Friday, August 26, 2011

Salam Aidilfitri & Selamat Pulang Perantau dari AJK Pemuda Dun Sura



oleh : KETUA PEMUDA PAS DUN SURA

Assalamualaikum wbrkth,
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar ,Allahu Akbar.Walillahil Hamd.

Segala puji dan syukur kepada Allah, yang masih mengurniakan kita kesempatan untuk terus bernafas pada hari ini, memberikan kita peluang untuk meraikan Aidulfitri buat kesekian kalinya, sekaligus mengharungi madrasah Ramadan yang akan meninggalkan kita.

Tasbih, tahmid dan istighfar kita ucapkan bagi menyucikan segala dosa, noda dan kekurangan diri kita yang tidak pernah lekang dari kecuaian serta kelalaian.

Selawat dan salam kita lafazkan khusus untuk junjungan besar Rasulullah S.A.W pembawa rahmat serta petunjuk kepada mereka yang rindukan hidayah, inginkan kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Begitu juga kita ucapkan kepada keluarga baginda dan kepada para sahabat baginda keseluruhannya serta mereka yang mengikuti susur jalur perjuangan baginda yang penuh bersejarah tanpa penat dan lelah sehingga tibanya Hari Kebangkitan.

Sahabat-sahabat rakan seperjuangan sekalian,
Selamat menyambut Aidulfitri. Insya Allah, Aidulfitri ini kita raikan dengan seribu rasa syukur, diiringi dengan takbir kemenangan setelah kita berjaya menamatkan siri madrasah Ramadan yang mendidik dan melentur jiwa kita ke arah menjadi insan bertakwa kepada Allah.

Selamat pulang perantau.Kepulangan kalian kami alu-alukan dengan rasa berbesar hati, semoga kepulangan ini membawa seribu erti dan makna yang mendalam buat kita semua.Mudah-mudahan ikatan persaudaraan di kalangan kita bertambah erat kukuh dengan tautan ukhuwwah islamiyyah.

Rakan- rakan seagama yang dikasihi kerana Allah.
Dalam detik masa yang penuh berharga dan barakah ini marilah kita sama-sama merenung sejenak hari-hari yang telah berlalu dalam bulan mulia yang telah kita lalui bersama-sama dengan satu billion umat Islam yang lain.

Maka bersyukurlah ! Sekiranya kita berjaya mendidik jiwa kita ke arah yang lebih baik dari sebelumnya. Sudah pastinya, latihan tadarrus al-Quran, tarawih berjamaah, majlis ilmu dan qiam di tengah malam menjadi kenangan manis bulan ramadhan yang tidak akan dapat dilupakan oleh kita semua.

Berishtighfarlah! Jikalau ruang masa di bulan Ramadhan ini hanya diulit tidur panjang yang lena, bicara yang tidak bermakna atau sekadar mengisi perut yang lapar di waktu berbuka. Apatah lagi membuat dosa. Kami memohon ampun dariMu ya Allah.

Jadikanlah tarbiyah Ramadhan sebagai pemangkin untuk kita mendapat kekuatan dan semangat seperti salafussoleh dalam kehidupan. Raikanlah hari raya ini seperti mana meraikan kemenangan dalam peperangan menetang kekufuran yang baharu saja selesai.

Rakan-rakan seakidah sekalian,
Cukuplah sekadar ini sebagai renungan kepada kita yang bukannya untuk dimenungkan tapi untuk diamalkan.Sama-sama kita doakan semoga Ramadan yang telah kita lalui benar-benar diterima oleh Allah S.W.T sebagai bekalan kita di Hari Perhitungan kelak.

Sambutlah Hari Raya pada kali ini dengan penuh rasa keinsafan dan syukur yang tidak terhingga kepada Tuhan. Sesungguhnya nikmat Allah yang dianugerahkan tidak bertepian. Gunakanlah hari raya ini untuk kita mengukuhkan lagi ukhuwwah dan persaudaraan antara kita semua dan berusahalah untuk kita menjadi Ummatan Wahidah Fil Fikr Wal Amal.

Salam Aidulfitri,
Salam Perjuangan,

Wallahu A'lam,

Assalamualaikum w.b.r.k.t.h.



USTAZ HAJI MOHAMAD HANAFIAH HITAM
KETUA PEMUDA DUN SURA

27 Ogos 2011

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Blog Archive

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy