Thursday, July 5, 2012

Pemuda Mesti Sanggup Dan Bersedia Ditarbiyah


oleh : Lajnah Tarbiyah Pemuda Dun Sura


KAMPUNG MOLEK : Pemuda DUN Sura telah berkesempatan menjemput Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu (DPPNT), Al-Fadhil Ustaz Kamaruzzaman Abdullah untuk menyampaikan motivasi khusus bertajuk 'Kepentingan Tarbiyah' kepada seluruh pemuda DUN Sura baru-baru ini. 

Program yang diadakan di Surau Kubur, Kampung Molek itu terlebih dahulu bermula dengan majlis berbuka puasa bersama jawatankuasa pemuda DUN Sura bagi membina jiwa pemuda yang sentiasa terdedah dengan hembusan roh tarbiyah yang berterusan.

Al-Fadhil Ustaz Kamaruzzaman dalam mukaddimah taujihatnya memperingatkan para pemuda bahawa kita sebagai hamba mestilah mengikut segala peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah Taala dalam kehidupan ini. Allah menilai seseorang bukanlah disebabkan paras rupanya yang cantik tetapi melalui hatinya yang bersih sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam.

Sirah turut merakamkan seseorang yang hitam seperti Bilal, Khabab dan perempuan yang sentiasa menyapu masjid Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam termasuk antara yang dijamin syurga. Beliau mengingatkan bahawa pemuda PAS mestilah sentiasa bersedia untuk menjadi orang yang ditarbiyah bagi membina jiwa-jiwa pejuang agama Allah. Bahkan, Rasulullah sendiri menghadapi suatu tempoh tarbiyah khusus daripada Allah Taala sebelum dibangkitkan dan dilantik sebagai Rasul utusan Allah pada usianya 40 tahun. 


"Oleh sebab itulah, dalam kehidupan Nabi, Allah telah mentarbiyah Nabi. (Nabi pernah bersabda): Tuhanku yang mendidikku, dan aku menerima sebaik-baik didikan. Allah sendiri mentarbiyah Nabi. Tarbiyah yang diberikan oleh Allah adalah sebaik-baik tarbiyah" tegas beliau yang juga Ketua Lajnah Tarbiyah DPPNT. Di samping itu, beliau juga menegaskan bahawa istiqamah adalah perkara yang penting dalam perjuangan ini.


Dalam kitab-kitab terdahulu, 3 nama iaitu Barsiso, Bal'am dan Sa'labah antara tiga cerita masyhur yang diuji dengan penghujung yang buruk walaupun sebelumnya dikenali dengan seorang yang sangat hebat mendidik manusia lain mengenali Allah Taala. Nabi Sollallahu'alaihiwasallam menerima tarbiyah jangka pendek dan jangka panjang daripada Allah.


Nabi telah diuji dengan ketiadaan bapanya sendiri ketika masih dalam kandungannya. Manakala ibunya meninggal selepas 6 tahun diikuti dengan datuknya 2 tahun selepas itu. Semasa kecil, beliau mengembala kambing kemudian mengikuti bapa saudaranya Abu Talib berniaga. semuanya terselit unsur-unsur tarbiyah yang tersendiri daripada Allah sebelum memikul amanah sebagai seorang Utusan Allah.


"Yang keduanya bagaimana Nabi Sollallahu'alaihiwasallam cekal dan sabar apabila meninggalnya bapa, ibu. Sehinggalah Allah melantik Nabi menjadi Rasul dan diturunkan ayat iqra' sebagai wahyu yang pertama. Rupa-rupanya Allah Taala keluarkan satu pengisytihran; wahai Muhammad, kemuncak dan kunci mentarbiyah manusia mestilah dengan ilmu. Nak ubah manusia mestilah dengan ilmu.


Pasal apa Allah turun iqra' kepada Nabi di padang pasir yang gersang? Kalau nak suruh ramai yang ikut Nabi dengan mudah, lantik Nabi sebagai ketua dan berikan rezeki yang melimpah ruah. Inilah asas tarbiyah sebenarnya. Bagi sesiapa yang nak berubah atau mengubah orang lain mestilah dengan ilmu. Allah mengubah masyarakat yang asalnya jahat di Mekah dengan asas dan paksi ilmu", terang beliau dengan penuh kesungguhan menarik perhatian para pemuda.


Selain itu, beliau memperingatkan bahawa kerja tarbiyah adalah untuk mengeluarkan segala sifat yang tidak baik dalam diri manusia dan digantikan dengan akhlak yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam. Begitulah yang berlaku kepada rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam yang dibersihkan hatinya dua kali dan disuntik dengan hikmah oleh malaikat yang ditugaskan oleh Allah Taala.


Berikut adalah antara isi penting motivasi tarbawi yang disampaikan oleh beliau: 


1) Manusia mestilah sentiasa mengikut segala peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah dalam menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat.

2) Jasad dan rupa paras bukanlah ukuran di sisi Allah, tetapi hati adalah menjadi tempat suluhan dan nilaian Allah.

3) Pemuda yang mengakui sebagai pejuang agama Allah mestilah sentiasa bersedia untuk ditarbiyah tidak kira yang dipimpin mahupun yang memimpin. Bahkan, Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam sentiasa melalui proses tarbiyah jangka pendek dan jangka panjang khusus daripada Allah yang merupakan sebaik-baik tarbiyah yang pernah dilalui manusia. 


4) Istiqamah sangat penting dalam perjuangan. Sesuatu amalan dikira mengikut penghujungnya samada baik ataupun sebaliknya.


5) Asas dan kunci kepada tarbiyah adalah ilmu. Itulah rahsia diturunkan ayat iqra' sebagai wahyu pertama.


6) Tugas Rasul Sollallahu'alaihiwasallam bahkan seluruh pewaris perjuangan rasul: menerangkan kekuasaan Allah kepada manusia, menyucikan jiwa serta mengajarkan manusia mengenai kitab dan hikmah. 


7) Sihir yang paling bahaya adalah Sihir Dunia yang memutuskan hubungan seseorang hamba dengan Allah Taala sebagaimana yang ditegaskan oleh Malik bin Dinar.


8) Setiap individu Muslim yang ingin berjaya mestilah sentiasa ditiupkan ruh tarbiyah dan tazkiyah dalam jiwanya. Kualiti pejuang agama ini lebih penting daripada kuantitinya.


9) Kemenangan bukanlah sesuatu yang diberikan percuma. Jangan hanya sekadar mendoakan dan mengimpikan kemenangan yang segera tanpa kita sendiri tidak berada dalam keadaan bersedia untuk memikul amanah berat mengisi kemenangan dengan perkara yang diredhai Allah Taala.


10) Tiga perkara dalam usaha tazkiyah: sentiasa melazimi zikir pada Allah, melazimi masjid dan sentiasa bersama Al-Quran.


p/s : Video penuh taujihat tarbawi ini akan menyusul 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Blog Archive

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy