Monday, August 9, 2010

Keperibadian Rasulullah - Ada rahmat terhadap sekalian alam


Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
"Tidak Kami (Allah) mengutus akan engkau (wahai Muhammad) kecuali untuk memberi rahmat kepada sekalian alam" (Surah al-Anbiya': 107).
Ayat di atas, jelas menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. merupakan rasul dan nabi yang diutus oleh Allah untuk memberikan rahmat kepada sekalian makhluk. laitu merangkumi golongan yang beriman, golongan kafir, golongan munafik, bahkan nabi membawa rahmat kepada semua manusia tidak kira sama ada lelaki mahupun wanita, dewasa mahupun kanak-kanak, juga memberi rahmat kepada burung-burung dan haiwan lain. Jelasnya, rahmat yang dibawa oleh Rasulullah adalah untuk semua.

Antara tanda-tanda rahmat dan belas kasihan nabi kepada umatnya ialah baginda tidak sanggup memberatkan sesuatu amalan kepada umatnya, sebagaimana sabda baginda: "Sekiranya tidak memberati umatku, nescaya aku akan menyuruh mereka untuk bersiwak pada setiap kali hendak menunaikan solat (pada riwayat yang lain: pada setiap kali berwuduk)".
Hadith ini menunjukkan bahawa Rasulullah ingin mewajibkan bersiwak setiap kali hendak menunaikan solat, namun oleh kerana amalan itu agak "berat" bagi umatnya, maka tidak diwajibkan. Begitu juga belas kasihannya Rasulullah pada umatnya, baginda melarang mereka daripada berterusan bangun malam untuk berqiamullail pada sepanjang malam dengan tidak menghiraukan keperluan dan kesihatan tubuh badan. Begitu juga dengan larangan berpuasa secara berterusan sepanjang tahun.

Ketika golongan Thaqif di Ta'if menolak mentah-mentah dakwah dan seruan nabi kepada Islam, baginda tetap bersabar dan rahmat baginda kepada mereka tetap terserlah. Puak Thaqif di Ta'if bukan sahaja menolak dakwah nabi, bahkan mereka juga bertindak secara kekerasan pada baginda. Mereka mengarahkan hamba abdi, khadam dan budak-budak nakal Bani Thaqif melontar baginda dengan anak-anak batu sehingga luka kedua-dua belah kaki baginda. Zaid Bin al-Harithah yang mengiringi Rasulullah ke sana cuba melindungi baginda daripada serangan dan lontaran budak-budak nakal itu.
Dalam suasana yang getir itu, Rasulullah terus bersabar dan menadah tangan berdoa pada Allah:
"Ya Allah, kepada Engkau aku mengadu keda'ifan tenagaku dan kurang bicaraku, kehinaanku di mata ramai. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih, Dikaulah Tuhan bagi golongan yang lemah, Dikaulah Tuhanku, kepada siapakah Dikau akan serah daku ini? Kepada mereka yang jauh yang bencikan daku atau kepada seteru yang Kau berikan kuasa ke atasku? Andai kata tidak ada sebarang kemurkaan-Mu ke atasku, maka tidak akan kupedulikan, tetapi kemaafan dan kurniaan-Mu lebih luas untukku. Aku berlindung dengan cahaya zat-Mu yang menyinari segala kegelapan dan yang memberi manfaat dunia dan akhirat, aku berlindung daripada kemarahan dan kemurkaan-Mu ke atasku. Dikau sahaja yang menegur sepuasnya. Dan tidak ada helah bicara dan daya upaya (kekuatan) kecuali dengan apa yang diberikan oleh-Mu, Ya Allah."

Setelah itu, malaikat Jibril datang kepada Rasulullah s.a.w. dan menyatakan bahawa Allah S.W.T. telah mendengar setiap perkataan puak yang menolak seruanmu serta tindakan mereka terhadapmu. Allah mengutus malaikat penjaga gunung untuk kau, dan suruhlah dia buat apa sahaja yang engkau mahu. Lalu malaikat penjaga gunung itu pun datang dan memberi salam kepada Rasulullah dan berkata, "aku ini malaikat segala gunung diutus oleh Tuhanmu dan perintahkanlah apa sahaja terhadapku apa yang engkau kehendaki. Sekiranya engkau mahu, aku akan menghempap bukit al-Akhsyabin ke atas mereka!" Jawab Rasulullah s.a.w: "Bahkan apa yang aku mahu ialah moga Allah mengeluarkan daripada suibi mereka (anak cucu mereka) golongan yang mengabdikan diri kepada Allah Yang Maha Esa, dan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu." (Muhammad al-lnsan al-Kamil, oleh al-Sayyid Muhammad Bin al-Sayyid 'Alawi al-MaUki).

Begitulah hebatnya sifat rahmat yang ada dalam diri Rasulullah sehingga baginda tetap mengharapkan kebaikan wujud daripada golongan yang jelas menentang baginda. Antara rahmat Nabi s.a.w. terhadap golongan kafir ialah permohonan baginda agar tidak disegerakan azab oleh Allah kepada mereka semasa di dunia. Padahal umar terdahulu yang kufur dan ingkar perkara yang dibawa oleh para rasul dihukum dengan segera. Demikian yang berlaku kepada kaum nabi Nuh, kaum 'Ad dan Thamud, kaum nabi Luth, dan kaum-kaum yang lain.
Logiknya, apabila golongan kafir boleh mendapat rahmat nabi, apatah lagi orang Islam dan orang yang beriman kepada Allah. Sifat rahmat Rasulullah terhadap keluarga sendiri boleh dijadikan contoh. Aisyah, isteri nabi telah ditanya tentang perilaku Rasulullah s.a.w. terhadap keluarganya ketika di rumah, katanya: "Rasulullah s.a.w. menolong keluarganya, tapi apabila tiba waktu solat, baginda dengan segera pergi menunaikannya". Bahkan dalam musnad Imam Ahmad, Aisyah telah menyatakan bahawa nabi s.a.w. menjahit bajunya sendiri.

Selain itu, Rasulullah s.a.w. juga mempunyai sifat rahmat dan belas kasihan kepada kanak-kanak. Telah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, bahawa Rasulullah s.a.w. mencium al-Hasan dan al-Husin dengan penuh kasih sayang. Ketika itu al-Aqra' Bin Habis al-Tamimi memerhatikan perbuatan baginda, lalu beliau berkata: "Aku mempunyai sepuluh orang anak, dan aku tidak pernah mencium walau seorang pun daripada mereka". Lalu Rasulullah s.a.w. berkata kepadanya: "Sesiapa yang tidak mempunyai sifat rahmat, dia tidak akan dirahmati."

Di samping itu, Rasulullah s.a.w. turut mempunyai sifat rahmat dan belas kasihan kepada anak-anak yatim, ibu tunggal, dan orang sakit. Rasulullah sentiasa memberikan makanan kepada golongan-golongan ini. Malah Rasulullah tidak pernah melepaskan peluang untuk menziarahi orang miskin, terutamanya orang sakit dan orang yang meninggal dunia. Semua ini perlu dicontohi oleh umat Islam.

Rasulullah s.a.w. juga sangat mengambil berat terhadap perkembangan para sahabat baginda. Bahkan baginda akan turut berasa sedih apabila seseorang sahabat dilaporkan mendapat kesusahan atau berada dalam kesedihan. Ketika nabi menziarahi jenazah Uthman Bin Maz'un, baginda mencium di antara dua mata jenazah hingga mengalir air matanya. Menurut Aisyah dia nampak air mata nabi mengalir di atas pipi Uthman. Begitulah sifat rahmat dan belas kasihan yang ada pada diri Rasulullah s.a.w.

Sebenarnya sifat rahmat Rasulullah ini bukan sahaja pada manusia, tetapi turut melibatkan haiwan dan binatang. Dalam hal ini Rasulullah telah berwasiat agar bersikap rahmat terhadap haiwan, dan melarang daripada menyakiti haiwan dengan apa cara sekali pun. Oleh sebab itu Rasulullah melarang para sahabat duduk di atas tunggangan binatang dalam jangka waktu yang panjang tanpa sebarang keperluan.
Rasulullah bersabda yang bermaksud:
"Tunggangilah binatang dengan baik, dan tinggalkannya dengan baik, dan janganlah kamu menjadikannya sebagai kerusi (tempat duduk) sedangkan kamu berbicara panjang di jalan dan di pasar. Mungkin yang ditunggang itu lebih baik dan lebih banyak mengingati Allah daripada yang menunggang" (Riwayat Imam Ahmad, Abu Ya'la, dan al-Tabrani).
Rasulullah juga dalam hadith yang lain melarang membunuh binatang dengan tidak ada tujuan seperti membunuh burung dengan suka-suka, bukan bertujuan untuk makan. Sabda nabi bermaksud:
"Sesiapa yang membunuh burung (dengan suka-suka), pada hari Kiamat kelak, burung tersebut akan mengadu pada Allah dengan katanya: 'Ya tuhan, sesungguhnya si fulan ini membunuhku tanpa tujuan dan tanpa sebarang manfaat" (Riwayat Imam al-Nasa'ei).

Petikan: Dewan Agama & Falsafah


0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Blog Archive

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy