Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali berkata, Kerajaan Pusat perlu menjelaskan pengumuman tersebut secara mendalam mengenai maksud 'pengurusan' wang royalti minyak Petronas yang dikembalikan semula.
Katanya, PAS mahukan penjelasan sama ada ia membawa maksud mengembalikan semula wang royalti secara muktamad dan sah ataupun menyerahkan pengurusannya sahaja.
"Kita hendak satu penyelesaian jangka panjang yang muktamad. Ertinya, berdasarkan aspek 'legal' (undang-undang) yang akan berakhir jika selesai dan kes di mahkamah pun mungkin tidak ada lagi.
"Dari sudut undang-undang ianya akan menjadi sah apabila adanya 'consent judgment' (keizinan penghakiman) yang mengarahkan royalti itu dikembalikan menjadi hak negeri Terengganu,"jelasnya pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS negeri, semalam.
Abdullah dalam kenyataanya Sabtu lalu berkata, 'pengurusan' wang royalti tersebut selepas ini akan diuruskan secara terperinci oleh Kerajaan Terengganu setelah prosedur langkah berkaitan ditetapkan menerusi perbincangan bersama tidak lama lagi.
Justeru itu, Dato' Mustafa sangsi, sekiranya hanya 'pengurusan' dikembalikan dan ianya tidak mencapai maksud menyerah balik pembayaran wang royalti minyak kerana pengurusan hanya sekadar mengurus wang tersebut sahaja.
Katanya , hak pengurusan tersebut mungkin boleh diambil balik oleh Kerajaan Pusat sekiranya individu yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus wang royalti itu tidak mahir dalam menguruskan wang berkenaan.
"Itu tidak sampai kepada matlamat kembalikan royalti. Kalau kembali mestilah berdasarkan kepada aspek 'legal' tadi, secara sah dan jangka panjang yang muktamad dan tidak boleh sesiapa lagi menarik balik royalti ini," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar Menteri Besar, Dato' Ahmad Said membuat perbincangan dengan rakyat, pemimpin pembangkang dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) sebelum mengadakan perbincangan lanjut berhubung soal royalti minyak antara Kerajaan Pusat dan negeri.
Katanya, melalui perbincangan tersebut pihak berkenaan dapat menyampaikan input bagi pihak negeri bagi disampaikan kepada pusat dan perbincangan negeri dan pusat boleh dikatakan sebagai mewakili kerajaan dan rakyat Terengganu.
"Saya mencadangkan supaya Menteri Besar negeri Terengganu membuat suatu perbincangan dengan rakyat iaitu melalui pemimpin-pemimpin pembangkang dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
"Ini penting supaya input yang boleh diberikan mereka dapat disampaikan oleh kerajaan negeri kepada kerajaan pusat.
"Kami sedia pergi jika Menteri Besar panggil untuk berbincang kerana ini adalah untuk kepentingan rakyat," jelasnya.
Antara lain, katanya Kerajaan Pusat perlu menyatakan jumlah terkumpul sejak royalti minyak ditarik balik pada pertengahan tahun 2000 sehingga kini (2008).
Menurutnya, perlu ada 'due dilligent audit' bagi mengetahui jumlah sebenar terhadap penyelesai hak royalti sebanyak lima peratus yang dinafikan sejak lapan tahun lalu.
Hadir sama pada sidang media tersebut adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Wan Mutalib Embong dan Setiausaha Perhubungan, Haji Yahaya Ali.
0 comments:
Post a Comment