Sunday, May 10, 2009

Usaha media ancam kesatuan PAS


Sepatutnya tulisan ini diberikan tajuk "Making Storms for the Dummies" sebagai mengambil sempena siri buku For Dummies yang popular di satu ketika dulu.

Nampaknya kerja-kerja membuat ribut untuk manusia tertentu yang mahu dianggap sebagai menepati kategori 'dummies' bolehlah diberikan kepada setidak-tidaknya dua buah entiti di Malaysia - satu, sebuah akhbar harian manakala satu lagi ialah sebuah agensi berita

Tiba-tiba sahaja sibuk betul kedua-dua entiti ini memintal perselisihan kecil dalam rumah tangga PAS sehingga menjadikannya sebagai berita nasional dramatik lagi bersensasi seolah-olah setaraf dengan perbalahan dan persengkataan dalaman Umno yang sudah menjadi budaya parti berkenaan

Bagaikan ketandusan modal, akhbar dan agensi berita ini terus menyeret profesionalisme kewartawanan mereka ke tahap lebih rendah daripada kemorosotan sedia ada dengan menjadikan kritikan dalam blog anak seorang pemimpin tertinggi PAS serta persepsi kononnya terdapat dua kem dan wujudnya perbezaan bersifat struktural PAS sebagai berita

Malangnya, apa yang tidak disedari oleh akhbar dan agensi berita ini ialah sekiranya 'ribut dalam cawah teh' yang berlaku di dalam PAS mahu diamplifikasikan oleh dua entiti ini sehingga menampakkan ia seperti ribut dan taufan trademark berskala Umno maka sudah tentu hanya 'dummies' sahaja mempercayainya.


Tentu sekali ia memerlukan 'dummies' bagi meyakinkan 'dummies'. Dan tentu sekali tidak salah bagi sesiapa sahaja melahirkan pendapat bahawa ada golongan dianggap sebagai 'dummies'. Ia tidak boleh ditakrifkan sebagai satu penghinaan. Penerbit siri buku 'untuk Dummies' pun tidak pernah disaman kerana menganggap pembeli dan pembacanya sebagai 'dummies'.

Justeru, apabila penulis blog berkenaan melahirkan pendapatnya tentang beberapa orang yang dianggapnya sebagai melakukan pekerjaan yang lazimnya dilakukan oleh 'dummies', maka itu hanyalah pendapat peribadi dalam blog persendiriannya sahaja.

Disebabkan, amalan biasa kewartawanan tidak pernah menganggap pendapat peribadi yang ditulis dalam sesebuah blog sebagai berita, maka tentulah pelik - kalaupun tidak melucukan - apabila akhbar dan agensi berita berkenaan yang masih hanyut dengan anggapan kehadirannya sebagai begitu penting kepada audien pembaca Malaysia, sanggup memperolok-olokkan keintelektuannya sendiri (itupun jika ada lagi saki baki penulisan berita/rencana yang layak dipanggil intelektual).

Di samping itu ada pula rencana yang digambarkan oleh penulisnya sebagai konon tergugatnya kepimpinan ulama dalam PAS. Untuk menampakkan tulisan tersebut mempunyai asasmaka si penulis melakukan 'names dropping' dengan menyebut beberapa nama pemimpin PAS lalu yang terbabit dalam beberapa krisis dalaman/kepimpinan parti.

Kemudian edisi hari Isnin (4 Mei 2009) akhbar berkenaan pula menjadikan kenyataan seorang pemimpin PAS Kelantan yang membidas golongan yang pro kepada seorang pemimpin KeADILansebagai tajuk utama akhbar berkenaan seolah-olah krisis dalaman PAS ini sebuah berita nasional.

Memang benar ada pemimpin PAS yang melahirkan pandangan tentang kemungkinan mewujudkan kerajaan perpaduan dengan Umno-BN dan ada yang tidak bersetuju dengan pendapat ini. Tetapi perbezaan pendapat dalam parti hanyalah perkara biasa dan tidak akan ada pemimpin PAS yang melanggan mana-mana pendapat sekalipun akan kehilangan waktu tidur malam hanya kerana perkara ini.

Dalam sejarah PAS, walaupun ramai dari kalangan pemimpinnya berstatus dan diterima oleh rakyat, termasuk oleh "pengikut" Umno sendiri sebagai ulama tetapi belum ada lagi yang, sementara berusaha mencontohi perilaku Nabi s.a.w., menganggap dirinya maksum sehingga tidak boleh melakukan kesilapan atau ditegur.

Kesilapan dan perselisihan faham kecilan sentiasa berlaku sepanjang masa. Cuma dulu kehadiran PAS dalam arus politik Malaysia tidaklah sehingga dapat mengubah iklim politik keseluruhan negara dan menggugat persepsi umum terhadap Umno yang merasakan diri sebagai entiti tunggal memperjuangkan apa sahaja bersabit dengan orang Melayu.

Kini PAS bukan sahaja semakin kukuh, semakin dewasa, semakin terbuka dari segi menerima kritikan (termasuk oleh ahli-ahli dan pemimpinnya sendiri) tetapi apa yang lebih penting tembelang Umno yang selama ini berjaya disembunyikan dengan pelbagai semburan wangian media akhirnya melantung akibat ledakan dunia siber.

Dan apa yang lebih menakutkan bagi Umno ialah, PAS hari ini bukan sahaja kian diterima sebagai sebuah parti yang bakal mengibarkan panji-panji perjuangan Islam dan orang Melayu secara mutlak tetapi semakin diterima oleh rakyat bukan-Melayu dan bukan Islam sebagai tonggak rakan siasah yang ikhlas, amanah, jujur dan lebih berkeperihatinan serta dianggap boleh diharapkan dalam membawa keadilan untuk semua.

Paling menarik, walaupun PAS diasaskan di atas platform perjuangan Islam namun ia semakin dilihat dan difahami oleh semua kaum sebagai sebuah parti yang tidak menangguk populariti politik dengan cara meniti di sepanjang garisan perkauman.

Tetapi itulah sebenarnya perjuangan Islam dengan segala ciri kesyumulannya sebagaimana dirintis oleh Nabi s.a.w. dalam Perlembagaan Madinah, yang intipati utama dan terpenting di dalamnya ialah "keadilan untuk semua sebagaimana yang diperintahkan Allah".

Sementara semua krisis dalaman kecil-kecilan dalam PAS ini tidak mungkin mengancam kesatuan dan keutuhan PAS, namun kekuatan demi kekuatan yang dibina oleh Parti Islam SeMalaysia ini adalah ancaman terbesar dalam sejarah Umno sebagai sebuah parti yang bercita-cita memelihara kuasa sehingga Hari Kiamat.

Bagi menangkis ancaman ini, satu-satunya jalan terakhir ialah menggunakan akhbar milik parti berkenaan bagi menggambarkan 'ribut dalam cawan teh' dalam PAS sebagaimana ribut-taufan termasuk tsunami yang pernah dan kini sentiasa melanda Umno.

Bilakah agaknya akhbar dan agensi berita ini mahu belajar menulis atau melapor sesuatu yang positif tentang PAS? Apakah mereka akan selama-lamanya kekal menjadi 'dummies'? - mks. _

Oleh : Shirzad Lifeboat

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Blog Archive

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy