Friday, December 4, 2009

Jangan Terpedaya Dengan Tipu Daya Musuh



Korban dan haji adalah dua ibadah yang dikaitkan dengan bulan Zulhijjah. Allah Taala dengan rahmatNya mengizinkan hambaNya yang terpilih untuk menunaikan ibadah tersebut. Sesiapa yang telah diberi peluang oleh Allah Taala untuk menunaikan ibadah itu, wajib ke atasnya untuk bersyukur dengan rahmat Allah Taala yang sangat besar kepadanya. Berusahalah untuk menghayati hikmah di sebalik kedua ibadah ini. Semoga Allah Taala menerima amal ibadah yang kita semua lakukan, amin.

Sekiranya diperhatikan dengan sebaiknya, kedua-dua ibadah tersebut dikaitkan dengan keluarga Nabi Ibrahim 'Alaihissalam. Allah Taala menceritakan pelbagai peristiwa yang berkaitan dengan Nabi Ibrahim 'Alaihissalam dalam banyak surah di dalam al-Quran al-Karim. Para mu'min yang baik akan berusaha untuk menyelongkar keistimewaan susunan ayat al-Quran dengan panduan para ulama' yang mampu memimpin mereka ke jalan yang diredhai Allah.

Peristiwa korban diceritakan oleh Allah Taala dalam surah as-Soffaat. Di samping cerita Nabi Ibrahim, Allah Taala turut menceritakan kepada kita kisah beberapa orang Nabi yang lain -'Alaihimussolatuwassalam-. Cubalah untuk membelek kembali al-Quran yang berada di rumah-rumah kita, Allah Taala menisbahkan para Nabi 'Alaihimussolatuwassalam dengan sifat ihsan. Setiap nabi dinisbahkan kepada mereka sifat ihsan di penghujung cerita kecuali Nabi Ibrahim dinisbahkan dengan sifat ihsan di pertengahan dan di penghujung cerita sebanyak dua kali. Sifat ihsan ini diselitkan dengan pelbagai kisah mengenai ujian yang terpaksa dihadapi oleh setiap nabi daripada kaum masing-masing.

Bermakna, ketika menghadapi bulan Zulhijjah, sepatutnya bagi umat Islam untuk mengkaji maksud sebenar sifat ihsan yang disebut oleh Allah Taala dalam al-Quran kemudiannya berusaha untuk menanamkannya dalam diri masing-masing. Lihat dengan sebaiknya. Sifat ihsan adalah sifat yang pernah dimaksudkan oleh Baginda Sollahu'alaihiwasallam dalam sebuah hadis yang masyhur yang dikenali sebagai Hadis Jibril. Hadis yang menceritakan mengenai empat perkara; Islam, iman, ihsan dan tanda-tanda kiamat.

Di sebalik susunan hadis, difahami bahawa seorang muslim lagi mu'min perlu mempunyai sifat ihsan untuk mencapai tahap keimanan yang sempurna. Dalam masa yang sama, mereka perlu mengambil cakna kepada peristiwa-peristiwa atau isu semasa di sekeliling mereka. Petanda kiamat yang ditunjukkan oleh Baginda Sollahu'alaihiwasallam mengingatkan kepada kita mengenai fitnah yang bakal melanda umat akhir zaman. Manusia yang sekadar mempunyai islam, iman dan ihsan dalam dirinya tetapi gagal untuk mengenal fitnah di zamannya boleh terjerumus dalam fitnah tersebut tanpa disedari.

Realiti hari ini, masyarakat Malaysia benar-benar dihidangkan dengan fitnah dan ujian dari Allah Taala. Kadang-kadang mereka sudah tidak mampu untuk membezakan antara kebenaran dan kebathilan. Paling malang, disebabkan kegagalan menghadamkan empat sifat yang disebut dalam hadis Baginda Sollahu'alaihiwasallam, dengan mudah mereka diperangkap oleh musuh. Akhirnya, hilang dalam diri mereka semangat ukhuwwah dalam jemaah yang terbina kukuh selama ini. Masing-masing mula mencurigai antara satu sama lain sehingga melanggar etika dan adab dalam jemaah.

Parti Islam Semalaysia (PAS) adalah sebuah jemaah yang jelas memperjuangkan Islam di Malaysia turut cuba diganggu. Selepas mereka cuba menanamkan dalam diri penyokong supaya curiga dengan kepimpinan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, kini serangan dialihkan kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Sedarlah, musuh cuba memerangkap kita. Jangan sampai kita termasuk dalam golongan yang cuba untuk mengecam dan mempertikaikan dua tokoh ulama' yang kita sudah lama kenali selama ini terutamanya kesungguhan mereka untuk mendaulatkan Islam di tanah air tercinta.

Segala yang berlaku adalah ujian yang melibatkan ulama' yang sangat disayangi. Ingatlah, daging para ulama' adalah beracun. Menyebarkan fitnah terhadap batang tubuh ulama' yang sangat rapat dengan Allah Taala bermakna percubaan menempah kecelakaan di sisiNya. Jangan anda termasuk orang yang dipengaruhi oleh pemikiran yang cuba untuk memburuk-burukkan salah seorang daripada mereka.

Dalam suasana sebegini, bertindaklah mengikut arahan kepimpinan. Tapislah setiap berita yang diperolehi terutamanya ketika kita sedang menghadapi peperangan siber yang maha hebat hari ini. Yakinlah, Allah Taala pasti akan menzahirkan kebenaran di suatu masa akan datang.

Para pemuda adalah tonggak kepada perjuangan. Sama-samalah berikrar untuk mempertahankan dua tokoh yang kita segani: Tuan Guru Mursyidul Am dan Tuan Guru Presiden beserta kepimpinan lain dari sebarang ancaman musuh yang bersungguh-sungguh untuk mengadu domba serta memecahbelahkan kekuatan kita. Bina ukhuwwah Islamiah dalam jemaah dan beradablah dengan pimpinan terutamanya dengan ulama' yang kita sangat hormati.

Negeri kita sedang diuji dengan banjir dari Allah Taala. Masa ini adalah masa untuk bermuhasabah. Setakat mana hubungan anda dengan Allah Taala dan hubungan anda dengan para waliNya.

Sebagai akhirnya, cubalah untuk fahami kalam al-Imam as-Syafie Rahimahullah;

" Sekiranya ulama' itu bukannya para wali,
maka tidak adalah bagi Allah Taala itu wali "


" Bersama Pertahankan Kepimpinan Ulama' "

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Blog Archive

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy