Thursday, March 10, 2011

Anak muda berpotensi runtuh kerajaan




KUALA LUMPUR, 10 Mac: Kerajaan BN diingatkan agar tidak memperlekehkan suara dan pemikiran generasi muda kerana mereka mempunyai potensi untuk mempertahankan atau meruntuhkan sesebuah kerajaan.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata, potensi generasi muda khususnya mahasiswa harus dibimbing sebaik mungkin, bukan mencipta undang-undang yang menjatuhkan martabat mereka sebagai mahasiswa.

"Bila berhadapan dengan orang muda jangan diperlekeh keupayaan mereka. Jangan membuat satu undang-undang yang pada zahirnya tidak menampakkan kezaliman terhadap mereka tapi dalam waktu yang sama kita menyaksikan bagaimana undang-undang itu memperbodohkan mereka dan mengheret pemikiran mereka ke zaman batu," kata beliau sewaktu membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Merujuk kepada pilihan raya kampus yang berlangsung bulan lalu, Salahuddin kesal dengan pihak pentadibiran universiti yang berat sebelah dan mengenakan undang-undang yang menyusahkan mahasiswa.

"Cara pihak universiti melayani mahasiswa dalam pilihanraya kampus baru-baru ini amat menjijikkan dan kembali ke zaman kuno.

"Pihak universiti ugut mereka, susahkan mereka untuk mengisi borang pencalonan kemudian ada kejadian calon mahasiswa diugut dengan sms berunsur jenayah.

"Kenapa berlaku demikian sedangkan potensi mereka untuk menjadi pemimpin harus dididik dengan betul," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Tambahnya, sekiranya kerajaan mengakui Malaysia sebuah negara demokrasi, maka ianya harus disuburkan sejak zaman kampus lagi.

"Ada orang cakap Malaysia tidak mungkin jadi macam Mesir, tetapi jangan bunuh demokrasi orang muda hari ini.

"Jika kita mengakui negara kita mempunyai demokrasi maka suburkan demokrasi itu. Jangan buat demokrasi di kampus sebagai suatu tempat kita menahan ledakan dan potensi anak muda.

"Orang muda boleh mengubah sejarah, boleh meruntuhkan empayar dan boleh menggunakan ruang siber yang ada untuk mereka mencapai tujuan mereka," katanya.

Beliau turut mempersoal tindakan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan pihak pentadbiran universiti melarang mahasiswa membuat tinjauan di pilihan raya sedangkan universiti mempunyai fakulti sains politik.

"Kalau ada fakulti sains politik di universiti kenapa tidak izinkan mereka turun ke pilihan raya. Kita sekat mereka, gantung mereka daripada pengajian, gantung biasiswa, ini cara apa?" soalnya.

Tegasnya, mahasiswa harus diberi peluang mengkaji sesuatu fakta tanpa kongkongan mana-mana pihak.

"Sebagai contoh hari ini kalau kita nyatakan dengan fakta bahawa Felda Plantation itu adalah satu yang kita anggap bertentangan dengan matlamat asal DEB iaitu untuk membasmi kemisikinan dan menyusun kembali masyarakat, kenapa tidak harus universiti dengan fakulti sains politik menghantar pelajar mereka untuk menyiasat, melihat dan mengkaji kebenaran fakta ini.

"Ini cara kita menyuburkan pandangan dalam iklim politik yang sihat kalau kita ingin jauhi politik fitnah," katanya.(hrkhdaily) 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Blog Archive

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy