Monday, June 13, 2011

Teruskan Langkah Menuju Perubahan



Oleh : Lajnah Tarbiyah Pemuda Dun Sura

Tidak syak lagi, setiap manusia bercita-cita untuk memperolehi kebahagian hidup, bebas dari permasalahan dan berjaya merealisasikan impian hidupnya. Namun, kebahagiaan hidup dan kepuasan sebenar tidak akan diperoleh dengan sekadar berangan-angan serta tidak akan mampu dicapai tanpa membuang perasaan malas dalam diri. Kebahagiaan dan kejayaan hanya dapat dicapai hasil usaha yang bersungguh-sungguh untuk mengubah diri dan sekeliling.

Di sana terdapat satu hakikat yang tidak diambil cakna oleh ramai manusia bahawa setiap individu itulah yang membina dan mencorakkan kehidupannya sendiri. Dengan setiap tindakan yang dilakukan tergambar kebahagiaan atau kesengsaraan yang sedang dipilih. Muhasabah dan penilaian amal perlu sentiasa dilakukan.

Persoalannya: mampukah untuk kita menjadi hamba yang berjaya di dunia dan akhirat bersama redha dari Allah Taala? Mampukah diri ini memainkan satu peranan penting dalam mengubah diri sendiri dan masyarakat? Mampukah diri ini bekerja dengan sepenuh daya bagi melenyapkan kezaliman yang sedang berlaku untuk digantikan dengan keadilan sinar Islam?

Yakinlah dan berikan jawapan kepada diri kita semua: Ya, kita semua mampu untuk berubah!

Perubahan itu pasti akan berlaku dengan pertolongan Allah Taala dan taufiqNya. Hakikat perubahan itu hanyalah milik manusia yang tunduk dan taat kepada Allah Taala. Mereka yang ingkar terus menerus dengan kerosakan muka bumi Allah secara sedar ataupun tidak.

Syarat Menuju Perubahan

Pertamanya: Mestilah dalam diri wujud kehendak untuk berubah. Kita sendiri mahu melakukan perubahan. Membangunkan diri dan masyarakat dengan petunjuk dan pedoman Ilahi.

Kedua: Mahir tentang jalan-jalan untuk menuju perubahan. Seseorang tidak akan mampu memandu kenderaan melainkan dia mengetahui dan mahir dengan cara pemanduan yang betul.
Ketiga: Taubat dan istighfar. Berazam tidak akan mengulangi kesilapan yang lalu. Bercita-cita untuk menggantikan segala keburukan kepada kebaikan. Mengislah diri serta masyarakat ke arah Al-Quran dan As-Sunnah, bukan lagi mengikut hawa nafsu manusia dengan petunjuk syaitan ke arah kesesatan.

Keempat: Berusaha membina suasana sekeliling yang baik. Menggalakkan aktiviti ketaatan kepada Allah Taala, mengimarahkan rumah Allah serta menghalang segala aktiviti kemaksiatan yang dimurkai oleh Allah.

Insyaallah, dengan izinNya suatu hari perubahan pasti benar-benar berlaku. Alam pasti akan kembali tersenyum melihat keadilan Islam yang bakal menyinarinya. Jom, kita mulakan langkah untuk berubah.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Blog Archive

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy