Sunday, December 25, 2011

Henti Bantuan Kepada Pelajar Mesir : Tindakan MAIDAM Dipertikai


Laporan Sinar Harian halaman T4 hari ini

25 Disember: Akhbar hari ini melapokan satu berita berkaitan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang mengambil langkah menghentikan penghantaran pelajar ke Mesir seperti Yayasan Terengganu bermula tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Wan Harujan Sulaiman berkata, sistem pengajian di Mesir agak ketinggalan di samping factor keselamatan pelajar itu sendiri yang kurang terjamin.

Menurutnya, sebelum ini kerajaan telah mengumumkan untuk tidak lagi menaja pelajar tajaan YT ke Mesir memandangkan ada kalangan pelajar di sana tidak belajar tetapi terlibat dengan aktiviti lain dan sekaligus merugikan kerajaan.

...............................................................................................

Kenyataan yang dikeluarkan oleh MAIDAM jelas menunjukkan sikap sebenar kerajaan negeri terhadap pelajar-pelajar yang melanjutkan pengajian di bumi para nabi itu. Sepatutnya, pihak MAIDAM mendatangkan bukti atas setiap dakwaan yang dilakukan.

Sebagai sebuah badan yang menguruskan zakat, satu kajian terperinci berkaitan isu ini mesti dilakukan, bukannya sekadar dakwaan tanpa fakta yang jelas. Adakah semua pelajar yang mendapat wang zakat bersikap sambil lewa dalam pelajaran? Sekiranya benar terdapat pelajar yang tidak menumpukan perhatian kepada pelajaran, pihak MAIDAM boleh mengambil tindakan yang sewajarnya kepada pelajar itu sahaja. Bukannya mengambil langkah, ‘ kerana marahkan nyamuk seekor, habis kelambu dibakar’.

Selain itu, kenyataan yang dikeluarkan seolah-olah mereka memandang Universiiti al-Azhar dan pusat pengajian di Mesir sudah tidak berkemampuan membentuk pelajar yang baik. Padahal, selepas kejatuhan Mubarak, berlaku satu kebangkitan majlis ilmu yang sangat hebat di Mesir. Gabungan dua institusi; Universiti al-Azhar dan Masjid al-Azhar menjadikan sistem pendidikan mereka sangat unik. Matlamatnya bukan sahaja untuk melahirkan pelajar yang cemerlang pada catatan di sijil sahaja, bahkan melahirkan ulama' 'amilin yang sentiasa berfikir untuk meletakkan Islam pada tempatnya yang sebenar. Adakah keadaan ini menimbulkan keresahan di pihak kerajaan.

Hari ini, seluruh dunia mampu mengikuti perkembangan ilmu daripada bumi bersejarah tersebut menerusi laman web, facebook mahupun youtube. Keadaan tersebut membuktikan mereka tidak ketinggalan dalam kemajuan teknologi hari ini.

Sekiranya dibuat satu penilaian, pertambahan kehadiran pelajar-pelajar Malaysia di Universiti mahupun di Masjid al-Azhar membuktikan dakwaan MAIDAM tersebut perlu diteliti sebaiknya.


Kiri: Gambar Para Ulama' al-Azhar Yang Gigih Menyampaikan Ilmu di Bumi Mesir. Majlis mereka boleh diikuti menerusi laman web, youtube dan facebook

Persatuan pelajar di Mesir seperti Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) dan Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) mempunyai unit khusus yang memantau perkembangan akademik para pelajar. Di sana terdapat Biro Pendidikan dan Biro Akademik yang sentiasa menyusun aktiviti bagi memastikan pelajar mendapat keputusan yang cemerlang dalam imtihan.

Antara Program Terbaru Yang Dianjurkan Bagi Membantu Kecemerlangan Mahasiswa

Bahkan, pihak kerajaan juga tidak boleh menafikan sumbangan bekas-bekas pelajar dari bumi Mesir yang telah mencurahkan khidmatnya kepada masyarakat di Malaysia. Kita sendiri melihat dalam masyarakat ramai dalam kalangan bekas mahasiswa Mesir bertungkus lumus membantu masyarakat keluar dari belenggu kejahilan mengenai Islam.

Tindakan yang ditunjukkan ini membuktikan dengan lebih jelas lagi tekanan yang diberikan oleh kerajaan terhdap mahasiswa bukan sahaja dalam negara, bahkan luar negara.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Blog Archive

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy