Pemuda Dun Sura
Kedatangan bulan Ramadan yang penuh berkat ini pastinya menjadi medan umat Islam berlumba-lumba melakukan ibadat bagi mencapai berbagai fadhilat sepertimana yang dijanjikan Allah s.w.t kepada hambaNya yang benar-benar ikhlas.
Ramadan pada kali ini bukanlah menjadi satu langkah baru buat pemuda dun Sura untuk menggerakkan kerja kebajikan ataupun tanggungjawab sosial buat masyarakat setempat tetapi ianya lebih kepada meneruskan kelangsungan sepertimana program yang sama yang telah dijayakan sebagai satu tradisi seperti tahun-tahun sebelum ini.
Bagi warga dun Sura yang agak daif,fakir,miskin,yang kurang bernasib baik termasuk anak-anak yatim daripada seluruh ceruk kampung tanpa mengira fahaman politik,Program Pemuda Bersamamu pastinya bukanlah satu perkara asing buat mereka malah yakin ianya pasti akan muncul setiap kali bulan Ramadan tiba.
Program Pemuda Bersamamu musim ke 5 merupakan program buat kali ke lima di mana pada tahun ini mensasarkan lebih sembilan puluh keluarga di dun Sura yang layak sebagai penerima bantuan termasuk juga agihan kepada guru Pasti.
Program tahunan ini dirancang awal dan mendapat komitmen yang tinggi daripada seluruh ahli jawatankuasa program yang terdiri daripada tenaga JPC di setiap cawangan dalam dun Sura dengan dipandu oleh Mohd Yani Nursal selaku pengarah program.
Kerja-kerja mengumpul dana tabung Pemuda Bersamamu musim ke 5 telah giat dijalankan bermula daripada awal Ramadan lagi.Pengagihan sumbangan akan dibuat secara langsung terus ke rumah penerima yang telah dijadualkan bermula pada 11 dan 12 September 2009,iaitu pada Jumaat dan Sabtu ini.
Kali ini surau angkat Pemuda Dun Sura, Surau Tuan Guru Hj Abdul Jalil, Jalan Lembah telah dipilih sebagai pusat operasi program ini.
“Justeru,segala pengorbanan masa,tenaga dan wang ringgit terutama daripada AJK Program serta seluruh pemuda dun Sura amat diperlukan bagi menjayakan program kebajikan kepada masyarakat ini dengan mengambil semangat kelebihan Ramadan dan budaya beramal kerana Allah”,harapan daripada pengarah program,Mohd Yani Nursal dan juga ketua pemuda dun Sura,Ust.Sheikh Hanafi Abd.Aziz.
Harapan untuk melihat kejayaan program ini dan manfaat yang akan dirasai oleh golongan yang kurang bernasib baik amatlah tinggi sekurang-kurangnya mereka turut merasa kemeriahan Hari Raya yang bakal disambut nanti dengan menerima sedikit sumbangan yang tidak seberapa daripada golongan yang lebih bernasib baik seadanya dan kami pemuda dun Sura sekadar menjadi penggerak sukarela semampunya seiring dengan moto ”Prihatin kami tidak bertepi,Membantu sekadar termampu”.
0 comments:
Post a Comment