Demokrasi adalah hak rakyat untuk menjadi hakim dalam sistem politik moden, sebagai satu proses untuk memilih kepimpinan mereka. Terminologi akar umbi “dēmokratía” yang berasal dari bahasa Greek ini memberi maksud – “rule by the people” atau “pemerintahan oleh rakyat”. Pemahaman terhadap maksud demokrasi ini yang pada pandangan Barat tidak mempunyai kaitan dengan Tuhan Yang maha Pencipta, telah diperkembangkan dan disuntik roh hubungan manusia-Tuhan menerusi pandangan para sarjana Islam dalam bentuk penulisan di sepanjang zaman kegemilangan Islam. Antaranya kitab-kitab hasil karangan para ulama Islam dalam aspek politik seperti karya tersohor Muqaddimah karangan Ibnu Khaldun (1332-1406 M), Al Mawardi (972-1058 M), Al Ghazali (1058 - 1111M), Imam Al Haramain Al Juwayni (1028 -1085M ), Ibnu Taimiyyah (1263 -1328M), Ibn Qayyim al-Jawziyyah (1292-1350M) dan lain-lainnya yang turut diterjemahkan ke dalam bahasa Eropah. Encyclopaedia Britannica (15thed.,Vol.9, p.148) antaranya memuatkan testimoni ahli sejarah British, Arnold J.Toynbee, memperakukan bahawa karya Muqaddimah adalah “membicarakan aspek falsafah sejarah yang paling hebat pernah ditulis oleh sesiapa di sepanjang zaman”.
Sebelumnya negara-negara Eropah yang dihimpit kezaliman terpaksa melakukan revolusi berdarah yang mengorbankan raja, pemimpin dan rakyat.
Sekiranya kita mengkaji hal ini secara lebih jauh dan mendalam, Al-Quran sebenarnya telah menceritakan kisah-kisah benar perjuangan para Rasul A.S. berdakwah, umpamanya Nabi Ibrahim dan Nabi Musa AS, para nabi ini dalam masa yang sama menentang kerajaan yang zalim, menindas dan memperhambakan rakyat, serta menyalah gunakan harta negara mengikut hawa nafsu. Walau pun tamadun kebendaannya tersergam menakjubkan, seperti 138 buah binaan Piramid di Mesir, Petra di Jordan, yang kesemuanya masih menjadi kesan sejarah yang dibanggakan sehingga zaman terkini, tetapi dilupakan betapa tamadun itu dibina di atas mayat-mayat rakyat yang diperhambakan.
Semua kerajaan zalim ini dinamakan jahiliyyah, walau pun dianggap bertamadun, semuanya berakhir dengan kejatuhan yang meninggalkan nama-nama buruk yang dikutuk dalam catatan sejarah, walau pun meninggalkan bangunan dan binaan yang indah. Ramai yang tidak menyedari bahawa Allah SWT mengutuskan para Rasul memimpin rakyat menentang kerajaan-kerajaan yang sangat zalim itu.
0 comments:
Post a Comment