Thursday, December 11, 2008

Islam Sebagai Ad-Din


KEMBALI KEPADA ISLAM YANG SYUMUL

Sesungguhnya nikmat yang dikurniakan oleh Allah Taala kepada hambaNya sangat banyak. Akan tetapi, tidak didapati satu nikmat yang diberi oleh Allah Tala kepada hambaNya dan tidak ada suatu anugerah yang paling agung yang dikurniakanNya sebagai tanda sayang dan cinta kepada hamba pilihanNya, seumpama nikmat yang disebut dalam firmanNya;

“ Dan hari ini Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku sempurnakan bagi kamu nikmatKu, dan Aku meredhai bagi kamu Islam sebagai cara hidup..”

Sekiranya kita perhatikan uslub yang digunakan dalam ayat ini, nescaya kita akan mendapati dari ayat ini satu keajaiban. Keajaiban dari tanda-tanda mahabbah Allah kepada hamba-hambaNya ketika mana Dia berfirman kepada mereka; Sesungguhnya Aku mencintaiMu dan bagi kamu pakaian ini, Aku meredhai bagi kamu manhaj dan gaya hidup ini. Tidak aku dapati apa yang lebih baik dari itu untuk kemaslahatan hidupmu, maka Aku suka untuk mengurniakannya kepada kamu. Aku telah memilih antara setiap jalan-jalan, manhaj-manhaj, wasilah-wasilah; tidak Aku dapati satu jalan pun yang akan membahagiakan kamu melainkan jalan ini; JALAN ISLAM. Kemudian Allah berfirman; “ Dan aku menyempurnakan bagimu nikmatKu”. Bermakna, setiap nikmat yang dikurniakan oleh Allah itu masih belum lengkap sepenuhnya samada nikmat harta, kesihatan, ilmu, dan lain-lainnya; semua itu masih belum sempurna melainkan ianya disempurnakan dengan satu nikmat agung. Maka Allah mendatangkan bagi kamu nikmat Islam, lalu sempurnalah bagi kamu segala nikmat kurniaanNya.


Semoga kita semua bersyukur serta memahami bahawa sesungguhnya keredhaan Allah dengan agama ini bukanlah untuk faedah dan keuntungan yang akan diperoleh bagi ZatNya yang Mulia. Maha suci Allah dari kefahaman seumpama ini. Segala nikmat yang dikurniakan olehNya adalah semata-mata untuk kebaikan dan kebahagiaan hambaNya dunia mahupun akhirat. Sebagaimana ketaatan hambaNya tidak akan memberi manfaat untuk ZatNya yang Maha Agung, begitulah kemaksiatan tidak sekali-kali akan menjejaskan kemuliaan dan ketinggianNya.

Hari ini, sebagaimana yang kita semua ketahui, masyarakat berada dalam mimpi-mimpi yang tampak indah pada zahirnya, palsu pada hakikat sebenarnya. Berangan-angan untuk mengejar kemajuan tanpa ada panduan yang menunjuk jalan. Masing-masing pening untuk menyelesaikan masalah yang melanda diri. Adakah mereka tidak pernah terfikir untuk menggunakan Islam sebagai wasilah terbaik untuk menyelesaikan segala masalah ini? Adakah mereka tidak meyakini bahawa sesungguhnya segala krisis-krisis yang melanda alam ini samada krisis ekonomi, masyarakat, keilmuan, kemajuan hanya mampu diubati dengan satu penawar iaitu penawar Islam?

Sungguh janggal dan pelik wahai saudara-saudaraku sekalian Muslimin, umat Islam yang membaca Kalamullah ini, menyaksikan tanda mahabbah Allah Taala dengan nikmat yang agung ini; tiba-tiba berpaling dari cahaya Islam serta tidak menjadikannya sebagai panduan utama yang memandu kehidupan. Sungguh ajaib kelakuan manusia. Mengetahui adanya penawar mujarab bagi menyelesaikan penyakit tetapi masih sibuk bersidang dan berbincang pelbagai teori untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan menjadikan hawa nafsu dan syaitan sebagai penasihat nombor satu mereka. Yakinlah, urusan kita semua samada ekonomi, politik, kemasyarakatan, kemajuan, keilmuan hanya mampu diuruskan oleh Islam.

Ayuh wahai sekalian umat Islam, sahutlah seruan dari Allah Taala. Jadikan Islam sebagai cara hidup anda.

“ Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang amat nyata”

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Blog Archive

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy