Saturday, September 4, 2010

Bebaskan Semua Tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)



Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) melahirkan rasa kesyukuran di atas pembebasan seorang tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) iaitu Shamsuddin Sulaiman yang sebelum ini telah ditangkap pada 17 April 2002 dan ditahan sejak 13 Jun 2002 di atas tuduhan kerana terlibat dengan Jemaah Islamiah (JI) Malaysia. Mengikut Pengarah Pasukan Petugas Khas Bukit Aman, Datuk Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, beliau dibebaskan dengan alasan tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara dan pembebasan itu dibuat atas arahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Sudah tentu jangka masa selama lapan tahun ditahan di bawah ISA dengan tanpa melalui proses perbicaraan dan tanpa membuktikan kesalahan yang dilakukan adalah merupakan satu jangka masa yang lama dengan memisahkan beliau daripada keluarga dan ia adalah merupakan satu bentuk kezaliman yang berterusan dilaksanakan oleh pemerintah. Alasan ‘tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara' adalah hujah yang sangat lemah sedangkan selama lapan tahun beliau ditahan masih tidak terbukti lagi apakah sebenarnya kesalahan yang telah dilakukannya.
DPPP secara konsistennya membantah perlaksanaan ISA terhadap mana-mana rakyat di Malaysia kerana ISA adalah akta yang zalim kerana ISA membenarkan sesiapa sahaja yang disyaki terlibat dengan aktiviti yang dianggap boleh mendatang kemudaratan kepada negara ditahan oleh polis selama 60 hari berturut-turut dengan mendapatkan kelulusan daripada Menteri Dalam Negeri. Selepas 60 hari, seseorang tahanan itu jika didapati masih mampu mendatangkan kemudaratan maka dengan kuasa Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri boleh menahan tertuduh selama dua tahun tanpa melalui perbicaraan di mana-mana mahkamah. Kuasa yang diberikan kepada menteri ini semakin bertambah apabila pada tahun 1989 akta ISA telah dipinda untuk memberikan kekebalan kepada Menteri Dalam Negeri daripada disiasat oleh makkamah dalam menentukan keputusannya terhadap tahanan ISA. Mahkamah hanya dibenarkan untuk melihat semula hanya perkara-perkara teknikal sahaja berkenaan sebarang penahanan di bawah ISA.

Ketidaksesuaian ISA juga telah mendapat perhatian serius Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang memandang berat terhadap penggunaan penahanan tanpa perbicaraan dan telah berulangkali menyarankan supaya tahanan ISA dibebaskan atau didakwa mengikut kesalahan mereka dengan menegaskan bahawa tindakan menahan seseorang tanpa sebarang perbicaraan adalah salah kerana bercangggah dengan Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR) yang memberi penekanan terhadap hak kepada nyawa, kebebasan dan keselamatan diri.

Dalam satu kajian SUHAKAM bertajuk "Review of The Internal Security Act 1960" yang dikeluarkan pada tahun 2003 telah membuat cadangan kepada kerajaan supaya meminda ISA. Cadangan tersebut adalah berdasarkan dua perkara yang disandarkan kepada perspektif hak asasi manusia. Pertama, ada kebimbangan dalam hubungannya dengan syarat-syarat ISA yang dipercayai bahawa mereka melanggar prinsip-prinsip hak asasi manusia. Perkara yang kedua, ada keprihatinan berhubung dengan pelaksanaan peruntukan ISA.

Malah, Suhakam bukan sahaja mahu ISA dipinda tetapi mendesak agar ISA dibubarkan. Pengerusi baru Suhakam iaitu Tan Sri Hasmy Agam telah membuat cabaran kepada semua rakyat Malaysia seandainya tidak mahu ISA maka bersatu menentangnya dan Suhakam telah dan akan terus mendesak agar ISA dibubarkan. Beliau menegaskan bahawa ISA adalah akta tinggalan sejarah memandangkan darurat telah berakhir dan tidak ada lagi komunis justeru mengapa ISA perlu dikekalkan.

Maka, DPPP mendesak agar kerajaan Malaysia membebaskan kesemua tahanan yang sedang ditahan di bawah akta zalim ISA ini dan dakwa kesemua tahanan di mahkamah untuk membuktikan kesalahan yang telah mereka lakukan.


Disediakan Oleh

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat
Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional dan Hubungan NGO DPPP

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Blog Archive

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy