Saturday, December 15, 2012

YAB Mursyidul Am Sempurnakan Perasmian PGU 6.0


TGNA berdoa untuk kemenangan perjuangan Islam seluruh dunia

DUNGUN, 15 Disember 2012: Ahli PAS perlu meyakini bahawa setiap gerak kerja yang dilakukan untuk memastikan Islam berdaulat di Malaysia akan diberikan ganjaran pahala oleh Allah Taala. YAB Dato Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan perkara tersebut dalam ucapan Perasmian PGU 6.0 dan Himpunan Kebangkitan Rakyat Peringkat Negeri Terengganu di sini tengahhari tadi.

Keuzuran yang dihadapi tidak menghalang beliau untuk menyampaikan taujihat dengan penuh bersemangat kepada seluruh hadirin. Dalam mukaddimah, beliau membaca sepotong ayat daripada Surah At-Taubah sebagai satu motivasi kepada seluruh penyokong dan pendokong perjuangan yang dibawa oleh Parti Islam Semalaysia (PAS)

Maksudnya: " Yang demikian kerana sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga, dan merasai penat lelah, dan juga merasai lapar (dalam perjuangan) pada jalan Allah; dan (tiap-tiap kali) mereka menjejak sesuatu tempat yang menimbulkan kemarahan orang-orang kafir; dan juga (tiap-tiap kali) mereka menderita sesuatu yang mencederakan dari pihak musuh - melainkan semuanya itu ditulis bagi mereka: (pahala) amal yang soleh. Sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya" [ At-Taubah: 120]

Dalam ucapan tersebut, beliau memperingatkan bahawa perjuangan yang dibawa oleh PAS adalah atas asas Islam. PAS berbeza dengan UMNO yang berjuang atas dasar bangsa yang sempit. Pergantungan PAS adalah kepada Allah.

Cinta & Kasih Kerana Allah

Kesempatan tersebut digunakan oleh YAB Mursyidul Am untuk menerangkan  kepentingan akhlak terutamanya bagi umat Islam. UMNO menjauhkan masyarakat seluruhnya daripada akhlak yang baik. Maka, PAS berjuang untuk menghapuskan kemungkaran melalui kuasa pemerintahan. Segala yang disebut oleh khatib di atas mimbar hanya boleh dilaksanakan oleh pemimpin yang mempunyai kuasa politik dan pemerintahan.

" Ertinya apa yang UMNO kata politik lain, agama lain itu mengarut. Sesat, Ayah Pin belake (semua) ni", tegas beliau.

Selain itu, beliau turut membongkarkan pembohongan UMNO yang mendakwa kononnya berjuang untuk menjaga Melayu. Segala pengkhianatan yang dilakukan kepada rakyat Kelantan adalah bukti bahawa UMNOlah yang mengkhianati Melayu dan Islam.


Para Hadirin & Pimpinan Khusyuk Mendengar Amanat Mursyidul Am

" Para hadirin semua, Pesuruhjaya PAS disebut dalam keadaan uzur. Saya Pesuruhjaya PAS Kelantan. Keluar hospital seminggu, boleh mari sini. Saya mari sini bukan apo dok, ada telefon daripada orang PAS kita daripada Terengganu kepada setiausaha saya. Dia kata ada orang UMNO sebut dalam dewan Nik Aziz sakit berat. Saya kata, kita kena pergi la"

" Saya hari ni, tanya doktor dua tiga kali boleh dok pergi. Ada hok buwi (beri), ada hok senyap; dok berape nok buwi. Akhirnya saya berhenti setakat tu je la. Doktor marah. Tak uzur guano gak; siang hari (di) pejabat, malam ceramah. Kes UMNO. " ujar beliau di hujung ucapan disambut dengan ketawa oleh para hadirin.


Sebelum itu, Us Saiful Bahri Mamat, Timbalan Pesuruhjaya BPPNT menyampaikan ucapan mewakili Pesuruhjaya. Beliau memperingatkan supaya seluruh ahli berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi pilihanraya. Tugas masyarakat hanyalah menggunakan tangan kurniaan Allah untuk memangkah Pakatan Rakyat dalam pilihanraya akan datang.

Beliau turut menyampaikan penghargaan khusus buat Mursyidul Am yang sudah acap kali datang merasmikan program PGU di Negeri Terengganu.

" Kita sepatutnya orang muda kena rasa malu melihat faktor umur beliau lebih daripada 80 tahun masih lagi istiqamah ke hulu, ke hilir untuk menyampaikan mesej perjuangan ini.

Berapa kali kita mintak perasmian program PGU ni, acap kali. Beliau masih lagi istiqamah. Pernah jugak beliau tanya: " berapa kali PGU benar Tranung ni?.. tapi mari jugak nok tengoknya Tranung ni menang, insyaallah. Dan insyaallah kita mintak sekali lagi tok guru, PGU 7.0 terakhir di Kuala Nerus pada bulan Febuari, insyaallah. Pahtu takdok PGU benar doh, kita mene la pulok, insyaallah", seloroh beliau di penghujung ucapan disambut laungan takbir oleh para hadirin.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Blog Archive

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy