Sunday, November 25, 2012
Wednesday, September 14, 2011
Tunai 5 tuntutan atau Bersih 3.0

KUALA LUMPUR, 13 Sept: Kerajaan BN diingatkan agar melaksanakan tuntutan 5 perkara yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat jika tidak mahu himpunan aman Bersih 3.0 yang akan mengambil tempatnya.
Tuntutan lima perkara itu bukan sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan jika Kerajaan BN benar-benar ikhlas mahu melakukan reformasikan pilihanraya di tanah air, melainkan jika pihak kerajaan hanya sekadar bersandiwara.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menegaskan, sekiranya Kerajaan BN enggan melaksanakan 5 tuntutan itu sebelum pembubaran Parlimen, kerajaan ternyata hanya sekadar bermain-main dengan kenyataan-kenyataannya ke arah itu.
Menurut beliau, oleh itu, Pakatan Rakyat tidak akan teragak-agak untuk mengadakan himpunan Bersih 3.0 bagi mendesak kerajaan melaksanakan tuntutan itu bagi membolehkan pilihanraya di negara ini diadakan dengan bersih dan adil.
Katanya, Kerajaan BN tidak mempunyai sebarang alasan untuk tidak melaksanakan kesemua tuntutan itu kerana pihak kerajaan sendiri masih mempunyai masa yang panjang untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.
"Untuk mengadakan PRU Ke-13, tempohnya sehingga 13 Mac 2013. Jadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak perlu tergopoh-gapah untuk membubarkan Parlimen untuk membolehkan PRU Ke-13 diadakan dalam masa terdekat," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menegaskan, 5 tuntutan Pakatan Rakyat berhubung reformasi pilihanraya itu, pertamanya mendesak Kerajaan BN pimpinan Najib agar melaksanakan 8 tuntutan Bersih.
Kedua berupa desakan agar Kerajaan BN menetapkan tarikh pilihanraya dengan persetujuan atau muafakat bersama dengan Pakatan Rakyat seperti yang dilakukan oleh parti Demokratik Liberal dan Konservetif di United Kingdom (UK).
Ketiga, Jawatankuasa Pemilihan Khas Parlimen yang akan ditubuhkan oleh Kerajaan mestilah diberikan ruang yang selesa ke arah reformasi pilihanraya di negara ini.
Keempat, agenda isu kerakyatan terhadap warganegara asing yang dilakukan oleh Kerajaan BN mestilah dihentikan dengan desakan terhadap Kerajaan BN agar menyediakan satu terma rujukan mengenainya.
Manakala tuntutan kelima berupa desakan Pakatan Rakyat terhadap Kerajaan BN agar menunaikan segala cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parlimen bagi melakukan reformasi pilihanraya di negara ini.
Sidang media tersebut diadakan bersama dengan ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang diwakili oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar bagi pihak PKR; Ahli Parlimen Rasah, Antony Loke (DAP).
Manakala bagi pihak PAS, selain beliau, turut diwakili Datuk Kamarudin Jaffar (Tumpat), Siti Zailah Mohd Yusuf (Rantau Panjang), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja) dan Mohd Firdaus Jaafar (Jerai).
Sementara itu, kesemua ahli-ahli Parlimen yang hadir pada sidang media itu turut bersetuju dengan kenyataan beliau dan masing-masing berharap agar suara rakyat tidak diketepikan oleh Kerajaan BN, bagi membolehkan pilihanraya di negara ini diadakan dengan telus, bersih dan adil.
Pada sidang media itu, mereka juga sebulat suara menegaskan, Pakatan Rakyat bersedia memberikan kerjasama atau khidmat kepada Jawatankuasa Pemilihan Parlimen yang akan ditubuhkan oleh kerajaan sempena persidangan Parlimen mulai 3 Oktober ini, sekiranya Najib boleh berjanji untuk melaksanakan kesemua tuntutan itu sebelum pembubaran Parlimen.
Dalam hubungan ini, mereka berharap agar Najib tidak bersandiwara atau bermain-main dengan kenyataannya untuk melakukan reformasi pilihanraya dengan kesediaannya menubuhkan jawatankuasa tersebut, dengan melaksanakan kesemua cadangan jawatankuasa itu ke arah itu.(hrkhdaily)
Friday, March 25, 2011
Pilihan Raya Sarawak : Pelancaran Jentera Pemuda Pakatan 27 Mac
Timbalannya, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani berkata perkara itu dicapai pada pertemuan bersama-sama dengan Pemuda Pakatan Rakyat yang dihadiri oleh pemuda DAP, PKR dan SNAP pada 23 Mac lalu di Kuching.
“Kami telah bersetuju bergading bahu dan bersepakat bersama untuk berusaha serta berazam menguasai Negeri Sarawak selepas Pilihan raya Negeri yang dijadualkan pada 16 April ini,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya Pemuda Pakatan akan melancarkan jenteranya pada 27 Mac inidi bandar.
Menurutnya, wakil-wakil daripada setiap parti komponen Pakatan Rakyat akan memberikan motivasi, dan membakar semangat pemuda pada hari tersebut.
Beliau juga memaklumkan DPPP baru sahaja mengakhiri lawatan kerja ke Sarawak pada 22 hingga 24 Mac bertujuan untuk mengemaskini dan memastikan kelancaran Jentera Pilihanraya Pemuda PAS di Sarawak.
Azman mengetuai lawatan itu dengan Setiausaha DPPP, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Ketua Penerangan, Suhaizan Kaiat.
Katanya, pada 22 Mac, DPPP telah mengadakan pertemuan dengan Pemuda PAS Negeri Sarawak berbincang dan memperkemaskan lagi jentera pemuda.
“Untuk memperincikan lagi susunan gerak kerja di Sarawak, pada 23 Mac 2011 DPPP mengadakan perbincangan dengan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Adam Ahid di kediamannya dan seterusnya bertemu dengan pemuda-pemuda Pakatan Rakyat di sebelah petangnya,” katanya.
Beliau menambah, DPPP akan membuat mesyuarat susulan segera di peringkat pusat, untuk menentukan serta memfokuskan peranan pemuda negeri-negeri untuk turun di dalam pilihan raya Sarawak.
“Kita berharap pemuda-pemuda PAS daripada Semenanjung Malaysia dan Sabah yang mempunyai kelapangan masa, mempunyai kekuatan wang dan fizikal dapat turun ke Sarawak bagi memberikan sokongan moral dan melicinkan gerak kerja pemuda-pemuda di Sarawak,” ujarnya.
sumber : harakahdaily
Wednesday, December 22, 2010
JANJI 100 Hari, BN Resah

oleh : Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat
Pemimpin umno Bn gelisah mengenai janji 100 hari PR yang diistihar di Konvensyen Pakatan Rakyat ke 2 pada 19/12/2010. Ini jelas kelihatan daripada kenyataan pemimpin BN termasuk daripada NGO umno menuduh ini janji yang tidak realistik. Mereka mengeluarkan kenyataan bahawa program ini membazir dan memberi kesan buruk kepada struktur ekonomi negara.
Pas merasa pelik dengan sikap yang ditunjukkan oleh pemimpin umno Bn yang menuduh ini suatu usaha yang membazir. Semua program yang menguntungkan rakyat dianggap membazir, seperti kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor yang memberikan air 20 meter padu kepada rakyat di negeri tersebut.
Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak hendak membina Menara Warisan 100 tingkat tidak dianggap membazir. Untuk kroni dan anak beranak tidak membazir. Sebenarnya pemimpin BN resah dengan janji 100 hari yang akan dijanjikan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat jika diberikan mandat untuk mentadbir negara ini. Rakyat yang berada di bawah pemerintah BN mula membuat perbandingan dengan negeri Pakatan, mereka melihat rakan mereka di negeri Pakatan hidup selesa kerana pemimpinnya siang malam memikir bagaimana untuk memberi kepada rakyatnya, manakala pemimpin BN memikir apa yang boleh diambil daripada rakyat.
Kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, berkata janji pembangkang itu tidak lebih daripada ‘wayang politik’ bagi menutup kegagalan mereka.
Pas hendak cabar pemimpin BN, siapa yang temberang rakyat? Bukankah pemimpin BN memberi tahu rakyat pada 3 Nov 2010 minyak tidak akan naik hingga hujung tahun. Tiba-tiba 4 Disember 2010 minyak RON 95 naik 5 sen.
Sekurang-kurangnya dengan kekangan kewangan yang dialami oleh kerajaan Pakatan Rakyat, tetap dapat melaksanakan iltizam untuk rakyat seperti yang dijanjikan dalam menifesto. Dalam usia yang muda sudah banyak habuan rakyat dapat, walaupun dalam nilai yang kecil. Jelaslah bahawa Pakatan Rakyat teruji dan terbukti.




