Ikatan Ukhuwwah Antara 2 Ulama' Tanahair.
Daripada Abu Hurairah RadiaAllahu’anhu, dari Nabi Sollallahu’alaihiwasallam;
“ Sesungguhnya seorang lelaki telah menziarahi saudaranya di kampung lain. Maka Allah Taala menghantar malaikat untuk mengintip perjalanannya. Apabila lelaki itu melalui jalan yang ditunggui oleh malaikat itu, malaikat itu bertanya; Ke mana kamu ingin pergi? Dia berkata: Aku ingin pergi bertemu saudaraku di kampung ini. Malaikat bertanya; Adakah bagi kamu ada apa-apa tujuan daripada nikmat yang akan kamu perolehi darinya? Lelaki itu menjawab: Tidak, melainkan kerana aku menyayanginya kerana Allah Taala.
Lalu malaikat itu berkata: "Sesungguhnya aku merupakan utusan Allah kepadamu untuk menyampaikan bahawa Allah Taala menyayangimu sebagaimana kamu menyayangi saudaramu keranaNya”
(Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Birr,Bab Pada Menyatakan Kelebihan Cinta Kerana Allah)
Pengajaran daripada Hadis;
Sesungguhnya kekuatan ukhuwwah kerana Allah lebih kuat dan kukuh berbanding ukhuwwah kerana nasab keturunan. Ukhuwwah kerana nasab keturunan boleh terputus kerana perbezaan agama, berbeza dengan ukhuwwah atas dasar keimanan yang tetap bersambung walaupun tidak mempunyai hubungan dari segi nasab dan keturunan.
Al-Quran telah mengukuhkan pernyataan mengenai ukhuwwah ini melalui firmanNya; { Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara} [al-Hujuraat:10]. Bermakna: bukanlah orang-orang yang beriman itu melainkan mereka itu adalah saudara yang dieratkan dengan hubungan keimanan. Maka, tidak sepatutnya dalam diri mereka ada perasaan permusuhan, dengki dan rasa tidak puas hati.
Nabi Sollallahu’alaihiwasallam menyeru kita semua dalam banyak hadis supaya menjaga hubungan dan ukhuwwah sesame mu’min. Antaranya Sabda Baginda Sollallahu’alaihiwasallam;
“ Jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara” [Hadis riwayat Imam Bukhari, Bab Nikah]
“ Perumpamaan orang yang beriman pada kecintaan, kasih sayang dan hubungan mereka seumpama jasad yang satu. Apabila satu anggota mengadu sakit, seluruh jasad akan terasa lemah dan sakitnya” [ Hadis riwayat Imam Bukhari, Kitab Adab]
Kisah dalam hadis di atas memberi pengajaran kepada kita bahawa ukhuwwah yang dibina kerana Allah lebih kukuh dibandingkan dengan ukhuwwah nasab. Lelaki soleh dalam cerita tersebut telah menempuh satu perjalanan yang sangat sukar, bersusah-payah, mengorbankan masanya semata-mata untuk menziarahi saudaranya bukan kerana hubungan nasab atau susuan, bukan juga untuk tujuan keduniaan, bukan untuk maslahat antara mereka; akan tetapi yang mengerakkannya untuk menziarahi saudaranya hanyalah semata-mata kerana ikatan iman kerana Allah Taala.
Ikatan keimanan tidak menyamai ikatan-ikatan yang dibina atas tujuan-tujuan lain sekalipun hubungan itu merupakan hubungan antara ayah dan anak, suami dan isteri, dan dua adik beradik yang tidak dibina atas asas agama. Hubungan itu dikira lemah apabila tidak dihubungkan dengan ikatan iman kerana Allah.
Muslim yang memahami hakikat ini akan berusaha untuk mendirikan kewajipan menjaga ukhuwwah ini; antaranya ialah menziarahi saudaranya untuk bertanya khabar antara satu-sama lain. Maka, difahami dari kisah dalam hadis ini bahawa ziarah adalah penambah kasih sayang, menambahkan rasa gembira serta ketenangan antara dua yang bersaudara.
Ianya jelas melalui kisah mengenai lelaki soleh dalam hadis ini; { Sesungguhnya seorang lelaki telah menziarahi saudaranya di kampung lain………}
0 comments:
Post a Comment