Monday, July 26, 2010

Kewajipan Bersama Jemaah Islam




Sesungguhnya perjuangan menegakkan Islam bagi menjadikannya sebuah agama yang berdaulat pada individu sehinggalah pada alam ini merupakan satu perjuangan yang diwarisi dari Baginda Sollallahu’alaihiwasallam. Mereka yang bersedia untuk berada dalam satu perjuangan mendaulatkan agamaNya hakikatnya hanyalah penyambung risalah perjuangan dari generasi-generasi terdahulu.

Firman Allah Taala;

“ Katakanlah: Inilah jalanku; aku dan orang-orang yang mengikutku mengajak menuju Allah Taala dengan hujah dan keterangan yang terang nyata. Maha Suci Allah dan aku bukanlah termasuk dalam kalangan para musyrik”

Sedarilah, penyakit yang paling membimbangkan sedang menimpa para muslim hari ini adalah hilangnya rasa tanggungjawab untuk berusaha mendirikan agama Islam pada setiap inci kehidupan mereka, mempertahankannya dan menyebarkan ke seluruh alam. Adakah mereka terlupa bahawa harta dan jiwa mereka telah dibeli?

Sesungguhnya yang membelinya adalah Allah Taala sebagaimana aqad yang telah termeterai dengan jelas dalam al-Quran;

“ Sesungguhnya Allah Taala membeli dari kalangan para mu’min jiwa dan harta mereka dengan memberikan mereka syurga. Mereka berperang di jalan Allah Taala lalu mereka membunuh dan dibunuh. Itulah janji yang benar dari Allah Taala sebagaimana dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. Siapakah yang lebih menyempurnakan janjinya dari Allah Taala? Maka, bergembiralah dengan jual beli yang kamu bai’ahkan itu dan yang demikian itu merupakan satu kemenangan yang besar…”

Namun begitu, perkara yang perlu difahami bersama; perjuangan ini mestilah dilakukan secara berjemaah dalam keadaan penuh tersusun. Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam menegaskan kewajipan menggabungkan diri dalam kumpulan yang berusaha untuk menegakkan syiar Islam di zaman yang penuh dengan fitnah dalam hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidina Huzaifah Radiallahu’anhu dengan sabdanya;

“ Hendaklah kamu melazimi jemaah Islam dan pemimpin mereka”

Bahkan, Allah Taala menyayangi hambaNya yang berjuang di jalanNya secara bersama-sama dalam saf yang tersusun rapi dalam masa yang sama saling menguatkan antara sesama mereka. Firman Allah Taala;

“ Sesungguhnya Allah Taala suka orang yang berperang di jalannya dalam satu saf mereka seumpama bangunan yang tersusun kukuh”

Islam merupakan agama yang syumul. Tidak ada walaupun satu perkara yang diabaikan dalam agama Islam. Dunia merupakan medan ujian Allah Taala kepada hambaNya untuk menguji setakat mana ketaatan manusia kepada perintahNya sebelum mereka dibicarakan di hari akhirat. Sesetengah manusia bersikap memilih dalam melaksanakan perintah Allah. Skop Islam dipandang dalam ruang yang sangat sempit seolah-olah Islam hanya berperanan dalam beberapa perkara sahaja.

Perpecahan dalam kalangan umat Islam perlu dielakkan. Musuh sentiasa mencari kelemahan umat Islam supaya mereka tidak mampu untuk berpegang sepenuhnya kepada ajaran Islam yang sebenarnya. Sikap memisahkan urusan kepimpinan, politik, ekonomi dari agama telah menyebabkan umat Islam terus ketinggalan. Selain itu, ulama’ juga mengkritik golongan yang disifatkan sebagai golongan yang tertipu dengan sendiri apabila menyangka cukuplah Islam untuk diri dan beberapa perkara kemudian mereka mengabaikan masyarakat dan sekeliling.

Oleh sebab itu, marilah kita sama-sama berusaha bersatu dan bersama jemaah yang berjuang menegakkan syiar Islam yang melengkapi ciri-ciri Hizbullah sebagaimana yang dijelaskan dalam Al-Quran. Semoga Islam kembali berdaulat dengan ajarannya yang syumul, amin.




sumber : infoKPT

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Blog Archive

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy