Sunday, December 25, 2011

Bersama Ulama’ Pelapis – “ Berpegang dengan Islam yang syumul”


Al-Fadhil Us Hamdi bersama ayahnya Tuan Guru Dato' Harun Taib ketika PAPISMA menziarahi beliau di rumahnya

SURA, 24 Disember: Satu kuliah maghrib yang disampaikan oleh pengkuliah jemputan, al-Fadhil Ustaz Hamdi Harun Taib telah berjaya diadakan di Surau Ustaz Omar Shukri malam tadi.

Beliau hadir ke Dungun dalam rangka mengadakan pertemuan dan mesyuarat dengan ahli jawatankuasa bagi unit tugas-tugas khas sempena Sambutan Jubli Emas Pemuda PAS yang dijangka berlansung Januari Tahun hadapan. Dalam kesempatan menyampaikan kuliah maghrib tersebut, beliau mengingatkan supaya seluruh masyarakat menjadikan al-Quran sebagai panduan utama dalam kehidupan.

Al-Fadhil Ustaz Hamdi sedang menyampaikan taujihatnya

“ Allah Taala mencipta manusia dan dia menyediakan buku panduan iaitu al-Quran supaya manusia tidak tersilap langkah mengendali urusan hidup seharian. Sebagaimana yang dapat dilihat hari ini, sesuatu penciptaan akan diberikan buku panduan untuk memandu pengguna mengendalikannya dengan baik”

Beliau turut mengingatkan para Jemaah yang hadir supaya tidak hanya mengambil sebahagian al-Quran dan meninggalkan sebahagian yang lain. Islam bukan sahaja sempit pada ruang lingkup solat, puasa, zakat dan haji semata-mata. Bahkan, Islam meliputi seluruh kehidupan termasuk ekonomi, politik, perundangan dan lain-lainnya.

“ Dalam ayat surah al-Haj Allah Taala perintahkan kita melakukan kebajikan. Para ulama’ menyatakan termasuk makna melaksanakan kebajikan adalah berusaha menyebarkan dan menegakkan urusan agama Allah Taala di atas bumiNya ini”, tegas beliau yang juga merupakan anak kepada Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat, Tuan Guru Dato Harun Taib.

Bersempena Sambutan Jubli Emas Dewan Pemuda, beliau turut berkesempatan melancarkan kutipan derma bagi menjayakan program yang telah disusun. Al-Fadhil Ustaz turut menceritakan kisah dan kelebihan kepada sesiapa yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah Taala. Bahkan, beliau menegaskan sedekah dan derma termasuk dalam sedekah jariah yang merupakan bekal seorang mukmin apabila ditakdirkan menghadap Allah Taala.

Al-Fadhil Ustaz Azman Shapawi setelah selesai menyampaikan kuliahnya baru-baru ini

Pada 21 Disember lepas, al-Fadhil Ustaz Azman Shapawi turut berkesempatan menyampaikan kuliah sempena program Kuliah Orang Mude Geng Kite di sini.


Dalam kesempatan itu, beliau mengulas berkaitan isu hudud yang cuba diputar belit dan diberi gambaran buruk oleh media.

“ Allah Taala mensyariatkan hukumNya bagi menjamin kesejahteraan dan kebahagiaan manusia dalam kehidupannya. Hukum hudud bukanlah sepertimana yang digambarkan hari ini. Islam lebih bersifat mendidik dan menjauhkan penganutnya daripada melakukan dosa dan maksiat, bukan bersifat menghukum dan mencari kesalahan manusia” , tegas beliau.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Blog Archive

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy