Monday, August 23, 2010

Sudah Sampai Masa PAS Ganti Umno

0 comments

Parti Islam Se-Malaysia PAS berpandangan Umno yang bertanggungjawab menggagalkan pencapaian kouta 30% ekonomi bumiputera. Malahan isu ini akan dijadikan modal selagi Umno hidup atas muka bumi ini. Kegagalan untuk mencapai kouta 30% melambangkan kegagalan Umno dalam menguruskan amanah rakyat, khususnya Bumiputera dinegara ini. Tiba-tiba Umno menjerit kegagalan ini kerana orang bukan Melayu yang membolot kekayaan di negara ini. Ini satu telahan yang tidak tepat.

PAS dan Pakatan Rakyat komited untuk mempertahankan apa telah termaktub di dalam perlembagaan negara mengenai Islam, Melayu, Raja-Raja Melayu dan bahasa Melayu. Inilah persepakatan di Konvensyen Pakatan Rakyat yang di tandatangani oleh pemimpin PAS, PKR dan DAP pada 19/12/2009.

Umno sepatutnya malu, setelah mengepalai negara hampir 53 tahun selepas merdeka, ekonomi bumiputera semakin jauh ke belakang. Kalau dinilai dalam peperiksaan, Umno mendapat nombor corot, kerana 53 tahun di dalam kelas masih buta huruf. Kenapa Umno perlu melalak hendak menyalahkan orang lain kerana gagal mencapai tahap ekonomi bumiputera.

PAS mencadangkan kepada Umno kena banyak muhasabah diri, kenapa terjadi demikian. Pemimpin Umno kena fikir, mereka ada kuasa membuat dasar, melaksana, semuanya berada di dalam genggaman Umno. Pemimpin Umno yang memerintah di negara ini, bukan Umno menjadi pembangkang. Banyak perkara mereka boleh lakukan, kalau pemimpinnya jujur untuk rakyat dan negara.

PAS berpandangan pencapaian ini tidak tercapai kerana Umno melaksanakan dasar Umnoputera. Agih projek bukan kepada mereka yang sepatut dapat, merekalah yang menjadi jutawan 10% dengan mengali babakan projek yang dapat melalui “hak istimewa orang Umno”. Siapakah yang menjual ekuiti 30% yang diperuntukan kepada bumitera setiap kali syarikat yang hendak di senaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur. Kemana pergi dana RM54 bilion untuk ekuiti bumiputera, sekarang hanya tingga RM2 bilion, bermakna RM52 billion lesap. Sekiranya pemimpin Umno amanah dan jujur dengan dana sebanyak RM54 bilion, sudah tentu pencapaian ekuiti bumiputera sudah melebihi 30%.

PAS pernah terlibat di dalam Majlis Perundingan Ekonomi (MAPEN) tahun 1990 dengan cadangan yang bernas untuk peningkatan ekonomi bumiputera dan pembelaan kepada kaum lain. Cadangan PAS di sambut baik termasuk di kalangan ahli MAPEN yang terdiri dari kalangan orang bukan Melayu di dalam majlis tersebut. PAS mengemukakan cadangan berdasarkan kepada prinsip keadilan dalam Islam yang sejagat. Malangnya cadangan tersebut dibangkul sampah oleh Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri waktu itu.

PAS lebih berjaya menguruskan ekonomi dengan adil, iaitu membantu kepada mereka yang wajib dibantu. Pengalaman Pas di Kelantan selama 20 tahun berjaya mengangkat taraf hidup orang Melayu dan membantu bukan Melayu yang dhaif. Kesejahteraan dan keharmonian dapat dilihat dengan mata kasar. Begitu juga kejayaan Terengganu sewaktu pemerintahan PAS pada tahun 1999 hingga 2004 telah berjaya menaikkan taraf hidup rakyat Trengganu daripada miskin nombor dua kepada miskin nombor empat. Kerajaan PAS Terengganu juga telah memberi tanah khususnya tapak rumah kepada orang Cina dan kaum lain yang tidak bertanah, kerana mereka dalah golongan yang perlu dibantu. Kerajaan Kedah baru sahaja diambil alih oleh PAS dan Pakatan Rakyat, telah berjaya menunjukkan prestasi yang baik sehingga menjadi kehairanan bekas pimpinan Umno Kedah, macam mana Datuk Seri Azizan Razak berjaya memerintah Kedah walaupun dengan kekangan kewangan yang parah. Sampailah masanya PAS menggantikan Umno berdasarkan rekod dan prestasi negeri yang PAS pimpin untuk kesejahteraan rakyat berbagai kaum di negara ini.


Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Read full story

Awas Operasi Lalang Edisi 1 Malaysia

0 comments

Parti Islam Se-Malaysia PAS bimbang suasana politik negara pada hari ini yang semakin panas. Keadaan ini berlaku selepas PRU 2008, apabila BN tidak tahu menghormati keputusan rakyat dalam sebuah negara demokrasi. Kes yang terbaru lakonan rasa tidak puas hati Presiden MCA Datuk Sri Dr Chua Soi Lek mengenai kouta 30% dalam ekuiti bumiputera. Datuk Chua telah mengambil pendirian yang berani untuk menyokong kongres Cina yang mencadangkan kerajaan menghapuskan kouta 30%.

Kenyataan beliau telah menimbulkan kemarahan secara terbuka oleh Tan Sri Muhyidin Yasin selaku Timbalan Presiden Umno. Pendirian beliau dipanaskan lagi dengan sokongan beberapa pemimpin Umno dan NGO Melayu. Beberapa kenyataan amaran dan memperlekeh satu sama lain sedang bermain di dada akhbar.

PAS bimbang corak yang sama berlaku pada tahun 1987, ketika Umno mengalami perpecahan team A dan team B, sehingga Umno diharamkan oleh mahkamah. Tiba-tiba Lee Kim Sai Timbalan Presiden MCA telah mangatakan bahawa orang Melayu juga kaum pendatang dan hak keistimewaan bumiputera juga dipertikaikan. Pada ketika itu pemimpin Umno yang berlagak macam hero kampung dusun berhimpun untuk membantah kenyataan Lee Kim Sai. Ada di kalangan pimpinan umno suruh bawa pisau senang hendak kupas limau jika hadir di perhimpunan di stadium TPCA Kampung Baru. Akhirnya himpunan tersebut telah dibatalkan oleh pihak keselamatan.

Kemudian operasi lalang berlaku, Lee Kim Sai ke Australia, sebaliknya yang menjadi mangsa ialah pemimpin PAS, DAP dan NGO yang disumbat di Kamunting. Ada beberapa pemimpin Umno ditangkap juga, sekadar untuk main wayang kemudian dibebaskan.

PAS mengharapkan pihak kerajaan dan keselamatan jangan mengkambing hitamkan pembangkang, kerana hendak melindungi masalah dalaman parti komponen BN. Jangan gunakan ISA dan operasi lalang, bertarunglah dalam gelanggang demokrasi di atas padang yang sama rata serta pengadil dan tiang gol yang tidak diubah-ubah. Pemimpin Umno kena insaf mereka sekarang bukan sahaja tidak disukai oleh orang bukan Melayu malahan juga telah ditolak oleh orang Melayu, terutama generasi terpelajar dan bermaklumat.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat
Read full story

Friday, August 20, 2010

Takziah Kepada Ustaz Abu Bakar Hussain Di Atas Pemergian Isteri Beliau Ke Rahmatullah

0 comments
Pemuda Pas Dun Sura ingin merakamkan ucapan takziah kepada Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain di atas pemergian isteri beliau ke rahmatullah pada petang ini di Hospital Tuanku Bainun, Ipoh. Sesungguhnya pemergian Almarhumah Ustazah Rafeah Ramli yang merupakan tulang belakang kepada perjuangan Ustaz Abu Bakar dan anggota keluarga beliau, tentunya dirasai oleh seluruh ahli PAS umumnya dan pendukung Muslimat PAS di negeri Perak khususnya.
Read full story

Saturday, August 14, 2010

Ijtima' Tarbawi Pemuda/i Kebangsaan Di Rusila 1, 2 & 3 Oktober

0 comments

1. Semakin hari semakin dekat , semakin menanti semakin terpikat . Sedar atau tidak hanya 47 hari sahaja lagi untuk seluruh pemuda dan pemudi yang menjadi anggota Gerakan Islam ini berhimpun demi mencetus gelombang baru bagi Amal Tarbawi di dalam PAS disamping meneruskan kerja - kerja dakwah dan siasah .

2. Al Ijtima' At Tarbawi Pemuda - pemudi peringkat Kebangsaan akan berlangsung pada 1 hingga 3 Oktober 2010 akan datang di Perkarangan Masjid Rusila Terengganu . Alhamdulillah , program besar yang bakal menghimpunkan hampir 5000 kepimpinan pemuda PAS di semua peringkat dan seluruh pencinta - pencinta tarbiyah ini telah mendapat komitmen yang tinggi dari kedua - dua pucuk pimpinan tertinggi PAS iaitu YAB Tuan Guru Dato' Bentara Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat [ al Mursyidul Am PAS ] dan Yb Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang [Presiden PAS]

3. Sejurus selesai retreat Dewan Pemuda PAS Pusat baru - baru ini terdapat beberapa penambahan kepada tentatif atau aturcara Ijtimak Tarbawi tersebut yang perlu saya paparkan di sini .

Pertama : Penyertaan wajib dikekalkan kepada semua Exco DPPP , Exco DPP Negeri , Ajk DPP Kawasan dan ianya turut dibuka kepada mahasiswa\i dalam dan luar negara serta para pemudi [ akhawat ] dengan terlebih dahulu mendaftarkan diri ke pejabat Dewan Pemuda PAS Negeri atau direct kepada Sekteriat Dewan Pemuda PAS Pusat di pejabatnya . Insyaallah mekanisme pendaftaran secara online sedang disiapkan . [ Jika lambat , akhawat disarankan daftar segera ke pejabat DPP Negeri atau Pusat ]

Kedua : [ Tentatif ]

01 Oktober 2010 [ Jumaat ] ~ kandungan ~

04.00 pm - 06.30 pm : Pendaftaran Masuk
06.30 pm - 07.30 pm : Taklimat , al Ma'thuuraat & solat maghrib berjamaah
08.00 pm - Taujihat Tarbawi oleh :
Al Fadhil Tuan Guru Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

~ Solat Isyak dan Makan malam ~

10.15 pm : Majlis Perasmian oleh :
YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat [Al Mursyidul Am PAS] .

02 Oktober 2010 [ Sabtu ] ~ kandungan ~

Qiamulail dan Bicara Subuh

Tafsir Al Hujurat 1 [6.15 am] dan Tafsir Al Hujurat 2 [8.00 pm] oleh :
Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang [Presiden PAS]

Kertas 1 : PAS & Tarbiyah Islamiyyah oleh :
Al Fadhil Tuan Guru Dato' Yahya Othman

Ulasan 1 : Pengukuhan PAS melalui Tarbiyah oleh :
Al Fadhil Yb. Ust Nasharudin Mat Isa [ Timbalan Presiden PAS ]

Pidato Tarbawi 1 : Tarbiyah Jihadiyah dan Pilihanraya oleh :
Al Fadhil Ustaz Dato' Abu Bakar Chik

Forum Tarbawi 1 : Memupuk Budaya Tarbiyah dalam PAS oleh :
Yb. Hj Salahudin Ayub [ Naib Presiden PAS ]
Ustaz nasrudin bin Hj Hassan At Tantawi [ Ketua DPP Pusat ]
Ustazah Hajjah Nuridah binti Mohd Salleh [ Ketua DMP Pusat ]

Pidato Tarbawi 2 : Tarbiyah Jihadiyah dan Palestine oleh :
Wakil Gerakan Islam Luar Negara
Al Fadhil Tuan Guru Dato' Hj Harun Din [ Timbalan Mursyidul Am PAS ]
Yb. Dato Hj Mahfuz Omar . [ Naib Presiden PAS ]

03 Oktober 2010 [ Ahad ] ~ kandungan ~

Qiamulail dan solat fardhu berjamaah

Tafsir Al Hujurat 3 ~ khatam ~ [ 6.15 am ] oleh :
Yb Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang [ Presiden PAS ]

Kertas 2 : Tarbiyyah Al Harakiyyah oleh :
Al Fadhil Yb. Tuan Guru Dato' Hj Harun Taib [ Ketua Dewan Ulama' PAS Pusat ]

Ulasan 2 : Mengukuh Amal Jamaei oleh :
Al Fadhil Ustaz Idris Hj Ahmad

Forum Tarbawi 2 : Tarbiyyah dan Dewan Pemuda PAS oleh :
Al Fadhil Ustaz Hj Zulkifli Ismail [ DUP ]
Al Fadhil Ustaz Azman Syafawi Abd Rani [ DPP Pusat ]
Al Fadhil Ustaz Hj Ahmad Yahya [ DPP Kedah ]

Ikrar Ijtima' : Pengarah Ijtima'

Penutup [ 12.30 pm ] oleh : Yb Dato' Seri Tuan Guru Presiden PAS

4. Saya berharap , masa yang begitu pantas berlalu tidak melekakan para pemuda untuk membuat persiapan awal dari segi material , fizikal dan mental agar Ijtima' Tarbawi ini benar - benar dapat meletuskan satu ledakan besar dalam PAS untuk kembali mengaktifkan organ - organ tarbiyahnya.

5. Ironinya apabila program seumpama ini mendapat perhatian serius YAB Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila beliau meminta supaya saya menyegerakan Ijtima' ini dan dilangsungkan di dalam bulan Ramadhan ini juga untuk menyertai kemuliaannya. Malangnya sepanjang bulan Ramadhan ini Dewan Pemuda PAS Pusat telah padat dengan program seperti :

Singgah Ramadhan [ Dewan Pemuda PAS bersama Harakah ] di 4 buah negeri
Munaqsyah Ucaptama Ketua Dewan Pemuda [ zon utara dan selatan ]
Iftar Jamaei DPPP
Sidang Meja Bulat Selamatkan Negara [isu jenayah rogol , buang bayi dan zina ]
Pertemuan dengan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi [Isu Mahasiswa wajar Berpolitik]
Pelancaran kempen kumpul Tandatangan bantah saman ekor

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhhWrOjsZQ24wVFYpbwvGvhHihyG-h66xb76vLLInXVksdvu4DpE5K3i_2Xm-okUJxGpuKHrL-noXgA99m5nz3ac0NxPekyG4fbd0Xh9M8Q9TrejzAQ_prsP6oiDOSo5iWkG4F550J7orw/s1600/Ijtima'+sign+Board.jpg

Justeru itu , Ijtima' tersebut terpaksa dilangsungkan sebagaimana jadual asal iaitu 1 , 2 ,3 Oktober 2010 kelak . Semoga Allah memberi kekuatan dan petunjuk kepada kita semua untuk menjayakan program besar ini .

sumber : episodeperjuangan
Read full story

Thursday, August 12, 2010

Hulurkan Sumbangan Anda Kepada Anak-Anak Yatim

0 comments
DUNGUN, 12 Ogos Khamis - Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan DUN Sura yang telah berjaya mengadakan Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Faqir Miskin baru-baru ini, sedang berusaha untuk mengumpul kewangan bagi disumbangkan kepada anak-anak yatim dan anak-anak sindrom down di sekitar DUN Sura.

