Thursday, September 8, 2011

5,000 warga Myanmar jadi pengundi di Terengganu




KUALA LUMPUR, 8 Sept: Ribuan warganegara asing dengan 5,006 orang daripadanya dikenalpasti warganegara Myanmar telah disenaraikan sebagai pengundi oleh SPR untuk mengundi di Terengganu dalam PRU Ke-13 nanti.

Daripada angka itu, seramai 2,272 orang akan mengundi dalam Parlimen Kemaman, manakala 1,979 orang akan mengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kijal yang diwakili Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said bagi pihak BN.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut menjelaskan, data tersebut telah dikesan oleh pihaknya sepanjang tahun ini dan ia membuktikan betapa kotornya permainan politik para pemimpin Umno BN.

Menurut beliau, dengan angka tersebut, Parlimen Kemaman dan Dun Kijal sudah boleh dimenangi oleh BN dengan mudah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti dengan hanya menjadikan warga Myanmar sahaja sebagai pengundi.

Katanya, dengan itu, kemenangan yang diperolehi oleh BN dalam PRU itu khususnya bagi kerusi Parlimen Kemaman dan Dun Kijal adalah kerana warganegara asing dari Myanmar.

"Sebenarnya PAS Terengganu juga telah dapat mengesan kemenangan BN bagi Parlimen Kemaman dan Ahmad Said di Dun Kijal dalam PRU Ke-13 pada tahun 2008 lalu adalah juga kerana pengundi warganegara Myanmar.

"Proses untuk membolehkan warganegara Myanmar itu menjadi pengundi dilakukan di Langkawi, tetapi mereka mengundi di Terengganu. Kini cara yang sama juga turut dilakukan oleh Umno BN bagi menghadapi PRU Ke-13 nanti," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Selain warganegara Myanmar, menurut beliau,Umno BN turut menjadikan warganegara lain bagi mengundi di pihak mereka di Terengganu dalam PRU Ke-13 nanti.

Katanya, jumlah warganegara asing yang akan dijadikan pengundi di Terengganu dalam PRU Ke-13 nanti cukup besar sehingga ribuan orang.

"Pengalaman kami di Terengganu dalam berhadapan dengan pengundi-pengundi hantu, pada tahun 2004 kenaikan pengundi sebanyak 17 peratus iaitu hampir 170,000 pengundi baru dari Pahang dan Selangor.

"Pihak PAS telah pun membuat bantahan mengenai kemasukan pengundi-pengundi hantu itu kepada SPR dalam PRU tahun 2004 lalu tapi tidak dipedulikan oleh SPR," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Kini, tindakan tidak bertanggungjawab itu, tegasnya, semakin menjadi-jadi yang membabitkan sindiket pakatan SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sehingga turut diajadikan penduduk sementara pula sebagai pengundi hantu atau pengundi bertindih.

Katanya, 44 kes pengundi bertindih telah dilaporkan oleh beliau kepada SPR baru-baru ini yang melibatkan pengundi yang mempunyai dua kad pengenalan berwarna hijau pula yang sama tetapi berbeza angka bagi dua digit terakhir.

"Laporan kami mengenai seorang pengundi mempunyai dua kad pengenalan itu diterima dan turut diakui oleh SPR dan SPR berjanji akan mengatasi masalah seorang pengundi mempunyai dua kad pengenalan," katanya.

Bagaimanapun, janji SPR itu seperti mempunyai muslihat tertentu kerana perkara asas yang ditekankan oleh PAS bukan seorang pengundi mempunyai dua kad pengenalan, tetapi salah satu kad pengenalan tersebut berbeza dua digit terakhirnya dengan kad pengenalan individu terbabit yang satu lagi.

"Permainan politik kotor BN dengan sindiket SPR dan JPN itu tidak akan dibiarkan oleh PAS. PAS tetap akan terus membuat bantahan dari semasa ke semasa bagi menyelesaikan masalah ini," tegas beliau.(harakahdaily)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Blog Archive

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy