Thursday, January 20, 2011

Kenapa saya cadang ditiadakan pilihan raya kecil



TEMERLOH, 21 April: Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kepincangan yang berlaku dalam proses mengendalikan pilihanraya kecil adalah faktor penting mengapa beliau mencadangkan pilihanraya kecil dihapuskan dan diganti dengan mekanisma yang lebih baik bagi kepentingan rakyat dan negara.

Menurut Tuan Ibrahim, pilihan raya kecil telah dijadikan tempat menyuburkan budaya rasuah melalui pengagihan projek yang tidak adil malahan juga menggunakan jentera awam untuk kepentingan politik telah menganggu kelicinan dan keberkesanan pentadbiran kerajaan kerana kehilangan fokus membangunkan negara secara menyeluruh.

“Saya fikir Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) perlu menimbangkan untuk menukar system pilihanraya kecil kerana pilihanraya kecil telah dijadikan tempat menyuburkan rasuah,” kata Tuan Ibrahim dalam ceramah anjuran PAS Kawasan Temerloh, di Markaz PAS Kampung Paya Kecik, semalam bagi mengulas isu yang berlaku di Hulu Selangor.

Tambah Tuan Ibrahim, keujudan pilihanraya kecil telah menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan pengagihan projek kerajaan apabila berlaku penarikan peruntukan dari kawasan yang sepatutnya ke kawasan berlakunya pilihanraya kecil semata-mata mahu memancing undi.

“Banyak peruntukan pembangunan yang sepatutnya berlaku ditempat yang lain disalurkan ke tempat berlakunya pilihanraya kecil, ini menyebabkan berlakunya ketidakadilan dalam pengagihan pembangunan sehingga menyebab pembangunan tidak dapat dibuat secara menyeluruh,” katanya.

Mengenai isu lompat parti, Tuan Ibrahim berkata penghapusan pilihanraya kecil boleh menghalang budaya lompat parti dengan mensyaratkan mereka yang melompat parti hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

“Rakyat memilih wakil rakyat atas parti yang mereka tandingi tetapi amanah itu dilanggar secara tidak bermaruah. Dengan peraturan yang ada sesiapa pun boleh lompat parti tanpa menghilangkan status wakil rakyatnya, ini tidak adil.

“Sebab itu kita cadangkan system yang menghalang budaya ini, kalau lompat parti hilang kelayakan wakil rakyat dan mereka tak boleh dibenarkan bertanding lagi. Parti boleh melantik wakilnya mengisi kekosongan, ini adalah salah satu cara,” katanya.

Jelas Tuan Ibrahim lagi disesetengah keadaan pengundi tidak dapat menunaikan kewajipan mengundi secara bebas kerana tekanan yang berlaku dalam pilihanraya kecil menyebabkan keputusan yang diperolehi tidak mengambarkan kehendak sebenar pengundi.

“Dalam pilihanraya kecil segala tumpuan diberikan ke situ. Berlaku ugutan dan sebagainya Akhirnya keputusan pilihanraya tidak mencerminkan kehendak sebenar pengundi. Pengundi diugut, pengundi akan mengundi atas tekanan bukan atas kerelaan,” katanya.

Jelas Tuan Ibrahim lagi idea menghapuskan pilihanraya kecil bukan kerana takut untuk menghadapinya tetapi lebih memikirkan mementingkan kepentingan negara dan hak rakyat.

”Kita bukan takut nak hadapi pilihanraya kecil, jika ada kita lawan kita masuk bertanding tetapi perjalanan pilihanraya yang kotor menyebabkan kita fikirkan untuk menjaga kepentingan negara dan hak rakyat,” katanya.

sumber : harakahdaily

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Blog Archive

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy