Friday, January 7, 2011

Pengarah pelajaran Johor didakwa kempen untuk BN




PAS Johor hari ini membuat laporan polis mendakwa Pengarah Pelajaran Johor, Markom Giran mengajak pengetua dan guru sekolah di sekitar DUN Tenang merayu undi untuk membantu BN dalam pilihan raya kecil hujung bulan ini.

Laporan polis itu dibuat oleh timbalan pesuruhjaya PAS Johor Zulkefli Mohamad di Balai Polis Labis kira-kira jam 10.45 pagi ini.

Turut hadir bersama-samanya, pesuruhjaya PAS negeri Datuk Mahfodz Mohamed dan ketua penerangannya Mazlan Aliman.

Mazlan memberitahu wartawan, dalam laporan polis itu Markom telah didakwa menyalahgunakan kuasa sebagai pengarah pelajaran Johor untuk berkempen secara terang-terangan untuk BN.

Zulkefli juga turut menyerahkan rakaman video yang didakwa menunjukkan Markom berucap kepada para guru untuk tujuan tersebut.

"Bagi PAS, tindakan Haji Markom sangat bertentangan dengan etika sebagai penjawat awam yang tertakluk kepada peraturan 21 bagi pegawai pengurusan tertinggi dan profesional.

"Bagi (jawatan berpangkat) DG 54, mereka tidak boleh membuat kenyataan yang menyebelahi mana-mana parti politik atau menerbitkan risalah, atau merayu undi atau bertindak merayu dalam pilihan raya," kata Mazlan.

Mazlan yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat mendakwa Markom turut berkempen di beberapa buah sekolah di sekitar DUN Tenang.

Dakwanya, bukti yang diperolehi menunjukkan Markom pernah berkempen di Sekolah Menengah Kebangsaan Munsyi Abdullah, Labis pada 31 Disember lalu dan empat buah sekolah kebangsaan di sekitar DUN Tenang pada 3 Januari lalu.

"Semua pertemuan ini, (guru-guru) diminta menyokong BN," kata Mazlan.

"Kita mempunyai rakaman video bagaimana beliau memberi tekanan kepada guru merayu undi untuk BN dalam pilihan raya kecil DUN Tenang," katanya.

Sehubungan itu, katanya, PAS meminta polis menjalankan siasatan dan mendesak supaya Markom dirujuk kepada jawatankuasa tatatertib.

Ini kerana, katanya, Markom "menjejaskan reputasi Jabatan Pelajaran dan menunjukkan contoh yang tidak baik kepada guru-guru".

Dalam perkembangan berkaitan, Mazlan berkata pihaknya telah menubuhkan satu pasukan khas untuk memantau pegerakkan agensi kerajaan yang berkempen dalam pilihan raya kecil tersebut.

"Sebanyak 20 pemantau telah dilantik yang diletakkan di bawah (pengawasan) saya (sebagai ketua penerangan). Kita sudah mula memantau aktiviti jentera kerajaan.

"Kita guna maklumat (yang diterima) dan serahkan kepada polis, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap minggu," katanya.


sumber : malaysiakini

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Blog Archive

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy