Sunday, June 8, 2008

Isu minyak: PAS bersedia debat secara terbuka dengan menteri


KUALA LUMPUR, 7 Jun (Hrkh) - Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub tidak akan teragak-agak untuk berdebat secara langsung dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Shahrir Samad mengenai kenaikan harga minyak.

Jelas Salahuddin, beliau akan menggunakan peluang dan ruang sebaik-baiknya serta akan mengemukakan hujah-hujah yang lebih 'emperical' bagaimana seharusnya kerajaan bertindak dalam menghadapi pengurangan subsidi dengan menteri berkenaan secara langsung melalui saluran RTM pada 9.30 malam, 10 Jun ini (Selasa).



Beliau berkata demikian dalam sidang media mesyuarat Exco Dewan Pemuda PAS di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.

Katanya, kesan kenaikan harga minyak yang tidak munasabah ini merupakan isyarat terakhir kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya meletak jawatan.

Kerajaan katanya juga tidak mengambil pengajaran daripada tsunami politik yang berlaku selepas pilihan raya lalu.

"Hari ini rakyat mungkin kesal kerana tidak memberi pelapis kepada kami. Jika kami memerintah mungkin situasi ini tidak berlaku," katanya.

Jelasnya situasi yang berlaku hari ini, rakyat berdepan dengan kenaikan harga barangan seperti kenaikan harga beras dan minyak masak yang menjadi keperluan harian rakyat.

"Jika sebelum ini bagi rakyat yang berpendapatan rendah, mereka terpaksa membeli beras yang berharga RM18 untuk 10 kilogram, tetapi kini harga tersebut telah melambung.

"Jika semua menteri pada hari Perdana Menteri mengumumkan kenaikan harga minyak itu tersenyum, apa mesej sebenarnya yang ingin mereka sampaikan kepada rakyat?" soalnya.

Sementara itu katanya, pihaknya akan menghantar memorandum bantahan kepada Perdana Menteri di pejabatnya di Putrajaya 10 Jun ini.

Tambahnya Pemuda PAS bersama Angkatan Muda KeADILan (AMK) akan turut mengadakan bantahan melalui perhimpunan aman pada 13 Mei ini pada jam 2.00 petang yang bermula dari Menara City Bank ke KLCC.

Jelasnya beliau menerima banyak sistem pesanan ringkas (sms) sebagai respons mengenai perhimpunan tersebut. Sehubungan itu beliau tidak menolak kemungkinan lebih 10,000 orang akan menyertai daripada pelbagai kelompok masyarakat.

Dalam pada itu beliau juga menaruh keyakinan perhimpunan tersebut akan berlangsung dengan aman dan terkawal.

"Berdasarkan pengalaman perhimpunan Bersih yang lalu, satu perhimpunan yang agak besar tetapi berlaku dalam keadaan aman. Kami akan pastikan perhimpunan itu berlangsung dengan aman. Dan kami akan memohon permit bagi perhimpunan aman itu," katanya.

Ditanya sama ada pihaknya akan tetap meneruskan perhimpunan walaupun tidak mendapat permit, beliau secara berseloroh menjawab, " Itu biasa..." katanya yang disambut ketawa pihak media.

Sementara itu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menyatakan dalam sesi Parlimen lepas, beliau dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang lain banyak membangkitkan mengenai isu Petronas yang banyak 'disembunyikan' kerajaan.

"Hasil Petronas dijual satu hari 700,000 tong dan semua rakyat mengetahuinya. Kenapa hanya dijual 700,000 tong sehari dengan harga pasaran untuk tempoh enam bulan akan datang dengan 130,000 dolar satu tong? Dengan keuntungan yang agak tinggi, kerajaan tidak mahu menanggung subsidi.

"Jadi, kami mempunyai hak untuk bertanya kerajaan dan mengesyaki adakah kerajaan telah menjual ke hadapan minyak di Malaysia dengan harga yang rendah yang mungkin dengan harga 30 dolar satu tong untuk satu tahun bagi kerajaan melaksanakan projek mega serta 'bail out' projek mega yang gagal," katanya.

Sehubungan itu katanya, dalam sesi Parlimen akan berlangsung pada 23 Jun nanti, beliau akan mengulangi desakan terhadap kerajaan agar mengisytiharkan penyata kewangan Petronas kepada Parlimen.

"Kenapa PM terlalu ingin merahsiakan mengenai akaun Petronas ini? Beliau mesti memberitahu kepada rakyat subsidi yang ditanggung serta keuntungan yang diperolehi dan ke manakah keuntungan tersebut dibelanjakan," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan yang dikemukakan wartawan adakah Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak cukup kuat untuk membawa isu dan permasalahan yang dihadapi rakyat termasuk kenaikan harga minyak, jelasnya semua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat telah menggunakan segala ruang yang ada di Dewan Rakyat bagi menyampaikan suara rakyat kepada kerajaan.

"Kami telah membahaskan Titah Diraja, menyampaikan usul dan mengemukakan soalan terhadap menteri sewaktu sesi soal jawab. Apa lagi ruang yang perlu kami lakukan di Parlimen? Cuma kami belum lagi 'berdiri di atas meja Parlimen," katanya, sinis.

Tegasnya, Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bukan gagal membawa suara rakyat sebaliknya pihak kerajaan yang berdegil dan tidak mendengar langsung rintihan rakyat.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Blog Archive

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy