Tuesday, February 7, 2012

Awas Jalan ‘Hancur’ di Hadapan!

0 comments

DUNGUN – Jalan Haji Zainal Abidin yang merentangi bandar Dungun di sini tidak akan siap kerana kontraktor pembinaannya dilaporkan telah ‘melarikan diri’ akibat wang kos pembinaannya telah habis.

Menurut ADUN Sura, Ustaz wan Hassan Mohd Ramly, Jabatan Kerja Raya (JKR) terpaksa mengambil tugas kontraktor terbabit dan melakukan kerja-kerja pembina secara berdikit-dikit.

Oleh kerana jalan tersebut mengalami kerosakkan yang teruk, beliau menyarankan supaya papan tanda yang diletakkan oleh JKR ‘Awas Jalan Rosak Di Hadapan’ ditukar kepada ‘Awas Jalan Hancur Di Hadapan’.


BACA LAGI....
Read full story

Sunday, February 5, 2012

Wawancara Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bersama Sinar Harian

0 comments

Kenyataan Datuk Hasan menjejaskan juga prestasi parti?
Tuan Guru: Dalam sehari dua, apabila sudah banyak hari akan terserlahlah langkah kita itu betul. Contohnya, isu berkait dengan Himpunan Sejuta Umat. Kita lihat isu ini banyak benda tidak tepat. Contohnya, orang Melayu masuk Kristian sampai ratus-ratus ribu. Pernah dengar kan? Bila polis siasat, maklumat itu tidak betul, orang yang disiasat dibebaskan. Mengapa tiada diambil tindakan? Kerana ada pelindung dia; kita tahu. Pada kita murtad ini bukan sahaja masuk Kristian, tapi termasuklah hina hukum Islam. Boleh jadi murtad dengan kejahilan dia, berlaku begitu rupa. Menghalalkan yang haram, mengharamkan yang halal. Jadi, murtad ini luas. Dan kita nampak isu ini dipolitikkan dan pada PRU 2008 ada yang berhempas-pulas mendapatkan undi Melayu. Rata-rata orang Melayu tak tahu agama kebanyakannya dan mereka sayang pada Islam. Mereka jadikan isu ini untuk tarik undi Melayu, bukan untuk mempertahankan Islam.

Saya pernah bawa usul menangani murtad di Parlimen pada 1998. Mengikut standing order di Parlimen, usul bukan kerajaan hendaklah diletakkan di belakang. Yang kedua, usul seperti ini hendaklah dibawa oleh seorang menteri kerajaan yang boleh disokong, dirujuk kepada standing order. Apabila menteri bawa, ada sokongan. Setelah ada undi barulah saya bawa usul ini, banyak lapis, akhirnya ditinggalkan begitu sahaja usul ini.

Tetapi akhir-akhir ini dibawa isu ini dengan Himpunan Sejuta Umat. Tidak lebih daripada mempolitikkan isu, bukan nak pertahankan akidah dan nak gunakan orang Pas untuk mengerah orang Pas ramai-rami hadir di stadium Shah Alam. Saya tahu ada kalangan yang nak sediakan bas. Apabila kita tahu macam ini, kita kata jangan pergi, Datuk Hasan Ali pergi, kemudian pergi lagi ke Perak dan buat kenyataan. Kenyataan ini tidak tepat dengan apa yang kita nak. Memang kita tidak setuju dengan murtad; lawan murtad, tapi Saidina Ali (Abu Talib, Khalifah Islam keempat) berkata, kata-kata yang betul, tetapi tujuannya kebatilan.

Atau matlamatnya tak betul. Tak ada dalam Islam ini, matlamat menghalalkan cara. Matlamat mesti betul, cara mesti betul. Kalau matlamat betul, cara salah, tidak boleh. Matlamat salah, cara betul, tidak boleh. Dua-dua kena betul. Itu lagi kena faham dan Pas bukan milik siapa, milik organisasi, kumpulan kita.

Pas ini ada Majlis Syura Ulama dilantik dalam Jawatankuasa Pas Pusat empat orang, Dewan Ulama lantik empat orang, Dewan Pemuda dua orang, Dewan Muslimat dua orang kemudian mereka dilantik ini pilih lima orang lagi dalam kalangan ulama yang boleh merujuk dalam bahasa Arab, merujuk kitab-kitab Islam; yang kita ketahui kewibawaan, akademik dan kemampuan.

Kita tahu moral dia konsisten dengan pendirian dan dia boleh buat keputusan, boleh membatalkan keputusan parti, sekiranya bercanggah dengan al-Quran dan hadis, ijmak ulama dan kias. Ini jaminan yang ada dalam Pas. Kalau ada ahli parti yang nak buat sendiri, bertindak sendiri, maka kalau dia bercakap sebagai orang Pas, orang kaitkan dengan Pas, jadi lebih baik dia bebas.


Bangunan Umno Hulu Tereng­ganu disimbah dengan cat hijau?
Tuan Guru: Saya rasa kita orang Pas tidak buat sampai begitu. Kita ajar orang kita tidak boleh melampaui batas. Kalau ada orang Pas bertindak begitu kita disiplinkan dia kerana Islam ajar kita, kita berlawan dalam perang pun tidak boleh melampaui batas, apa lagi perang melalui demokrasi. Itu boleh jadi pihak lain yang buat provokasi, boleh jadi belaka. Dalam politik boleh jadi semua.

Siapa Menteri Besar Terengganu kalau Pas menang dalam PRU13?
Tuan Guru: Itu ditentukan parti. Belum tentu saya bertanding di state (negeri). Kalau bertanding di state pun, belum tentu lagi saya jadi menteri besar. Bahkan di Kelantan, saya bagi contoh; tahun 1959, yang jadi menteri besar Datuk Ishak Bakri. Datuk Asri tidak jadi menteri besar. Lepas tu Ishak jadi Speaker, Datuk Asri jadi menteri besar, dia bukan Pesuruhjaya Pas Kelantan. Lepas tu Datuk Asri tidak jadi menteri besar walaupun dia pesuruhjaya. Tuan Haji Mat Amin Haji Yakob Almarhum.

Di Terengganu juga pernah begitu, masa Daud Saad Almarhum menteri besar, dia pegang pesuruhjaya. Yang dilantik ialah diterima rakyat, diterima pegawai pentadbir negeri. Kerana kita nak memerintah negeri ini ada beberapa orang di kalangan tuanku sultan, pegawai tadbir negeri, wakil rakyat, yang keempatnya rakyat. Ini kita mesti lihat penerimaan semua sekali. Tidak boleh kita nak tentu-tentukan begitu.

Siapa Perdana Menteri (jika PR menang PRU-13?)
Tuan Guru: Pada peringkat ini kita dalam Pas tidak bincang. Di peringkat PR pun tidak bincang. Kita bincang untuk ke Putrajaya dulu. Jadi, macam orang kampung cerita, kambing tak bela lagi, sirih tak tanam lagi. Jadi duk bergaduh nak buat pagar. Yang ni kata nak buat pagar, yang ni kata nak tambat kambing. Apabila tanya mana kambing, tiada kambing lagi. Mana sirih, tidak tanam lagi pun. Apabila sampai masa, insya-Allah kita ada orang layak. Macam saya kata dululah, saya tiada dalam agenda menjadi perdana menteri. Yang penting, kita nak perkasakan Islam. Siapa duduk di atas, saya terima, bahkan saya boleh rehat; balik kampung jadi pembantu sahaja, pergi ke laut, balik jadi nelayan.

Dari segi politik, kepimpinan negara mesti Melayu Islam kerana majoriti adalah orang Melayu. Itu mengikut kaedah politik Islam. Kalau orang Cina masuk Islam, jumlah mereka besar, mereka ada tokoh, mereka layak jadi pemimpin. Kita orang Melayu kena terima, kalau India begitu juga.

Jadi realiti hari ini majoriti orang Melayu adalah Islam. DAP sudah terima Islam sebagai agama Persekutuan. Hak istimewa orang Melayu dia terima, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dia terima. Dalam masa yang sama, agama lain ada hak dia. Bangsa lain yang miskin tidak boleh diabaikan, hak dia untuk mengajar bahasa ibunda tetapi bahasa Melayu jadi bahasa rasmi. Dan kita kena sedar Umno tidak buat benda ini dalam masa 50 tahun lebih. Tidak perkasakan; itu silap dialah. Yang kita silapkan MCA, MIC, silapkan Gerakan; silap Umno sendiri. Dalam Pas sendiri, kita tidak tolak ansur dan DAP menerima kerana kita tegas dalam masalah ini.

Barangkali saudara-saudari ingat masa tahun 2000 DAP keluar daripada Barisan Alternatif, minta Pas batalkan beberapa agenda Pas, kita tegas; kita tidak berganjak dan DAP keluar dan masuk balik. Dengan kita tidak berganjak itu menunjukkan kita tidak menggadaikan prinsip kita. Dan kita tidak zalimi rakan-rakan kita.

Dari segi hudud, adakah DAP terima?
Tuan Guru: Memang dia orang bukan Islam, tidak terima, tetapi untuk melaksanakannya dia tidak boleh halang kita. Dan dalam konteks Islam kita bukan sahaja tidak boleh paksa orang bukan Islam masuk Islam, tetapi juga termasuk dalam melaksanakan undang-undang. Dengan sebab itu, dalam undang-undang hudud, qisas dan takzir di Kelantan dan Terengganu, kita buat satu peruntukan orang bukan Islam boleh diberi pilihan sama ada mereka menerima Islam atau menerima satu cara yang lain. Kepada saya, saya yakin orang bukan Islam akan terima pada akhirnya. Jangan kita tanya perompak, tanya mangsanya. Kalau tanya perompak, perompak tak sukalah kena hukum.

Dalam Islam, kalau bunuh hukumnya bunuh. Mungkin Undang-undang barat pun sama hukum membunuh, tetapi kalau ambil harta, kalau perompak kena potong tangan, potong kaki. Kalau tanya Cina-Cina yang kena rompak tu, dia setuju kalau potong tangan, potong kaki. Kemudian ada teori mengatakan kalau kita laksanakan pada orang Islam, orang Islam jadi kudung, jadi apa, itu tidak betul. Kita kena faham, undang-undang hudud ini undang-undang mendidik, bukan menghukum. Nak hukum payah, mendidik.

Apabila dilaksanakan, orang Melayu, orang Islam jadi moral dia tinggi. Penjenayah tidak banyak. Orang lainlah penjenayah. Ia akan jadi macam itu. Itu hikmat dia kena faham. Dengan itu kita terima kalau DAP tidak setuju, tak apalah. Yang peliknya Umno kata dia tidak setuju.

Barangkali dia anggap itu hudud ala Pas?
Tuan Guru: Kalau hudud Pas kita muzakarahlah. Kita bincang. Hudud ini ayat Quran, bukan Pas boleh buat. Pas tidak boleh reka hukum hudud ini.

Percanggahan berhubung pelaksanaan hudud antara Pas dan DAP, bagaimana dineutralisekan?
Tuan Guru: Kita neutralisekan dengan utamakan perkara yang jadi bersama. Contohnya negara berkebajikan, tolong bela rakyat miskin, tolong rakyat miskin, khidmat pada masyarakat. Rawatan percuma pendidikan percuma. Ada pendidikan swasta, dengan pengawasan dia, ini semua parti bersetuju, kita utamakan yang ini dulu. Nak laksanakan hudud itu, dia makan masa. Ini boleh dibuat. Contohnya nak hapuskan tol, Pas setuju, DAP setuju. Nak bantu kemudahan makanan kepada rakyat, semua setuju. Ini halal, ini haram, bezalah. DAP boleh makan babi, kita tidak boleh makan babi; memang kita tidak setuju dengan babi, tapi kita tidak boleh halang DAP.

Datuk Hasan Ali kata negara berkebajikan bercanggah dengan konsep Islam?
Tuan Guru: Ada kenyataan mengenai perkara itu, dia tarik balik, dia minta maaf. Sebab dalam Islam tidak disebut sembahyang Islam, puasa Islam, nikah Islam. Disebut negara, kemudian negara berkebajikan, negara adil, negara ihsan. Itu istilah-istilah yang disebut dalam Quran, tetapi dia merangkumi sekali aspek ini. Dan saya ada tulis buku, negara berkebajikan, berdasarkan huraian yang saya bentang di muktamar Pas. Dan negara berkebajikan sudah diterima di muktamar. Bila muktamar terima dia tolak, itu sudah melanggar partilah.

Berkenan hudud dilaksanakan tetapi proses tidak sebagaimana yang diharapkan? Adakah manifesto senasib?
Tuan Guru: Yang pertama, hudud pada undang-undang jenayah sudah diwartakan. Tuanku sudah sain. Sudah lulus. Yang kedua kita balik pada Perlembagaan Malaysia. Perlembagaan Malaysia kata Islam adalah agama Persekutuan. Agama ini, ada dua. Mengikut tafsiran Barat, religion. Pentafsiran Islam addin. Bila kita sudah merdeka kita kena tafsir mengikut addin, bukan religion. Addin merangkumi segala aspek, cumanya berlaku di Kelantan bila kita lulus di Kelantan, Tun Mahathir, Perdana Menteri pada masa itu, hantar surat kepada Yang Amat Berhormat Tok Guru Mursyidul Am, Nik Abdul Aziz memberi amaran sekiranya Kelantan melaksanakannya, Kerajaan Pusat akan bertindak. Bagi Terengganu tiada surat itu. Terengganu ada bantahan daripada seorang pimpinan Umno yang bukan pimpinan utama, bawa ke mahkamah, tetapi tarik balik benda itu.

Jadi kita harap, setelah gagalnya undang-undang yang diamalkan hari ini, masalah rompakan, masalah jenayah, ada negeri tidak boleh saya sebut takut malu dia, tiap-tiap hari ada kadar jenayah. Tiap hari, bukan tiap-tiap bulan; sehari ada kes bunuh. Negeri yang jumlah penduduk dia ramai di Malaysia yang gejala sosialnya lebih kerana kemajuan industrinya pesat sampai satu hari satu kes bunuh. Itu polis beritahu saya. Tak payahlah saya dedah negeri mana. Itu bahayanya; itu yang media tidak dedah, yang media dedah pun banyak dah. Walaupun yang buat jenayah itu bukan orang kita, orang luar, pendatang tanpa izin, macam-macam, tetapi kesimpulannya jenayah besar.

Kalau laksanakan undang-undang qisas dan hudud ini saya yakin Tuhan kata ‘Dan bagi kamu hukuman jenayah qisas ini membawa kehidupan’.

Quran mengatakan demikian, maknanya membawa kehidupan, di sini jenayah akan berkurang dan hapusnya kes ini, membawa kehidupan kepada manusia. Yang kita ingat kalau laksana hukuman ini banyak orang kena hukum.

Barangkali oleh kerana pencuri 30,000 - 40,000 di seluruh negara dalam masa setahun. Barangkali banyak tangan kena potong. Kita fikir begitu. Bila diisytihar sahaja undang-undang ini maka habis takut mencuri, berhenti mencuri. Dia akan jadi macam itu. Di Arab Saudi, masa pemerintahan Kiya ul Aziz, dalam masa 20 tahun, tidak sampai 10 orang kena potong tangan. Mereka yang pergi buat umrah, pergi haji lihat sendiri tempat pengurup wang, sebagai contohnya, tutup dengan kain sahaja.

Pergi sembahyang, tutup dengan kain, orang takut nak mencuri, itu dia punya kehebatan. Yang pentingnya, kehebatan undang-undang; undang-undang itu hebat. Yang ada hari ini undang-undang tidak hebat, orang tidak gerun, penguat kuasa pun orang tidak gerun. Bahkan rumah polis pun dia masuk, rumah ketua polis boleh perompak masuk. Itu menandakan tidak hebat.

Dengan sebab itu, saya rasa tidak timbul terhalang. Kita tengok dululah apabila kita menang kali ini. Apa akan berlaku, respons daripada Pusat bagaimana, kita tengok.

Ada tak calon wanita di Terengganu?
Tuan Guru: Kita usaha nak tonjolkan calon wanita kerana calon kita ini mesti daripada akar umbi, daripada cawangan-cawangan dan daripada atas. Kalau daripada atas sahaja, respons cawangan tiada, tidak boleh. Kadang-kadang kita ada tokoh, tapi tokoh tu tempat dia orang tidak kenal kena, bawa tempat lain. Calon lelaki pun begitu. kita nak orang ini, contohnya, Mat Sabu Timbalan Presiden Pas, Muhamad Sabu pada 2008, tetapi boleh kalah, walaupun dia seorang tokoh yang besar. Dulu pernah di sini tahun 1950 - 1960 Parlimen Dungun, wanita, Khadijah Sidek. Di sini, pernah orang Johor, bukan Terengganu. Menang di sini, jadi calon wanita. Ini bukan kali pertama. Dan, kita ada calon wanita, kita kemukakan dan saya sebagai ahli Majlis Syura Ulama, semua nama calon dihantar ke Pusat dan ada dua tiga orang wanita di Terengganu.

(Penceramah bebas) Ustaz Azhar Idrus?
Tuan Guru: Tidak termasuk.

Nampaknya Pas pun laksanakan calon boleh menang?
Tuan Guru: Calon yang boleh menang yang cukup syarat. Dia mengikut kehendak parti kita, ikut syarat dan boleh menang. Kalau boleh menang sahaja, tapi tidak cukup syarat parti kita, kita tidak beri jadi calon.

-Sinar Harian
Read full story

Thursday, February 2, 2012

Kenangan Panduria | Video

0 comments



Read full story

Friday, January 20, 2012

Sambutan Jubli Emas Pemuda PAS Negeri Terengganu (3): Sekitar Majlis Perasmian

0 comments

DUNGUN, 20 Disember: Selepas selesai talkshow bersama ad-Da’eiyatul Islami al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus, program diteruskan lagi dengan Majlis Perasmian oleh al-Fadhil Ustaz Nasrudin Hasan at-Tantawi, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Majlis perasmian tersebut dimulakan dengan bacaan al-Quran oleh Ustaz Yahya bin Ali diikuti ucapan alu-aluan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, YB al-Fadhil Ustaz Mohd Nor Hamzah.

“ Semalam –alhamdulillah-, telah mengadakan ceramah dan mendapat sambutan yang sangat baik. Hari ini –alhamdulillah-, kita masih mendapat sambutan yang agak baik walaupun dalam keadaan cuaca yang sangat menyukarkan untuk kita hadir dan memeriahkan majlis kita pada hari ini. Tetapi saya mengharapkan seluruh kita dapat menjayakan majlis ini sepanjang Sambutan Jubli Emas”, ujar beliau memulakan ucapan.


Beliau meneruskan ucapan dengan mendoakan kepada seluruh pemuda sejak dahulu sehingga sekarang yang telah berusaha memastikan kelansungan perjuangan ini supaya diberi ganjaran yang setimpal oleh Allah Taala. Beliau yang juga Adun Bukit Payung turut mengimbau kembali sejarah tertubuhnya Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu.

“ Insyaallah, kita mengharapkan supaya kita mencapai kemenangan di negeri dan negara ini dengan bantuan daripada Allah Taala. Saya mengucapkan penghargaan besar kepada seluruh pemuda yang bertungkus lumus menjayakan program ataupun Sambutan Jubli Emas kali ini”, jelas beliau menutup ucapannya.

Selepasnya, majlis diteruskan dengan ucapan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, YB Haji Abdul Wahid bin Endut. Beliau melahirkan rasa semangat yang timbul di jiwa apabila melihat semangat anak muda yang berdiri di tengah panas matahari yang terik setelah bertahan dalam hujan ketika mendengar kuliah Ustaz Azhar Idrus sebelum itu.

Beliau turut mengingatkan seluruh yang hadir dengan sejarah Terengganu yang pernah merasai kesejahteraan di bawah pemerintahan yang mengamalkan Syariat Allah Taala. PAS Terengganu baru sahaja selesai mengadakan sambutan 100 tahun Pemerintahan Islam Terengganu di Kuala Berang awal bulan yang lalu.

“ Kita merayakan 100 tahun Itqan al-Muluk, kita mengadakan sambutan 50 tahun Pemuda Pas dan kita mengadakan program-program gerakan rakyat PAS Ganti UMNO; tujuannya kita ingin membina kekuatan dan membina semangat rakyat untuk menghadapi pilihanraya yang ke 13 akan datang. Janji Allah Islam akan menang, itu keyakinan kita”, tegas beliau mewakili Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu.

Al-Fadhil Ustaz Kamaruzzaman Mengarahkan Pemuda Berkumpul Di Hadapan Pentas

Acara berada di kemuncak apabila al-Fadhil Ketua Pemuda bangkit memberi ucapan.

“ Nabi mengharapkan lahir generasi, lahir sekelompok/segolongan manusia yang beriman kepada Allah biarpun generasi terdahulu mengingkari Allah Taala. Saudara-saudara yang dihormati Allah sekalian, moga kita termasuk dalam kalangan pemuda-pemuda yang mengabdikan diri kepada Allah, dari kalangan pemuda-pemuda yang siap dan bersedia untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab menimarahkan bumi Allah Taala dengan syariat yang telah diutuskan Allah kepada Nabi Muhammad Sollallahu’alaihiwasallam’, tegas beliau.


Dalam kesempatan tersebut, beliau mengingatkan pemuda supaya menghargai jasa kepimpinan yang sejak dahulu bersusah payah berjuang menegakkan agama Allah Taala. Beliau mendoakan supaya semua yang hadir mampu istiqamah dalam perjuangan sehingga akhir hayat. Beliau turut mengimbau kenangan mengayuh basikal ketika berusia 13 @ 14 tahun dari Kampung Batu 13 ke Rusila untuk mendengar pemidato yang hebat ketika itu, al-Fadhil Ustaz Harun Jusoh yang juga merupakan bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu.

Selain itu, beliau menceritakan pertemuan dengan beberapa orang artis supaya pemuda mengatur pertemuan artis dengan Al-Fadhil Tuan Guru.


“ Jadi, insyaallah, sempena himpunan anak muda hari ini, sempena sambutan Jubli Emas Pemuda PAS Negeri Terengganu, saya berharap antumlah menjadi manusia yang mengajak manusia kepada Allah. Boleh atau tidak? Kalau boleh, saya rasmikan Sambutan Jubli Emas Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu ini dengan melaungkan tiga kali lafaz takbir”.

Majlis perasmian disemarakkan lagi dengan gimik perasmian diikuti dengan penyampaian cenderahati kepada bekas ketua-ketua pemuda PAS yang lalu sebelum majlis berakhir.

Selesai majlis, para hadirin menikmati jamuan rakyat yang disediakan oleh penganjur.
Read full story

Sambutan Jubli Emas Pemuda PAS Negeri Terengganu (2): Sekitar Talkshow Pendakwah Sejuta Ummah, Ustaz Azhar Idrus

0 comments




DUNGUN, 20 Disember: Cuaca pagi hari ini sedikit menguji keikhlasan seluruh ahli PAS untuk menghadiri majlis Sambutan Jubli Emas Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT). Hujan yang turun kira-kira jam 9 pagi semakin lebat.

Namun begitu, hujan tersebut sedikitpun tidak menghalang para hadirin untuk khusyuk mendengar ucapan yang disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus. Majlis tersebut dimoderatorkan oleh Ketua Lajnah Tarbiyah DPPNT, al-Fadhil Ustaz Kamaruzzaman Abdullah.



Walaupun hujan masih tidak berhenti, semakin ramai yang hadir berkumpul di hadapan majlis. Kesungguhan hadirin ini menjadikan majlis semakin rancak dengan selingan nasihat-nasihat penuh hikmah daripada al-Fadhil Ustaz Azhar yang ditujukan kepada pemuda khususnya dan seluruh yang hadir umumnya.

Dalam kesempatan tersebut, beliau sempat menjawab beberapa soalan yang diajukan oleh moderator program dengan jawapan-jawapan yang bersifat realiti semasa menyebabkan seluruh yang hadir mampu menerimanya dengan baik.

Majlis talkshow tersebut diakhiri dengan nasihat dan taujihat yang disampaikan kepada seluruh yang hadir supaya istiqamah memastikan seluruh umat Islam kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.

Read full story

Sambutan Jubli Emas Pemuda PAS Negeri Terengganu (1): Sekitar Ceramah Umum Timbalan Presiden PAS

0 comments

DUNGUN, 19 Disember: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) telah Berjaya menganjurkan Sambutan Jubli Emas, 50 tahun Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu.

Sambutan bermula dengan ceramah umum yang disampaikan oleh 3 penceramah iaitu al-Fadhil YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, Ketua DPPNT; al-Fadhil Us Saiful Bahri Mamat, Timbalan Pesuruhjaya BPPNT dan al-Fadhil Tuan Haji Mohamad bin Sabu Timbalan Presiden PAS. Majlis dipengerusikan oleh pengarah sambutan, al-Fadhil Us Sheikh Hanafi Abdul Aziz.

Ceramah dimulakan dengan ucapan al-Fadhil Ketua Pemuda DPPNT. Beliau mengimbau kenangan sejarah penubuhan DPPNT. Istimewanya, DPPNT ditubuhkan secara rasminya pada 20 Januari 1961, hari Jumaat dan akan disempurnakan perasmiannya pada 20 Januari 2012 juga jatuh pada hari Jumaat.

Majlis dihangatkan lagi dengan ucapan al-Fadhil Ustaz Saiful Bahri Mamat. Beliau menyentuh isu-isu yang berlaku dalam negeri Terengganu melibatkan kezaliman dan penindasan kerajaan UMNo terhadap rakyat. Dalam masa yang sama, beliau menerangkan 10 janji dan manifesto PAS yang telah diumumkan sekiranya rakyat memberi mandat kepada PAS untuk mentadbir kerajaan Terengganu.

Dalam kesempatan itu juga, beliau menceritakan kes terbaru melibatkan rampasan tanah Sekolah Rendah Islam Darul Bayan, Paka. Tanah yang menjadi milik SRIDB itu dibahagikan kepada lima lot atas nama beberapa orang ahli jawatankuasa JKKK sekitar kampung tersebut.

Ceramah menjadi semakin menarik dengan ucapan kemuncak yang disampaikan oleh Tuan Haji Mohamad bin Sabu. Beliau banyak menyentuh isu-isu nasional. Beliau membandingkan kejayaan negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat yang jauh lebih baik daripada negeri-negeri di bawah Barisan Nasional.

Beliau meminta seluruh rakyat untuk menjadikan orang tengah sebagai kayu ukur kebenaran. Majlis audit negara yang berada di bawah Yang diPertuan Agong telah mendedahkan dengan jelas cara UMNO yang banyak menipu ketika menguruskan harta negara. Ini adalah bukti jelas penipuan UMNO kepada rakyat yang tidak disebut langsung oleh media massa yang berada di bawah kawalan mereka.
Read full story

Wednesday, January 18, 2012

Panduan Kerja Sukarela Pahlawan Cyber

0 comments

"Ramai pengguna internet yang membuka akaun facebook, buat laman web, blogspot, wordpress berorientasikan politik. Mereka menulis apa yang mereka mahu tulis. Ada yang memang penulis professional tetapi tidak ramai.

Kebanyakannya adalah amatur. Tetapi peranan mereka besar. Semangat mahu jatuhkan Umno BN pun berkobar-kobar tetapi apa yang berlaku ialah kebanyakannya biasa mengikut arus dalam membawa isu. Mereka bersifat reaktif dalam mengutarakan isu, jadi responsif terhadap isu yang dimainkan media arus perdana(a.k.a. media umno BN). Justeru, perlu suatu garis panduan untuk kita bergerak ke arah memenangkan Pakatan Rakyat pada PRU 13 nanti insyAllah!!!.

Di bawah ini sedikit panduan yang terlintas secara lalu di minda saya untuk dikongsi bersama. Saudara saudari boleh beri cadangan untuk menambah apa yang perlu untuk kebaikan bersama.

1.MENERANG: Sebarkan segala bahan penerangan Pakatan Rakyat kepada pengguna internet terutamanya dari sumber yang rasmi. Antara bahan penerangan yang wajib disebarkan ialah seperti berikut:

1.1. Dasar Parti-parti Pakatan Rakyat dan Dasar bersama Pakatan Rakyat.
1.2.Aktiviti dan Program Parti-parti Pakatan Rakyat di semua peringkat
1.3.Penerangan isu-isu tempatan dan nasional. Ini perlu bagi menjawab tuduhan-tuduhan UMNO BN terhadap parti dan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat.

2.MENYERANG: Serang UMNO BN dengan pelbagai cara dan sudut.Antara elemen yang perlu diserang:

2.1.Pembongkaran isu-isu rasuah, penyelewengan dan kezaliman di semua peringkat.
2.2.Pendedahan dasar-dasar kerajaan yang menzalimi dan tidak menguntungkan rakyat.
2.3.'Highlight'kan PEMBOHONGAN2 pemimpin UMNOBN secara berterusan.

3.PERKARA YG WAJIB DIELAKKAN:

3.1.Memberi fokus kepada perbezaan ideologi antara parti-parti Pakatan Rakyat
3.2.Memperbesarkan isu-isu masalah dalaman parti-parti Pakatan Rakyat.
3.3.Menghentam dan memperkecil pimpinan pati-parti Pakatan Rakyat.

4.CARA ATASI 'DIVERSION OF ISSUES' OLEH BLOGGER/UNIT MEDIA BARU UMNO:

4.1.Jangan layan atau jawab isu yang dibangkitkan. Ini kerana masing-masing parti dalam Pakatan Rakyat ada Bahagian Penerangannya. Kita boleh guna jawapan 'standard' yang akan dikeluarkan parti untuk elakkan percanggahan.
4.2.Padamkan dari 'wall' atau 'chatbox' anda.
4.3.Kembali kepada isu-isu asal seperti NFC dan sebagainya.



JABATAN MEDIA BARU
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI TERENGGANU


SEKIAN. TERIMA KASIH.
SELAMAT BERJUANG!!!
WALLAHU A'LAM.

Sebarkan!!!
"

Read full story

Monday, January 16, 2012

Dungun, Tuanrumah Jubli Emas DPPNT 19, 20 & 21 Januari

0 comments
KUALA TERENGGANU, 16 Jan : Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu akan mengadakan Sambutan Jubli Emas pada 19, 20 dan 21 Januari ini bertempat di Batu 5, Alor Tempoyak, Dungun.

Setiausahanya, Muhammad Zaidan Abdullah berkata, pelbagai program telah disusun bagi memastikan sambutan 50 tahun itu meriah dan bermakna.

Katanya, majlis itu akan dirasmikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasruddin Hassan Tantawi.

“Sambutan ini dijangka akan dihadiri kira-kira 30 ribu pengunjung sepanjang program ini berlangsung.

“Sepanjang 50 tahun penubuhannya, DPPNT telah dipimpin oleh 16 orang Ketua Pemuda, antara mereka termasuklah Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dan Mohd Abdul Wahid Endut, Pesuruhjaya PAS negeri sekarang,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Katanya, pada malam 19 Januari diadakan ceramah yang melibatkan Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Saifudin Nasution Ismail (Setiausaha Agung PKR), Ustaz Saiful Bahari Mamat (Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu) dan  Ustaz Mohd Nor Hamzah (Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri).

Pada 20 Januari pula, katanya majlis dimulakan dengan Kuliah Dhuha akan disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus, diikuti perbarisan Unit Amal dan Waja, ucapan oleh Mohd Nor Hamzah, Mohd Abdul Wahid Endut, perasmian oleh Nasruddin Hasan Tantawi serta penyampaian “Anugerah Khas Jubli Emas”.

Selain itu, ujarnya Karnival OMGK – “Orang Mude Geng Kite” diadakan bermula jam 2.30 hingga 6.30 petang, diikuti slot Bersama Imam Muda, Fakhrurazi Husein.

Konsert Hiburan Alternatif pula diadakan bermulan jam 9.00 malam yang melibatkan Bob Lokman, Iwan Syahman dan Kumpulan Ar Rasy.

Pada 21 Januari, Larian Jubli Emas DPPNT bermula jam 8.00 pagi dan majlis berakhir kira-kira jam 12.00 tengah hari dengan amanat Presiden PAS.

Katanya, acara lain yang turut diadakan ialah Konvoi Motor – ARC, Konvoi Basikal dan Pelancaran Alternative Cycling Club (ACC), Pameran dan Aktiviti (Karnival Orang Mude Geng Kite), Jamuan Rakyat, Pameran 50 tahun penubuhan DPPNT, Kaunter Khidmat Nasihat Guaman dan Undang-Undang, Rawatan Islam Darul Syifa’ dan Derma Darah.

Read full story
Related Posts with Thumbnails
 

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy