yang sangat baik. Hari ini –alhamdulillah-, kita masih mendapat sambutan yang agak baik walaupun dalam keadaan cuaca yang sangat menyukarkan untuk kita hadir dan memeriahkan majlis kita pada hari ini. Tetapi saya mengharapkan seluruh kita dapat menjayakan majlis ini sepanjang Sambutan Jubli Emas”, ujar beliau memulakan ucapan.


Beliau meneruskan ucapan dengan mendoakan kepada seluruh pemuda sejak dahulu sehingga sekarang yang telah berusaha memastikan kelansungan perjuangan ini supaya diberi ganjaran yang setimpal oleh Allah Taala. Beliau yang juga Adun Bukit Payung turut mengimbau kembali sejarah tertubuhnya Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu.

“ Insyaallah, kita mengharapkan supaya kita mencapai kemenangan di negeri dan negara ini dengan bantuan daripada Allah Taala. Saya mengucapkan penghargaan besar kepada seluruh pemuda yang bertungkus lumus menjayakan program ataupun Sambutan Jubli Emas kali ini”, jelas beliau menutup ucapannya.

Selepasnya, majlis diteruskan dengan ucapan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, YB Haji Abdul Wahid bin Endut. Beliau melahirkan rasa semangat yang timbul di jiwa apabila melihat semangat anak muda yang berdiri di tengah panas matahari yang terik setelah bertahan dalam hujan ketika mendengar kuliah Ustaz Azhar Idrus sebelum itu.

Beliau turut mengingatkan seluruh yang hadir dengan sejarah Terengganu yang pernah merasai kesejahteraan di bawah pemerintahan yang mengamalkan Syariat Allah Taala. PAS Terengganu baru sahaja selesai mengadakan sambutan 100 tahun Pemerintahan Islam Terengganu di Kuala Berang awal bulan yang lalu.

“ Kita merayakan 100 tahun Itqan al-Muluk, kita mengadakan sambutan 50 tahun Pemuda Pas dan kita mengadakan program-program gerakan rakyat PAS Ganti UMNO; tujuannya kita ingin membina kekuatan dan membina semangat rakyat untuk menghadapi pilihanraya yang ke 13 akan datang. Janji Allah Islam akan menang, itu keyakinan kita”, tegas beliau mewakili Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu.

Al-Fadhil Ustaz Kamaruzzaman Mengarahkan Pemuda Berkumpul Di Hadapan Pentas

Acara berada di kemuncak apabila al-Fadhil Ketua Pemuda bangkit memberi ucapan.

“ Nabi mengharapkan lahir generasi, lahir sekelompok/segolongan manusia yang beriman kepada Allah biarpun generasi terdahulu mengingkari Allah Taala. Saudara-saudara yang dihormati Allah sekalian, moga kita termasuk dalam kalangan pemuda-pemuda yang mengabdikan diri kepada Allah, dari kalangan pemuda-pemuda yang siap dan bersedia untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab menimarahkan bumi Allah Taala dengan syariat yang telah diutuskan Allah kepada Nabi Muhammad Sollallahu’alaihiwasallam’, tegas beliau.


Dalam kesempatan tersebut, beliau mengingatkan pemuda supaya menghargai jasa kepimpinan yang sejak dahulu bersusah payah berjuang menegakkan agama Allah Taala. Beliau mendoakan supaya semua yang hadir mampu istiqamah dalam perjuangan sehingga akhir hayat. Beliau turut mengimbau kenangan mengayuh basikal ketika berusia 13 @ 14 tahun dari Kampung Batu 13 ke Rusila untuk mendengar pemidato yang hebat ketika itu, al-Fadhil Ustaz Harun Jusoh yang juga merupakan bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu.

Selain itu, beliau menceritakan pertemuan dengan beberapa orang artis supaya pemuda mengatur pertemuan artis dengan Al-Fadhil Tuan Guru.


“ Jadi, insyaallah, sempena himpunan anak muda hari ini, sempena sambutan Jubli Emas Pemuda PAS Negeri Terengganu, saya berharap antumlah menjadi manusia yang mengajak manusia kepada Allah. Boleh atau tidak? Kalau boleh, saya rasmikan Sambutan Jubli Emas Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu ini dengan melaungkan tiga kali lafaz takbir”.

Majlis perasmian disemarakkan lagi dengan gimik perasmian diikuti dengan penyampaian cenderahati kepada bekas ketua-ketua pemuda PAS yang lalu sebelum majlis berakhir.

Selesai majlis, para hadirin menikmati jamuan rakyat yang disediakan oleh penganjur.
Read full story

Sambutan Jubli Emas Pemuda PAS Negeri Terengganu (2): Sekitar Talkshow Pendakwah Sejuta Ummah, Ustaz Azhar Idrus

0 comments




DUNGUN, 20 Disember: Cuaca pagi hari ini sedikit menguji keikhlasan seluruh ahli PAS untuk menghadiri majlis Sambutan Jubli Emas Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT). Hujan yang turun kira-kira jam 9 pagi semakin lebat.

Namun begitu, hujan tersebut sedikitpun tidak menghalang para hadirin untuk khusyuk mendengar ucapan yang disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus. Majlis tersebut dimoderatorkan oleh Ketua Lajnah Tarbiyah DPPNT, al-Fadhil Ustaz Kamaruzzaman Abdullah.



Walaupun hujan masih tidak berhenti, semakin ramai yang hadir berkumpul di hadapan majlis. Kesungguhan hadirin ini menjadikan majlis semakin rancak dengan selingan nasihat-nasihat penuh hikmah daripada al-Fadhil Ustaz Azhar yang ditujukan kepada pemuda khususnya dan seluruh yang hadir umumnya.

Dalam kesempatan tersebut, beliau sempat menjawab beberapa soalan yang diajukan oleh moderator program dengan jawapan-jawapan yang bersifat realiti semasa menyebabkan seluruh yang hadir mampu menerimanya dengan baik.

Majlis talkshow tersebut diakhiri dengan nasihat dan taujihat yang disampaikan kepada seluruh yang hadir supaya istiqamah memastikan seluruh umat Islam kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.

Read full story

Sambutan Jubli Emas Pemuda PAS Negeri Terengganu (1): Sekitar Ceramah Umum Timbalan Presiden PAS

0 comments

DUNGUN, 19 Disember: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) telah Berjaya menganjurkan Sambutan Jubli Emas, 50 tahun Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu.

Sambutan bermula dengan ceramah umum yang disampaikan oleh 3 penceramah iaitu al-Fadhil YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, Ketua DPPNT; al-Fadhil Us Saiful Bahri Mamat, Timbalan Pesuruhjaya BPPNT dan al-Fadhil Tuan Haji Mohamad bin Sabu Timbalan Presiden PAS. Majlis dipengerusikan oleh pengarah sambutan, al-Fadhil Us Sheikh Hanafi Abdul Aziz.

Ceramah dimulakan dengan ucapan al-Fadhil Ketua Pemuda DPPNT. Beliau mengimbau kenangan sejarah penubuhan DPPNT. Istimewanya, DPPNT ditubuhkan secara rasminya pada 20 Januari 1961, hari Jumaat dan akan disempurnakan perasmiannya pada 20 Januari 2012 juga jatuh pada hari Jumaat.

Majlis dihangatkan lagi dengan ucapan al-Fadhil Ustaz Saiful Bahri Mamat. Beliau menyentuh isu-isu yang berlaku dalam negeri Terengganu melibatkan kezaliman dan penindasan kerajaan UMNo terhadap rakyat. Dalam masa yang sama, beliau menerangkan 10 janji dan manifesto PAS yang telah diumumkan sekiranya rakyat memberi mandat kepada PAS untuk mentadbir kerajaan Terengganu.

Dalam kesempatan itu juga, beliau menceritakan kes terbaru melibatkan rampasan tanah Sekolah Rendah Islam Darul Bayan, Paka. Tanah yang menjadi milik SRIDB itu dibahagikan kepada lima lot atas nama beberapa orang ahli jawatankuasa JKKK sekitar kampung tersebut.

Ceramah menjadi semakin menarik dengan ucapan kemuncak yang disampaikan oleh Tuan Haji Mohamad bin Sabu. Beliau banyak menyentuh isu-isu nasional. Beliau membandingkan kejayaan negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat yang jauh lebih baik daripada negeri-negeri di bawah Barisan Nasional.

Beliau meminta seluruh rakyat untuk menjadikan orang tengah sebagai kayu ukur kebenaran. Majlis audit negara yang berada di bawah Yang diPertuan Agong telah mendedahkan dengan jelas cara UMNO yang banyak menipu ketika menguruskan harta negara. Ini adalah bukti jelas penipuan UMNO kepada rakyat yang tidak disebut langsung oleh media massa yang berada di bawah kawalan mereka.
Read full story

Wednesday, January 18, 2012

Panduan Kerja Sukarela Pahlawan Cyber

0 comments

"Ramai pengguna internet yang membuka akaun facebook, buat laman web, blogspot, wordpress berorientasikan politik. Mereka menulis apa yang mereka mahu tulis. Ada yang memang penulis professional tetapi tidak ramai.

Kebanyakannya adalah amatur. Tetapi peranan mereka besar. Semangat mahu jatuhkan Umno BN pun berkobar-kobar tetapi apa yang berlaku ialah kebanyakannya biasa mengikut arus dalam membawa isu. Mereka bersifat reaktif dalam mengutarakan isu, jadi responsif terhadap isu yang dimainkan media arus perdana(a.k.a. media umno BN). Justeru, perlu suatu garis panduan untuk kita bergerak ke arah memenangkan Pakatan Rakyat pada PRU 13 nanti insyAllah!!!.

Di bawah ini sedikit panduan yang terlintas secara lalu di minda saya untuk dikongsi bersama. Saudara saudari boleh beri cadangan untuk menambah apa yang perlu untuk kebaikan bersama.

1.MENERANG: Sebarkan segala bahan penerangan Pakatan Rakyat kepada pengguna internet terutamanya dari sumber yang rasmi. Antara bahan penerangan yang wajib disebarkan ialah seperti berikut:

1.1. Dasar Parti-parti Pakatan Rakyat dan Dasar bersama Pakatan Rakyat.
1.2.Aktiviti dan Program Parti-parti Pakatan Rakyat di semua peringkat
1.3.Penerangan isu-isu tempatan dan nasional. Ini perlu bagi menjawab tuduhan-tuduhan UMNO BN terhadap parti dan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat.

2.MENYERANG: Serang UMNO BN dengan pelbagai cara dan sudut.Antara elemen yang perlu diserang:

2.1.Pembongkaran isu-isu rasuah, penyelewengan dan kezaliman di semua peringkat.
2.2.Pendedahan dasar-dasar kerajaan yang menzalimi dan tidak menguntungkan rakyat.
2.3.'Highlight'kan PEMBOHONGAN2 pemimpin UMNOBN secara berterusan.

3.PERKARA YG WAJIB DIELAKKAN:

3.1.Memberi fokus kepada perbezaan ideologi antara parti-parti Pakatan Rakyat
3.2.Memperbesarkan isu-isu masalah dalaman parti-parti Pakatan Rakyat.
3.3.Menghentam dan memperkecil pimpinan pati-parti Pakatan Rakyat.

4.CARA ATASI 'DIVERSION OF ISSUES' OLEH BLOGGER/UNIT MEDIA BARU UMNO:

4.1.Jangan layan atau jawab isu yang dibangkitkan. Ini kerana masing-masing parti dalam Pakatan Rakyat ada Bahagian Penerangannya. Kita boleh guna jawapan 'standard' yang akan dikeluarkan parti untuk elakkan percanggahan.
4.2.Padamkan dari 'wall' atau 'chatbox' anda.
4.3.Kembali kepada isu-isu asal seperti NFC dan sebagainya.



JABATAN MEDIA BARU
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI TERENGGANU


SEKIAN. TERIMA KASIH.
SELAMAT BERJUANG!!!
WALLAHU A'LAM.

Sebarkan!!!
"

Read full story

Monday, January 16, 2012

Dungun, Tuanrumah Jubli Emas DPPNT 19, 20 & 21 Januari

0 comments
KUALA TERENGGANU, 16 Jan : Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu akan mengadakan Sambutan Jubli Emas pada 19, 20 dan 21 Januari ini bertempat di Batu 5, Alor Tempoyak, Dungun.

Setiausahanya, Muhammad Zaidan Abdullah berkata, pelbagai program telah disusun bagi memastikan sambutan 50 tahun itu meriah dan bermakna.

Katanya, majlis itu akan dirasmikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasruddin Hassan Tantawi.

“Sambutan ini dijangka akan dihadiri kira-kira 30 ribu pengunjung sepanjang program ini berlangsung.

“Sepanjang 50 tahun penubuhannya, DPPNT telah dipimpin oleh 16 orang Ketua Pemuda, antara mereka termasuklah Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dan Mohd Abdul Wahid Endut, Pesuruhjaya PAS negeri sekarang,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Katanya, pada malam 19 Januari diadakan ceramah yang melibatkan Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Saifudin Nasution Ismail (Setiausaha Agung PKR), Ustaz Saiful Bahari Mamat (Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu) dan  Ustaz Mohd Nor Hamzah (Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri).

Pada 20 Januari pula, katanya majlis dimulakan dengan Kuliah Dhuha akan disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus, diikuti perbarisan Unit Amal dan Waja, ucapan oleh Mohd Nor Hamzah, Mohd Abdul Wahid Endut, perasmian oleh Nasruddin Hasan Tantawi serta penyampaian “Anugerah Khas Jubli Emas”.

Selain itu, ujarnya Karnival OMGK – “Orang Mude Geng Kite” diadakan bermula jam 2.30 hingga 6.30 petang, diikuti slot Bersama Imam Muda, Fakhrurazi Husein.

Konsert Hiburan Alternatif pula diadakan bermulan jam 9.00 malam yang melibatkan Bob Lokman, Iwan Syahman dan Kumpulan Ar Rasy.

Pada 21 Januari, Larian Jubli Emas DPPNT bermula jam 8.00 pagi dan majlis berakhir kira-kira jam 12.00 tengah hari dengan amanat Presiden PAS.

Katanya, acara lain yang turut diadakan ialah Konvoi Motor – ARC, Konvoi Basikal dan Pelancaran Alternative Cycling Club (ACC), Pameran dan Aktiviti (Karnival Orang Mude Geng Kite), Jamuan Rakyat, Pameran 50 tahun penubuhan DPPNT, Kaunter Khidmat Nasihat Guaman dan Undang-Undang, Rawatan Islam Darul Syifa’ dan Derma Darah.

Read full story

" Sunnah Nabawiah Membenarkan Demonstrasi Aman Membantah Kezaliman Pemerintah" - Syeikhul Azhar

0 comments

Al-Imam Al-Akbar Dr Ahmad At-Tayyib, Syeikhul Azhar menegaskan: Adalah menjadi hak bagi rakyat untuk keluar berhimpun secara aman bagi membantah kerajaan atau pemimpin sekiranya mereka melakukan kerosakan dan kezaliman.

Beliau berkata: “ Sunnah Nabawiyyah membenarkan demonstrasi aman untuk berhadapan dengan kezaliman pemerintah sekiranya mereka tidak mengendahkan nasihat rakyat”

Selain itu, beliau menyebut dalam ucapannya yang disampaikan oleh wakil beliau Dr. Hasan as-Syafie dalam satu muktamar yang membincangkan: “ Hadis Nabawi Antara Realiti & Harapan” yang dianjurkan oleh Jam’iyyah al-Maknaz: “ Islam menolak kezaliman dalam apa jua bentuk sekalipun dan mengizinkan untuk menentang dan membantah kerajaan/pemerintah yang zalim. Dengan syarat tidak mengangkat senjata sehingga tidak membawa kepada meletusnya perang saudara yang akan menyebabkan bermulanya fitnah yang sangat besar serta sukar untuk dikawal”

Dalam kesempatan tersebut, Syeikhul Azhar turut menolak seruan-seruan golongan yang menggelarkan dirinya sebagai “Quraniyyun” dengan dakwaan hanya berpegang kepada al-Quran al-Karim sahaja dan menolak Hadis Rasulullah dengan katanya: “ Ucapan mereka bertentangan dengan Kalam Allah Taala sebagaimana tercatat dalam al-Quran al-Karim: [Sesiapa yang mentaati Rasul, bermakna dia mentaati Allah]”. Beliau menambah: “ Wajib atas kita untuk menolak penyelewengan mereka yang mendakwa hanya menurut al-Quran sahaja kerana Hadis Nabi datang untuk menjelaskan serta mensyarahkan kandungan Al-Quran. Tidak mungkin sama sekali seseorang mengabaikan Hadis Nabi dalam apa jua keadaan sekalipun"

Terjemahan daripada sumber asal: http://www.almogaz.com/politics/news/2012/01/15/152528



Video Selingan: Gambaran Kezaliman Pemerintah

"Sesungguhnya mengundi bagi (calon) Fulul atau mereka yang ada hubungan dengan anggota parti (pemerintah) yang dibubarkan (iaitu Parti Demokratik Kebangsaan-NDP) - parti Husni Mubarak - pada pilihanraya akan datang adalah HARAM dari segi syarak. Ini kerana memandangkan mereka telah menyumbang kepada kerosakan selain keinginan mereka yang mahu menghancurkan masa depan Mesir dengan berleluasanya rasuah sedangkan telah berlakunya revolusi berdasarkan sebab tersebut (iaitu memerangi rasuah dan kerosakan). Maka sesiapa yang memberikan undinya nescaya dia telah menyampaikan (golongan ini) kepada pentas bagi membuat perundangan." - Fatwa As-Syahid As-Syeikh 'Imad 'Effat Rahimahullah, Ulama' al-Azhar as-Syarif yang syahid dibunuh dalam demonstrasi pada 16 Disember tahun lalu di Kaherah, Mesir.
Read full story

Sunday, January 15, 2012

Sekitar Program Bicara Penurun Bendera: Laungan ‘Hidup Mahasiswa’ Gegarkan Kawasan Dungun

0 comments

DUNGUN, 14 Januari – Pastinya, kehadiran beberapa mahasiswa yang dizalimi memberi penjelasan dan penerangan di perkarangan Surau Tuan Guru Haji Zainal Abidin (STGHZA) menimbulkan keresahan dan kebimbangan UMNO/Barisan Nasional.

Seluruh yang hadir mendengar dengan penuh khusyuk setiap penjelasan daripada mahasiswa yang bangun memberi ucapan. Setiap daripada mereka menceritakan kronologi kezaliman pihak berkuasa ke atas mereka semata-mata disebabkan perjuangan mempertahankan hak mahasiswa. Mereka turut menerangkan sebab kesungguhan mereka berjuang memastikan Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU) yang mengongkong kebebasan mahasiswa dihapuskan.

Majlis semakin hangat apabila Saudara Adam Adli bangun untuk memulakan bicaranya sambil diiringi laungan ‘Hidup Mahasiswa’ sebagai pembangkit semangat. Beliau meneceritakan satu-persatu peristiwa yang berlaku pada 17 Disember 2011 sehinggakan beliau menjadi buruan selepas itu serta digantung pengajian selama 3 semester.

" Umur saya 22 tahun..... 23, tahun ini. Muda lagi; memang jiwa pemberontak. Saya mahasiswa. Dari dahulu lagi, resamnya mahasiswa itu adalah pejuang. Resamnya mahasiswa itu adalah pemberontak kerananya mahasiswa ini jiwanya bersih; tiada kepentingan, tiada projek, tiada kroni. Apa yang mereka buat adalah kebenaran. Apa yang mereka buat adalah berjuang demi mahasiswa dan rakyat", ujar beliau memulakan ucapan.

Beliau menegaskan golongan yang mempertahankan AUKU adalah golongan yang hanya merosakkan negara. Mereka hanya berfikir mengenai kepentingan diri semata-mata. Mahasiswa yang hanya mementingkan diri pasti tidak akan mampu untuk membela rakyat selepas tamat pengajian sedangkan mereka diharapkan untuk memberi sumbangan kepada masyarakat.

" AUKU ini adalah proses pembodohan pada mahasiswa. Itu yang jadi mahasiswa masuk universiti, belajar kata rasuah salah. Keluar (universiti), makan rasuah. Itu dia penangan AUKU. Dia tak hormat ilmu. Dia tak bagi kebebasan untuk berfikir. Dia sekat daya fikir mahasiswa. Mahasiswa tidak lagi kreatif, tidak lagi kritis "

“ Jangan gentar, jangan takut. Kita muda. Kalau Allah takdirkan umur kita panjang, panjanglah dia. Kalau Allah Taala takdirkan umur kita pendek, biar kita mati dalam perjuangan. Itu lebih mulia dari hisap dadah dan sebagainya”, tegas beliau dengan penuh keberanian.

Jiwa Pejuang: Safwan Anang Mendedahkan Penipuan Pihak Tentangnya Tanpa Rasa Gentar

Saudara Safwan Anang menyampaikan ucapan terakhir dengan penuh semangat walaupun dalam keadaan uzur setelah dibelasah oleh polis. Beliau menegaskan kerajaan sekarang sudah tidak boleh diharap untuk membela rakyat.

“ Apa yang dia buat untuk rakyat? Jalan Dungun 2.7 KM pun tak boleh nak selesai!. Budak ni (sambil menunjuk kepada salah seorang budak di hadapan pentas) dua kali nopat (lompat) je abih doh jalan (dah sampai ke hujung jalan). Mat Said... abih ah mung Mat Said. Masa depang mu di tangan rakyat. Berat nanang doh..”, seloroh beliau dengan kandungan mesej yang jelas bagi menunjukkan kelemahan kerajaan UMNO menguruskan masalah rakyat.

" Rakyat perlu bangkit untuk tolak rejim Barisan Nasional dan kerajaan zalim UMNO.... UMNO dah takde masa depan. Kerajaan yang ada sekarang dah corrupted. Curi ratusan juta, penjara setahun. Orang curi botol syampu, penjara dua tahun.. berat nanang sistem dalam negara hari ni ", tegasnya lagi.

Us Azman Shapawi bersama Adam dan Safwan

Turut memberi ucapan adalah dua rakan Adam Adli; Khairul Naim dan Ehsan bukhari selain al-Fadhil Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani. Majlis ditutup dengan bacaan doa oleh Ketua Pemuda PAS Kawasan Dungun, Ustaz Sheikh Hanafi Abd Aziz.

Selesai ceramah, para penyokong mengambil kesempatan untuk bergambar dengan Adam Adli dan rakan-rakannya.

Ketua DPPKD turut mengambil peluang bergambar dengan Adam Adli

Read full story

Kemenangan Pasti Milik Islam – Us Azman Shapawi

0 comments
DUNGUN, 13 Januari – Khutbah Jumaat penuh bersemangat yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Al- Fadhil Ustaz Azman Shapawi Abd Rani telah membangkitkan semangat seluruh ahli jemaah yang hadir untuk terus berjuang menegakkan agama Allah Taala di atas muka bumiNya.

Beliau memulakan khutbah di Masjid Pulau Serai dekat sini dengan penegasan bahawa Islam pasti diberi kemenangan oleh Allah Taala pada satu hari yang telah ditetapkan dalam susunanNya.

“ Wahai sidang Jumaat sekalian, kemenangan itu pasti akan berpihak kepada Islam walaupun perjalanan menuju kemenangan tersebut jauh”, tegas beliau yang juga merupakan bekas Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat

Beliau selanjutnya membaca sepotong ayat al-Quran daripada surah at-Taubah:

“Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh dan penuh kesukaran bagi mereka” [at-Taubah: 42]

Selain itu, para pendokong perjuangan yang dibawa oleh PAS di bawah kepimpinan ulama’ diseur untuk lebih bersungguh-sungguh berjuang untuk memastikan kemenangan milik Islam. Perjuangan Islam tidak boleh dilakukan sambil lewa. Hasrat dan cita-cita untuk melihat kebangkitan Islam memerlukan pengorbanan serta penat lelah seluruh ahli yang cintakan Allah dan RasulNya Sollallahu’alaihiwasallam.

Dalam kesempatan tersebut, beliau turut menceritakan kisah sahabat Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam, Suhaib ar-Rumi yang mengorbankan seluruh hartanya semata-mata memastikan hasratnya untuk berhijrah ke Madinah bersama Rasul tercapai. Sikap yang ditunjukkan oleh Suhaib ini dipuji oleh Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam.

“ Beruntung Suhaib…beruntung Suhaib”, jelas Al-Fadhil Ustaz Azman menukilkan pujian Rasul terhadap sahabatnya itu.

Beliau juga membangkitkan rasa cinta dan ghairah seluruh ahli Jemaah untuk infaq pada jalan Allah. Pelbagai janji ganjaran oleh Allah kepada hambaNya yang sudi meminfaqkan harta dan jiwa pada jalan Allah.

“ Setiap daripada kita mempunyai kepakaran tersendiri. Ada yang diberi kekuatan fizikal, ada yang diberi kekuatan harta, ada yang diberi kekuatan kepimpinan, ada yang diberi kekuatan ilmu, Kita semua perlu bekerjasama untuk memastikan Islam berdaulat di atas muka bumiNya: tegas beliau.

Read full story

Thursday, January 12, 2012

PAS tidak melencong atau menyeleweng dan jauh sekali daripada berubah dari Islam kepada yang tidak Islam.

0 comments
Artikel di bawah dipetik daripada ruangan Bersama Dato' Haron Din yang disiarkan akhbar Harakah Bil. 1704 (8-11 Safar 1433/2-5 Januari 2012). Ianya diterbitkan semula dalam Harakahdaily.

Datuk, akhir-akhir ini selalu sangat orang memperkatakan bahawa PAS telah melencong daripada perjuangan asalnya. PAS didakwa meninggalkan Islam dan telah tidak lagi memperjuangkan Negara Islam dan berubah kepada Negara Berkebajikan. Ini tidak pernah disebut oleh pemimpin PAS terdahulu. Saya keliru kerana diulang-ulang dan disebut oleh media masa, sedangkan yang menyanggahnya jarang kedengaran. Apa pandangan dan nasihat Datuk kepada orang-orang seperti saya supaya teguh berdiri bersama PAS? Terima kasih Datuk.


Penyokong PAS Tegar, Dungun, Terengganu.

Jawapan Datuk Prof Dr Haron Din : PIHAK yang memperkatakan kononnya PAS telah melencong dan terbabas dari perjuangan asalnya, dengan meninggalkan Islam dan berbagai-bagai lagi, adalah dakwaan media massa yang memusuhi perjuangan PAS.Tugas utama mereka adalah untuk mempromosikan parti pemerintah dan memburuk-burukkan lawannya terutama PAS. Dengan apa mereka hendak memburuk-burukkan PAS?

Itulah kerja media yang tidak senang dengan PAS. Selagi PAS teguh memperjuangan Islam, selama itulah Umno-Barisan Nasional tergugat dan akhir-akhir ini semakin tergugat. Oleh kerana itu mereka berusaha melemahkan PAS dengan apa cara pun.

Sebenarnya PAS tidak melencong atau menyeleweng dan jauh sekali daripada berubah dari Islam kepada yang tidak Islam. Mana mungkin PAS hendak berubah kepada yang tidak Islam.
Bukti yang paling nyata, Perlembagaan PAS yang ada sekarang, jelas tidak ada sebarang perubahan dan tidak pernah ada cadangan untuk berubah.

Perlembagaan PAS, Fasal 1, nama pertubuhan disebut Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Pada Perlembagaan PAS, Fasal 3, tujuan PAS ialah:

(i) Memperjuangkan wujudnya dalam negara ini, sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredaan Allah.

Di dalam PAS ada Majlis Syura Ulama, yang di antara tugas utamanya, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan PAS, Fasal 7 (B):

“Mengeluarkan arahan dan perintah, supaya dasar dan ketetapan itu, dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawasi serta memelihara, supaya dasar dan ketetapan serta kehendak-kehendak di dalam Perlembagaan ini dipatuhi dalam kegiatan gerakan dan pentadbiran PAS.”

Semua yang saya nyatakan berjalan lancar dan berada dalam keadaan baik, tanpa berlaku penyelewengan dan kelencongan.

Pihak yang menyatakan PAS sudah melencong dan berubah dasar perjuangannya, meninggalkan Islam dan Negara Islam dan bermacam-macam lagi, adalah suatu fitnah jahat yang semata-mata bertujuan memburuk-burukkan pejuang-pejuang Islam, yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam, sepanjang zaman.

PAS tidak berubah dan tidak pernah mengubah dasar-dasar utama perjuangannya. Taktik dan strategi boleh berubah mengikut keperluan.

Apa yang disebut Negara Berkebajikan menggantikan Negara Islam, itu sebenarnya istilah. Maknanya sama dan tidak berubah.

Malah menamakan Negara Islam dengan nama Negara Berkebajikan, tidak bercanggah dengan Islam.

Di dalamn al-Quranul karim tidak terdapat istilah Negara Islam secara jelas dan terang. Yang ada seiras dengannya adalah istilah ‘Baldatun Tayyibah’ sebagaimana firman Allah (mafhumnya): “Sesungguhnya adalah bagi penduduk negeri Saba’, ada suatu tanda kemurahan Allah yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu dua bidang kebun yang luas lagi subur yang terletak di sebelah kanan dan kiri. Lalu dikatakan kepada mereka itu, makanlah daripada rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kamu kepada-Nya dan negeri kamu itu adalah negeri yang Tayyibah (Baik atau berkebajikan) dan Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Pengampun.” (Surah Saba’ ayat 15)

Ketika Presiden PAS membentangkan istilah Negara Berkebajikan dalam muktamar yang lepas (Jun 2011), tidak ada sesiapa pun yang meragui istilah itu dan tiada sesiapa pun yang mempersoalkannya di dalam muktamar.

Biasanya, jika ada sesuatu yang tidak kena, ahli dalam muktamar PAS akan menimbulkan berbagai pandangan, teguran dan bangkangan. Yang ternyata muktamar telah menerima.
Apabila ini berlaku, maka ianya adalah sesuatu selaras dengan perjuangan PAS.Penyebar-penyebar fitnah ke atas pejuangpejuang Islam, bukan perkara baru, malah sejak dari zaman sahabat Rasulullah s.a.w, yang memperjuangkan Islam pada waktu itu, musuh-musuh Islam dari kalangan musyrikin dan munafikin, telah menyebar fitnah yang lebih besar.

Antaranya dahulu, mereka menyatakan, ‘Muhammad adalah ahli sihir, dia gila, pembawa cerita dongeng, pemecah perpaduan umat Arab, dia menyembah berhala (Kaabah).’ Berbagai-bagai lagi fitnah dilemparkan terhadap Nabi s.a.w dan para sahabat baginda.
Oleh yang demikian, anda tidak harus mengendahkan media-media musuh Islam yang memang itu kerja mereka.

PAS sekarang, tetap PAS seperti dahulu, tetap memperjuangkan Islam yang syumul, tanpa menghiraukan kata-kata orang menentang.

Berpandulah kepada hadis Rasulullah s.a.w (mafhumnya): “Akan sentiasa wujud di kalangan umatku segolongan orang-orang yang memperjuangkan Islam yang sebenar, tanpa menghirau celaan orang yang suka mencela, sehingga kemenangan yang nyata, berhasil pada akhirnya.” Wallahua’lam.

Read full story

Sunday, January 8, 2012

Mat Rempit Mendapat Hidayah Setelah Mendengar Ceramah Ustaz Azhar Idrus

0 comments

Sebagai MAT REMPIT berjaya…aktiviti malam aku sering dipenuhi dengan aktiviti berlumba mutor dan menghuru harakan bandar kuala terengganu sambil bawak awek(minah rempit). Bagi aku itu adalah satu bentuk hiburan yang amat menyeronokkan dan kene dengan jiwa remaja. Siang malam..HIDUPKU hanyalah pada mutor 125Z meroh, no plat BGH 12**.

Awek ku DENGAN free hair dan pakaian DOP cukup kain akan selalu menjadi pembonceng tetap aku setiap malam. Namun aku bersyukur kerana tidak terjebak dengan DOSA ZINA(hampir TERJEBAK) dimana terlalu ramai saeng2 seangkatan ku tewas dengan NAFSU serakah. Mungkin Allah S.W.T masih sayangkan aku.

SERIUS aku mengaku 24 tahun hidup, aku memang dop kenal tikor sembahyang…apatah lagi nok GIsurau bala atau majlis ilmu..JAUH…Ayoh ngan MOK aku dop tahu nok buat mende(buntu).. bebelan MOK dan penampOr singgang AYOH jadi rutin harian aku ..BUKAN niat aku untuk membuka AIB aku ATAU sesiapa…tapi hanya sekadar BERKONGSI dengan saeng2..

Aku mula KENAL dengan Ustaz Azhar pada awal 2008. CERITANYE.. Aku secara DOP SENGAJA terdengar kuliah Ustaz yang dipasang di VCD Player oleh AYOH. Mase tu aku dup dalam bilik..Ayoh aku sengelen(sengaja) pasang kuat…nok cyco aku..NOK SUH AKU DENGOR.. Aku masih ingat lagi AYAT Ustaz Azhar yang MENARIK perhatian aku untuk terus mendengar kuliah beliau(padahal selama ni,,,dop pernah seumur hidup..aku minat Kuliah agama yang mengantuk dan bosan…jiwa rempit la SANGAT)..KATA USTAZ AZHAR…

” Mung nok jadi mat rempit, jadi artis ker,,jadi mende2 pown..dop SALOH.. Tapi dengan syarat kene ikut syariat Islam..Doh nok uat guane memang mung wahi bawok mutor laju…Islam dop sekat…asalkan time semayang,,mung sembahyang…time gi surau…mung gi surau…NABI pown suh ayah2 ajar anok2 nek kuda…KUDA zaman lening mutorsikal r..”
satu agi..”Mung nok bawok orang puan atah mutor dop saloh..BULEH…tapi dengan syarat…mung letok ayah orang puan tu tengoh2…”HAHA

Jadi mat rempit dop saloh!!..selama ni mat rempit sokmo(selalu) dicop sebagai musuh utama negara..JAHAT…dop layok buat NATU(MENANTU)..tak dop Mase depan..PERAGUT…Punoh..TAPI tiba2 seorang Ustaz KABO(beritahu) bahawa jadi MAT REMPIT dop saloh…tapi kene semayang…kene gi sura bala( surau dan balai)..BULEH TAHAN GOK USTAZ NI..lawok spontan dan contoh2 hok Ustaz beri memang kena dengan situasi..MUDOH PAHAM..aku jadi ketagih..

Aku CARI video Ustaz Azhar dari member2…aku bluetooth..letak dalam Nset aku (selama nim dup bluetooth B*** sokmo) .Aku SHARE plop dengan member2 lain. Aku share bagi ker AWEK aku…Aku dop MISS gi dengar kuliah Ustaz Azhar terutama di sekitar Kuala Terengganu…Surau Pok Tuyu, Surau Flat Gelung Bilal, Surau Ladang, surau wan esah dan lain jadi tempat wajib ( dulu kalu lepah garib(magrib)…batu burok, durian burung, wakaf beruas, jalan airpot jadi kewajipan) .

Alhamdulillah, aku mula SOLAT cukup lima waktu…aku tahu mok ngan ayoh aku suke sangat tengok aku beruboh…sebab sebelum gi kuliah Ustaz Azhar..dapat duit isi minyak rm 20..masyuk..huhu..mungkin gembira bedooh(teramat) tengok aku beruboh..siap SPONSER minyak 2T agi bulan2..selama ni dop bau laa…

Hok paling aku suke…awek aku pakai tudung doh..name yer Fatin (bukan name sebenor..tapi memang COMEL r boh..tengok ayat r..haha) …siap paka baju kurung sokmo..dop NGEPONG doh mutor ngam aku…sebab aku kate ker dyer…lau mung nok nek mutor ngam aku..mung kene ajok AYOH mung etek..hahaha. Sebab Ustaz Azhar kabo..nok couple dop saloh..asalkan kene niat nok uat BINI ..pahtu lau jupe jangan dup pegang2 r..jangan jupe tempat tak dop orang…sebab mung nok uat bini kam…kene jage r MARUAH bakal bini mung…InsyaAllah..2/4/2012..aku nok nikoh dengan dia…jeput mari belake neh…rumah depan Keda Sabasun..hahaha

GituLA serba sedikit kisoh aku…PENANGAN USTAZ AZHAR..memang sangat hebat..bayangkan pok sedare aku( adik ayoh) hok dulu seorang penagih dadoh tegar…kini molek2 ade jadi pengikut setia Ustaz Azhar…siap dapat kawin dengan ustazah agi…dapat pulop kerje sedap…BERKATnya kalu saeng ngan ULAMA’…berapa RAMAI ARTIS yang berpusu2 berhijrah hasil penangan Ustaz Azhar.. BOB lokhman, Sham kamikaze, Iwan dandut, Bob Kuman, dan Wahid Senario(sekadar sebut beberapa nama)…akhir kata..JOM GI KULIAH…kikikiki…

dop seke pando gok aku uat karangan…spm..BM cukup2 makan..mitok maaf banyak kalu dop paham..

Ya Allah Ya Tuhanku…banyok dosaku PadaMu ya Allah…Aku Mohon Keampunanpu YaAllah…Kekalkan aku dalam Hidayahmu..janganlah engkau pesongkan hati Hambamu ini…setelah Engkau beri petunjuk..tempatkan aku dalam kalangan orang2 yang beriman ..Ya Allah…Matikanlah aku dalam iman…AMIN(mohon sahabat doakan)


Petikan dari sebuah Facebook seorang anak muda Terengganu

Read full story

JOM Bersama Adam Adli | 14.01.2012

0 comments

Jelajah Orang Mude bersama Adam Adli (JOM bersama Adam Adli),
mahasiswa UPSI yang berani menurunkan bendera PM di Ibu pejabat Umno, akan berceramah di Dungun jam 9.30 mlm, 14/1/12 nanti.
Bersama beliau juga Sdra Safwan Anang yang teruk dibelasah polis dalam trajedi berdarah Upsi minggu lalu.

-----> Selamat Datang Semua!
Read full story

Friday, January 6, 2012

Persiapan awal di tapak Sambutan Jubli Emas DPPNT

0 comments
oleh : Unit Persiapan Tempat


JUMAAT 06 Jan 2012 - Bahang kehangatan mulai terasa dengan persiapan awal di tapak yang akan berlangsungnya program Jubli Emas DPPNT di Batu 5,Dungun awal petang tadi.

Kerja pembinaan pintu gerbang giat diusahakan oleh petugas yang terdiri dari Pemuda PAS Dungun terutama dari Dun Rantau Abang dan Dun Sura.

Selain itu syiar utama perjuangan iaitu bendera besar juga dinaikkan oleh petugas di tapak program yang berada di laluan utama dari Dungun ke Paka itu yang berlatarbelakangkan pemandangan Bukit Bauk.






Kerancakan persiapan akan lebih terasa menjelang minggu terakhir sebelum berlangsungnya program terbesar yang akan menghimpunkan para Pemuda PAS dan petugas dari seluruh negeri Terengganu sebelum Pilihanraya Umum ke 13 nanti.


LOKASI tapak program JUBLI EMAS DPPNT


Mampu menghimpunkan ribuan pemuda


Berlatarbelakangkan pemandangan Bukit Bauk


Berhadapan Stesyen Minyak Shell Batu 5 Dungun @ laluan utama Dungun - Kemaman

Read full story

Monday, January 2, 2012

Detik Cemas Perhimpunan Mahasiswa 1 Januari 2012 Di UPSI

0 comments
Read full story
Related Posts with Thumbnails
 

Blog Archive

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy