Monday, September 19, 2011
Saturday, September 4, 2010
Bebaskan Semua Tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) melahirkan rasa kesyukuran di atas pembebasan seorang tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) iaitu Shamsuddin Sulaiman yang sebelum ini telah ditangkap pada 17 April 2002 dan ditahan sejak 13 Jun 2002 di atas tuduhan kerana terlibat dengan Jemaah Islamiah (JI) Malaysia. Mengikut Pengarah Pasukan Petugas Khas Bukit Aman, Datuk Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, beliau dibebaskan dengan alasan tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara dan pembebasan itu dibuat atas arahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.Sudah tentu jangka masa selama lapan tahun ditahan di bawah ISA dengan tanpa melalui proses perbicaraan dan tanpa membuktikan kesalahan yang dilakukan adalah merupakan satu jangka masa yang lama dengan memisahkan beliau daripada keluarga dan ia adalah merupakan satu bentuk kezaliman yang berterusan dilaksanakan oleh pemerintah. Alasan ‘tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara' adalah hujah yang sangat lemah sedangkan selama lapan tahun beliau ditahan masih tidak terbukti lagi apakah sebenarnya kesalahan yang telah dilakukannya.
DPPP secara konsistennya membantah perlaksanaan ISA terhadap mana-mana rakyat di Malaysia kerana ISA adalah akta yang zalim kerana ISA membenarkan sesiapa sahaja yang disyaki terlibat dengan aktiviti yang dianggap boleh mendatang kemudaratan kepada negara ditahan oleh polis selama 60 hari berturut-turut dengan mendapatkan kelulusan daripada Menteri Dalam Negeri. Selepas 60 hari, seseorang tahanan itu jika didapati masih mampu mendatangkan kemudaratan maka dengan kuasa Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri boleh menahan tertuduh selama dua tahun tanpa melalui perbicaraan di mana-mana mahkamah. Kuasa yang diberikan kepada menteri ini semakin bertambah apabila pada tahun 1989 akta ISA telah dipinda untuk memberikan kekebalan kepada Menteri Dalam Negeri daripada disiasat oleh makkamah dalam menentukan keputusannya terhadap tahanan ISA. Mahkamah hanya dibenarkan untuk melihat semula hanya perkara-perkara teknikal sahaja berkenaan sebarang penahanan di bawah ISA.
Ketidaksesuaian ISA juga telah mendapat perhatian serius Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang memandang berat terhadap penggunaan penahanan tanpa perbicaraan dan telah berulangkali menyarankan supaya tahanan ISA dibebaskan atau didakwa mengikut kesalahan mereka dengan menegaskan bahawa tindakan menahan seseorang tanpa sebarang perbicaraan adalah salah kerana bercangggah dengan Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR) yang memberi penekanan terhadap hak kepada nyawa, kebebasan dan keselamatan diri.
Dalam satu kajian SUHAKAM bertajuk "Review of The Internal Security Act 1960" yang dikeluarkan pada tahun 2003 telah membuat cadangan kepada kerajaan supaya meminda ISA. Cadangan tersebut adalah berdasarkan dua perkara yang disandarkan kepada perspektif hak asasi manusia. Pertama, ada kebimbangan dalam hubungannya dengan syarat-syarat ISA yang dipercayai bahawa mereka melanggar prinsip-prinsip hak asasi manusia. Perkara yang kedua, ada keprihatinan berhubung dengan pelaksanaan peruntukan ISA.
Malah, Suhakam bukan sahaja mahu ISA dipinda tetapi mendesak agar ISA dibubarkan. Pengerusi baru Suhakam iaitu Tan Sri Hasmy Agam telah membuat cabaran kepada semua rakyat Malaysia seandainya tidak mahu ISA maka bersatu menentangnya dan Suhakam telah dan akan terus mendesak agar ISA dibubarkan. Beliau menegaskan bahawa ISA adalah akta tinggalan sejarah memandangkan darurat telah berakhir dan tidak ada lagi komunis justeru mengapa ISA perlu dikekalkan.
Maka, DPPP mendesak agar kerajaan Malaysia membebaskan kesemua tahanan yang sedang ditahan di bawah akta zalim ISA ini dan dakwa kesemua tahanan di mahkamah untuk membuktikan kesalahan yang telah mereka lakukan.
Disediakan Oleh
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat
Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional dan Hubungan NGO DPPP
Thursday, January 28, 2010
PAS Kutuk Penangkapan ISA, Mahu 10 tahanan dibicarakan
KENYATAAN MEDIA

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengutuk pengunaan Akta ISA terhadap 10 orang suspek pengganas termasuk beberapa pelajar asing dari luar negara. Salah seorang yang ditahan juga adalah rakyat tempatan.
PAS bertegas menolak penggunaan Akta ISA dan mahu 10 tahanan ini dibicarakan dimahkamah terbuka. Keengganan Menteri Keselamatan Dalam Negeri mendedahkan nama 10 suspek berkenaan menimbul kecurigaan kepada rakyat.
Sewajarnya identiti mereka didedahkan bagi menunjukan pihak Kerajaan benar-benar membuat tangkapan dan membuat siasatan penuh ke atas mereka. Penahanan dibawah Akta ISA tidak memberikan apa-apa jawapan kepada rakyat, kerana kita tidak tahu sama ada mereka benar-benar bersalah atau sengaja dikambing hitamkan demi untuk menunjukan Menteri keselamatan Dalam Negeri menjadi hero dalam membantu Amerika yang kini giat memburu Pengganas antarabangsa.
Malaysia sebelum ini terkenal sebagai negara transit kepada pendatang tanpa izin, transit kepada aktiviti pengedaran dadah, transit kepada aktiviti pelacuran, transit kepada aktiviti penjualan bayi, transit kepada pengubahan wang haram, transit kepada aktiviti cetak rompak dan negara transit kepada pengganas. Tetapi itu semua tidak bermakna Kerajaan boleh menangkap orang sesukahati tanpa membuktikan mereka bersalah dimahkamah.
Adalah satu kezaliman jika orang yang dituduh itu tidak bersalah tetapi ditahan dibawah akta ISA dan terpaksa melalui musim-musim penderaan yang mengerikan untuk tempoh masa sekurang-kurangnya 2 tahun di Kamunting atau di Kluang.
PAS yakin, dengan tindakan terbaru ini jelas rakyat sudah melihat bukti bahawa Malaysia adalah negara Polis, dan Menteri yang juga ahli Politik Barisan Nasional bebas menahan sesiapa sahaja tanpa perlu membuktikan kesalahan mereka. Maka, tidak mustahil juga akta ini akan digunakan suatu hari nanti kepada pemimpin-pemimpin Politik atau rakyat yang tidak bersetuju dengan parti Menteri tanpa perlu dibuktikan kesalahan mereka.
Ops Lalang dan penangkapan pemimpin Reformasi membuktikan perkara berkenaan. Sehingga kini mangsa yang telah bebas tidak tahu apakah kesalahan mereka hingga terpaksa merengkok dalam penjara dan disiksa. Pihak Polis juga hingga kini gagal membuktikan kesalahan mereka dan jelas segala pertuduhan yang dibuat semasa penahanan adalah fitnah.
PAS mendesak Kerajaan mendakwa 10 tahan ini bersama tahanan-tahanan sedia ada dimahkamah dan mansuhkan akta ISA.
Ust Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat
Monday, January 18, 2010
Special Branch@SB dah bertukar nama??
Dua lelaki berbaju hitam di sebelah kanan dan dua lagi disebelah kiri Mat Sah serta dua orang wanita bertudung hitam dan putih yang kelihatan di belakang sebelah kanan Mat Sah adalah sebahagian dari berpuluh SB yang ditugaskan dari Bukit Aman untuk memberi kawalan keselamatan pada beliau ketika memegang status "Tahanan ISA 7 tahun" tahun lepas.Gambar ini diambil ketika hari kematian ibu Mat Sah.
"Sekarang, kami dah tak bertugas sebagai SB lagi. Jabatan kami dah di mansuhkan. Nama jabatan baru sekarang ni ialah jabatan Anti Terrorism..." kata seorang SB kepada Mat Sah minggu lepas.
Namun, yang jelasnya, walaupun mendakwa telah bertukar nama, namun puak-puak tu juga yang begitu berani memasuki pagar rumah saya dan berdiri diluar grill rumah berjam-jam lamanya....Mungkin nama saja yang berubah, tetapi kerja dan tugasannya tetap sama.....
http://www.youtube.com/watch?v=IcxbcswQ_9I
Susah sebenarnya nak percaya kata-kata SB-SB ni...kerana mereka dah terbiasa menerima arahan dan buat kerja2 mengintip.Walaupun mendakwa dah insaf, dah pergi Mekah dsb, namun kerjakerja kotor tu dah jadi darah daging...susah untuk berubah. Bagi yang betul2 dah insaf tu, biarlah Allah saja yang menentukannya.
Namun dalam Islam ada qisas. Ada hak-hak yang wajib ditunaikan dalam hubungan pada Allah, pada alam dan pada sesama manusia.Kami mangsa ISA 7 tahun ni....pun nak tuntut qisas terhadap apa yang pernah dilakukan oleh SB durjana tu pada kami sekeluarga. Tak dapat didunia, diakhirat kami tetap tuntut.
Maaf? Haram kami nak maafkan perbuatan SB yang menghina kami dan Islam selama ini.....
16 Januari 2010
Norlaila Othman
(Aktivis Gerakan Mansuhkan ISA dan isteri bekas tahanan ISA)
Tuesday, January 12, 2010
‘Terkawal’ 9 Gereja diserang, PAS Tolak ISA digunakan

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengutuk serangan terhadap sembilan gereja sejak 8 Januari lepas berikutan bantahan meluas tentang isu penggunaan nama Allah oleh akhbar Herald. PAS juga kesal dengan ugutan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mahu mengunakan ISA bagi menyelesaikan masalah ini.
Jelas apa yang berlaku sekarang dan ugutan Menteri ini menafikan kata-kata manis Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjamin bahawa keadaan di negara ini adalah terkawal.
PAS melihat bahawa Hishamuddin gagal menyelesaikan masalah ini walaupun sebelum ini mendakwa sudah mengenalpasti suspek yang membakar Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati. Hingga kini rakyat bertanda tanya tentang tindakan lanjut Polis terhadap suspek-suspek itu. Bilakah mereka akan ditangkap dan didakwa dimahkamah? Rakyat juga risau kerana setiap hari ada sahaja gereja yang diserang seperti rekod berikut;
8 Januari 2010
Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati dibakar
Gereja Assumption di Petaling Jaya dibaling bom api
Gereja Life Chapel di Petaling Jaya dibaling bom api
9 Januari 2010
Gereja Good Shepherd Luthern di Petaling Jaya dibaling bom api
10 Januari 2010
Gereja Baptist Melaka di Durian Daun, telah disimbah dengan cat hitam.
Pos pengawal SM Convent di Taiping dibaling bom api
Gereja Good Sheperd dekat Lutong Bazaar, Miri di baling bata
11 Januari 2010
Pintu utama Gereja, Sidang Injil Borneo (SIB) di bangunan rumah kedai dua tingkat di Lake View Square, Seremban dibakar
PAS berharap agar Menteri tidak mengambil jalan mudah dan menjadikan isu ini sebagai Ops Lalang kedua, di mana suspek yang membakar gereja gagal ditangkap tapi orang lain pula disumbatkan ke dalam ISA demi kepentingan politik BN menjelang PRU-13.
Mesej rakyat kepada Menteri jelas, “Buat Kerja, Jangan Cakap Merapu-rapu”.
PAS berharap agar rakyat pelbagai agama dinegara ini dapat bertenang dan tidak terus menerus melayan provokasi yang dicipta oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab. Rakyat perlu bekerjasama untuk menjaga rumah-rumah ibadat dan komuniti keseluruhannya dari menjadi sasaran penjenayah. Isu penggunaan nama Allah hanya boleh diselesaikan dengan akal yang waras bukannya dengan tindakan ganas.
Ust Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat
Monday, August 10, 2009
Lagi bukti keganasan polis di Himpunan Mansuhkan ISA.
Penulis baru sahaja menerima gambar-gambar terbaru dari pemuda Dun Sura yang turut berada di tempat kejadian.
Selain tembakan rambang gas pemedih mata ke arah orang ramai,pihak polis juga menghalakan juga tembakan ke arah kenderaan yang berada dipersekitaran himpunan tersebut.
Pemuda tersebut sempat menyaksikan bagaimana sebuah kenderaan diselubungi asap kelam dari gas pemedih mata yang dilepaskan oleh FRU.
Bagaimana jika kenderaan tersebut berpenumpang dan tidak sempat untuk melarikan diri? Bagaimana jika penumpang tersebut panik dan tidak berupaya untuk membuka pintu? Bagaimana jika gas pemedih mata yang ditujukan kepada kenderaan tersebut terkena kepala penumpang tersebut dan pengsan dalam kenderaan yang diselubungi asap gas pemedih mata yang meloyakan dan menyesakkan nafas itu?

Tindakan FRU tersebut lebih bersifatkan melepaskan geram dan balas dendam kepada demonstran.
Wednesday, August 5, 2009
ISA - Pemuda Al-Kahfi Enggan Berkompromi Dengan Penguasa Yang Zalim
Mereka hanyalah pemuda biasa seperti kita, yang enggan berkompromi dengan kezaliman raja, enggan tunduk kepada sikap kekejaman raja pada zaman mereka. Lalu, mereka melarikan diri, hidup terasing daripada mata manusia.
Ditidurkan selama berapa ratus tahun semata-mata kerana mahu memelihara iman dan kepercayaan yang mereka yakini selama ini. Itu sahaja inti perjuangan mereka. Enggan ditahan, enggan ditangkap dan tidak rela berkompromi dengan kekejaman dasar pemerintahan yang zalim.
Tapi, siapalah yang tahu hal mereka. Bagi Tuhan. Kedudukan mereka di sisiNya sangatlah tinggi.
Ia suatu surah yang sunat dibaca oleh umat Islam dan 'wajib' dibaca oleh mereka yang anti ISA!
> sila baca artikel ini dari awal...Surah itu sengaja dinamakan Al-Kahfi dengan sebab wujudnya kisah pemuda Al-Kahfi walaupun dalam surah tersebut termuat kisah Raja Zulkarnain yang hebat, kisah Khidhir a.s mendidik Musa a.s yang mana kedua-duanya bertaraf nabi....baca di sini dari awal.
Tuesday, August 4, 2009
Himpunan Mansuhkan ISA : Dari lensa pemuda Dun Sura



Gabungan kumpulan Masjid India dan Masjid Jame'



Sekitar Sogo - 02:30 petang






















