Menurut Ketua Lajnah, Haji Zakariah Yusoff, program yang mendapat dokongan padu daripada ADUN Sura, Y.B. Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli itu, telah diadakan pada tahun 2008 dan 2009 yang lalu.

" Pihak kami mensasarkan jumlah kutipan sekurang-kurangnya RM15,000.00 di mana berdasarkan rekod sumbangan tahun lalu, seramai lebih 200 orang yang terdiri dari anak-anak yatim dan anak-anak sindrom down telah menerima agihan menjelang Aidilfitri lalu, " ujar beliau.

" Majlis ini telah dipersetujui oleh Y.B. ADUN Sura merangkap Pengarah DUN Sura, akan diadakan seminggu menjelang Aidilfitri, iaitu pada 3 September, 2010 hari Jumaat, sehubungan itu kami mengalukan-alukan sumbangan ikhlas daripada seluruh dermawan untuk turut sama melibatkan diri melalui infaq masing-masing ke akaun bersama atas nama : ZAKARIAH BIN YUSOFF / ENCHE ALIAS BIN MUDA, nombor akaun RHB Bank Dungun : 1-13056-0005261-2, “ tambah beliau lagi.

Kepada sesiapa yang berhajat untuk menyumbang juga boleh menghubungi Hj Zakariah Yusoff (013-930 7922), Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan DUN Sura.
Read full story

Tuesday, August 10, 2010

Ramadhan bulan tarbiah, jihad

0 comments
Takwim solat & waktu Berbuka Ramadhan 1431H terbitan Lajnah Penerangan Pemuda Dun Sura





Ramadhan bulan tarbiah, jihad

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Ramadhan adalah bulan tarbiah dan jihad bagi pejuang-pejuang Islam, kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Justeru, katanya kedatangan Ramadhan adalah proses untuk menundukkan hawa nafsu yang sentiasa bergelodak dalam jiwa untuk mengabadikan jihad dan perjuangan.

“Andainya hawa nafsu boleh ditundukkan dengan jalan lain (bukan berpuasa) nescaya Allah akan mewajibkannya.

“Namun bilamana Allah mewajibkan puasa kepada umat dahulu dan sekarang, bermakna hawa nafsu hanya dapat dikawal melalui ibadat puasa,” ujarnya dalam perutusan sempena Ramadhan 1431H.

Katanya, sejarah jatuh bangun umat dahulu memperlihatkan betapa banyaknya tekanan musuh dan serangan yang dilakukan dalam bulan Ramadhan kerana musuh menganggap umat Islam akan lemah kerana berpuasa.

“Lihatlah di zaman kita serangan ke atas Iraq, Afghanistan, Bosnia dan lainnya banyak dimulakan dalam bulan Ramadhan.

“Bahkan kalau kita buka lipatan sejarah lampau, sejak zaman Rasulullah hingga zaman tabieen, serangan musuh banyak tertumpu dalam bulan Ramadhan,” katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Kerana itu, katanya Ramadhan janganlah dijadikan alasan untuk mengabaikan jihad; kerana tarbiah Ramdhan adalah tarbiyah langsung dari Allah, sehingga Allah menyatakan dalam hadis Qudsi yang bermaksud: Puasa kamu untuk Ku, maka Akulah yang akan memberi balasannya.

“Alhamdulillah, Ramadhan datang lagi dengan penuh rahmat dan keberkatan. Marilah kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dipanjangkan umur sehingga kita bertemu semula Ramadhan,” ujarnya.

Katanya, Rasulullah s.a.w. sering kali berdoa yang bermaksudnya: Ya Allah, berkatilah kami dalam bulan Syaaban, dan (panjangkan umur kami) sehingga bertemu dengan Ramadhan.

“Betapa besarnya rahmat Ilahi bilamana kita dipanjangkan umur sehingga bertemu dengan Ramadhan kerana sabda Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Antara Ramadhan ke Ramadhan adalah pengampunan Allah.

Maksudnya, jelasnya sesiapa yang dipanjangkan umur sehingga dapat bertemu dengan Ramadhan, maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya yakni dosa kecil.

“Panjang umur bukan kerja kita, ia benar-benar hak mutlak Allah; lantaran itu marilah kita mensyukurinya.

“Saya mengambil kesempatan menyeru kepada semua pendokong parti agar menjadikan Ramadhan ini sebagai bulan menambahkan amalan seharian, hidupkan tadarus al-Quran di kalangan ahli usrah,” ujarnya lagi.

Beliau juga menyeru supaya dihidupkan majlis berbuka, tarawih dan tazkirah di mana-mana ruang yang ada dan ambillah kesempatan menderma terutamanya memberi makan kepada orang yang berpuasa.

Ini, katanya kerana Rasulullah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa iaitu menyediakan makanan berbuka puasa, maka dia memperolehi pahala sebagaimana orang yang berpuasa, dan tidak kurang sedikitpun pahala puasanya.

Namun, beliau mengingatkan orang yang berpuasa supaya hendaklah memendekkan masa di bazar-bazar Ramadhan, dan jangan membeli juadah untuk berbuka dari tangan-tangan yang fasiq, tangan yang tidak mengerjakan sembahyang, dan tangan yang tidak takutkan Allah.

“Peliharalah setiap suap makanan kerana ia menjadi darah daging, dan darinya menjadi air mani yang melahirkan zuriat kamu.

Kutiplah mutiara keberkatan Ramadhan pada siangnya dan hidupkanlah ibadahmu pada malamnya, kerana persoalan utama bukan Ramadhan yang penuh keberkatan dan rahmat, tetapi apakah kita memperolehi keberkatan dan rahmat itu,” katanya.








Read full story

Program di surau angkat Pemuda Dun Sura-2.

0 comments
Alhamdulillah,program yang dianjurkan Pemuda Dun Sura iaitu pada 4,5&9 Ogos 2010 telah berjaya dilansungkan sempena menyambut Ramadhan Al-Mubarak.Antara penceramah jemputan ialah ustaz safuan,ustaz ubaidillah dan usta amri.Semoga kuliah yang diberi kepada kita dalam majlis Ilmu ini dapat kita membaiki diri kita kearah kebaikan yang mencintai Islam.
Takbir!!!



4 Ogos 2010
Ustaz Safuan


5 Ogos 2010
Ustaz Ubaidillah


9 Ogos 2010
Ustaz Amri

Read full story

Monday, August 9, 2010

Keperibadian Rasulullah - Ada rahmat terhadap sekalian alam

0 comments
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
"Tidak Kami (Allah) mengutus akan engkau (wahai Muhammad) kecuali untuk memberi rahmat kepada sekalian alam" (Surah al-Anbiya': 107).
Ayat di atas, jelas menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. merupakan rasul dan nabi yang diutus oleh Allah untuk memberikan rahmat kepada sekalian makhluk. laitu merangkumi golongan yang beriman, golongan kafir, golongan munafik, bahkan nabi membawa rahmat kepada semua manusia tidak kira sama ada lelaki mahupun wanita, dewasa mahupun kanak-kanak, juga memberi rahmat kepada burung-burung dan haiwan lain. Jelasnya, rahmat yang dibawa oleh Rasulullah adalah untuk semua.

Antara tanda-tanda rahmat dan belas kasihan nabi kepada umatnya ialah baginda tidak sanggup memberatkan sesuatu amalan kepada umatnya, sebagaimana sabda baginda: "Sekiranya tidak memberati umatku, nescaya aku akan menyuruh mereka untuk bersiwak pada setiap kali hendak menunaikan solat (pada riwayat yang lain: pada setiap kali berwuduk)".
Hadith ini menunjukkan bahawa Rasulullah ingin mewajibkan bersiwak setiap kali hendak menunaikan solat, namun oleh kerana amalan itu agak "berat" bagi umatnya, maka tidak diwajibkan. Begitu juga belas kasihannya Rasulullah pada umatnya, baginda melarang mereka daripada berterusan bangun malam untuk berqiamullail pada sepanjang malam dengan tidak menghiraukan keperluan dan kesihatan tubuh badan. Begitu juga dengan larangan berpuasa secara berterusan sepanjang tahun.

Ketika golongan Thaqif di Ta'if menolak mentah-mentah dakwah dan seruan nabi kepada Islam, baginda tetap bersabar dan rahmat baginda kepada mereka tetap terserlah. Puak Thaqif di Ta'if bukan sahaja menolak dakwah nabi, bahkan mereka juga bertindak secara kekerasan pada baginda. Mereka mengarahkan hamba abdi, khadam dan budak-budak nakal Bani Thaqif melontar baginda dengan anak-anak batu sehingga luka kedua-dua belah kaki baginda. Zaid Bin al-Harithah yang mengiringi Rasulullah ke sana cuba melindungi baginda daripada serangan dan lontaran budak-budak nakal itu.
Dalam suasana yang getir itu, Rasulullah terus bersabar dan menadah tangan berdoa pada Allah:
"Ya Allah, kepada Engkau aku mengadu keda'ifan tenagaku dan kurang bicaraku, kehinaanku di mata ramai. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih, Dikaulah Tuhan bagi golongan yang lemah, Dikaulah Tuhanku, kepada siapakah Dikau akan serah daku ini? Kepada mereka yang jauh yang bencikan daku atau kepada seteru yang Kau berikan kuasa ke atasku? Andai kata tidak ada sebarang kemurkaan-Mu ke atasku, maka tidak akan kupedulikan, tetapi kemaafan dan kurniaan-Mu lebih luas untukku. Aku berlindung dengan cahaya zat-Mu yang menyinari segala kegelapan dan yang memberi manfaat dunia dan akhirat, aku berlindung daripada kemarahan dan kemurkaan-Mu ke atasku. Dikau sahaja yang menegur sepuasnya. Dan tidak ada helah bicara dan daya upaya (kekuatan) kecuali dengan apa yang diberikan oleh-Mu, Ya Allah."

Setelah itu, malaikat Jibril datang kepada Rasulullah s.a.w. dan menyatakan bahawa Allah S.W.T. telah mendengar setiap perkataan puak yang menolak seruanmu serta tindakan mereka terhadapmu. Allah mengutus malaikat penjaga gunung untuk kau, dan suruhlah dia buat apa sahaja yang engkau mahu. Lalu malaikat penjaga gunung itu pun datang dan memberi salam kepada Rasulullah dan berkata, "aku ini malaikat segala gunung diutus oleh Tuhanmu dan perintahkanlah apa sahaja terhadapku apa yang engkau kehendaki. Sekiranya engkau mahu, aku akan menghempap bukit al-Akhsyabin ke atas mereka!" Jawab Rasulullah s.a.w: "Bahkan apa yang aku mahu ialah moga Allah mengeluarkan daripada suibi mereka (anak cucu mereka) golongan yang mengabdikan diri kepada Allah Yang Maha Esa, dan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu." (Muhammad al-lnsan al-Kamil, oleh al-Sayyid Muhammad Bin al-Sayyid 'Alawi al-MaUki).

Begitulah hebatnya sifat rahmat yang ada dalam diri Rasulullah sehingga baginda tetap mengharapkan kebaikan wujud daripada golongan yang jelas menentang baginda. Antara rahmat Nabi s.a.w. terhadap golongan kafir ialah permohonan baginda agar tidak disegerakan azab oleh Allah kepada mereka semasa di dunia. Padahal umar terdahulu yang kufur dan ingkar perkara yang dibawa oleh para rasul dihukum dengan segera. Demikian yang berlaku kepada kaum nabi Nuh, kaum 'Ad dan Thamud, kaum nabi Luth, dan kaum-kaum yang lain.
Logiknya, apabila golongan kafir boleh mendapat rahmat nabi, apatah lagi orang Islam dan orang yang beriman kepada Allah. Sifat rahmat Rasulullah terhadap keluarga sendiri boleh dijadikan contoh. Aisyah, isteri nabi telah ditanya tentang perilaku Rasulullah s.a.w. terhadap keluarganya ketika di rumah, katanya: "Rasulullah s.a.w. menolong keluarganya, tapi apabila tiba waktu solat, baginda dengan segera pergi menunaikannya". Bahkan dalam musnad Imam Ahmad, Aisyah telah menyatakan bahawa nabi s.a.w. menjahit bajunya sendiri.

Selain itu, Rasulullah s.a.w. juga mempunyai sifat rahmat dan belas kasihan kepada kanak-kanak. Telah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, bahawa Rasulullah s.a.w. mencium al-Hasan dan al-Husin dengan penuh kasih sayang. Ketika itu al-Aqra' Bin Habis al-Tamimi memerhatikan perbuatan baginda, lalu beliau berkata: "Aku mempunyai sepuluh orang anak, dan aku tidak pernah mencium walau seorang pun daripada mereka". Lalu Rasulullah s.a.w. berkata kepadanya: "Sesiapa yang tidak mempunyai sifat rahmat, dia tidak akan dirahmati."

Di samping itu, Rasulullah s.a.w. turut mempunyai sifat rahmat dan belas kasihan kepada anak-anak yatim, ibu tunggal, dan orang sakit. Rasulullah sentiasa memberikan makanan kepada golongan-golongan ini. Malah Rasulullah tidak pernah melepaskan peluang untuk menziarahi orang miskin, terutamanya orang sakit dan orang yang meninggal dunia. Semua ini perlu dicontohi oleh umat Islam.

Rasulullah s.a.w. juga sangat mengambil berat terhadap perkembangan para sahabat baginda. Bahkan baginda akan turut berasa sedih apabila seseorang sahabat dilaporkan mendapat kesusahan atau berada dalam kesedihan. Ketika nabi menziarahi jenazah Uthman Bin Maz'un, baginda mencium di antara dua mata jenazah hingga mengalir air matanya. Menurut Aisyah dia nampak air mata nabi mengalir di atas pipi Uthman. Begitulah sifat rahmat dan belas kasihan yang ada pada diri Rasulullah s.a.w.

Sebenarnya sifat rahmat Rasulullah ini bukan sahaja pada manusia, tetapi turut melibatkan haiwan dan binatang. Dalam hal ini Rasulullah telah berwasiat agar bersikap rahmat terhadap haiwan, dan melarang daripada menyakiti haiwan dengan apa cara sekali pun. Oleh sebab itu Rasulullah melarang para sahabat duduk di atas tunggangan binatang dalam jangka waktu yang panjang tanpa sebarang keperluan.
Rasulullah bersabda yang bermaksud:
"Tunggangilah binatang dengan baik, dan tinggalkannya dengan baik, dan janganlah kamu menjadikannya sebagai kerusi (tempat duduk) sedangkan kamu berbicara panjang di jalan dan di pasar. Mungkin yang ditunggang itu lebih baik dan lebih banyak mengingati Allah daripada yang menunggang" (Riwayat Imam Ahmad, Abu Ya'la, dan al-Tabrani).
Rasulullah juga dalam hadith yang lain melarang membunuh binatang dengan tidak ada tujuan seperti membunuh burung dengan suka-suka, bukan bertujuan untuk makan. Sabda nabi bermaksud:
"Sesiapa yang membunuh burung (dengan suka-suka), pada hari Kiamat kelak, burung tersebut akan mengadu pada Allah dengan katanya: 'Ya tuhan, sesungguhnya si fulan ini membunuhku tanpa tujuan dan tanpa sebarang manfaat" (Riwayat Imam al-Nasa'ei).

Petikan: Dewan Agama & Falsafah


Read full story
Related Posts with Thumbnails
 

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy