Friday, January 20, 2012

Sambutan Jubli Emas Pemuda PAS Negeri Terengganu (3): Sekitar Majlis Perasmian



DUNGUN, 20 Disember: Selepas selesai talkshow bersama ad-Da’eiyatul Islami al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus, program diteruskan lagi dengan Majlis Perasmian oleh al-Fadhil Ustaz Nasrudin Hasan at-Tantawi, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Majlis perasmian tersebut dimulakan dengan bacaan al-Quran oleh Ustaz Yahya bin Ali diikuti ucapan alu-aluan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, YB al-Fadhil Ustaz Mohd Nor Hamzah.

“ Semalam –alhamdulillah-, telah mengadakan ceramah dan mendapat sambutan yang sangat baik. Hari ini –alhamdulillah-, kita masih mendapat sambutan yang agak baik walaupun dalam keadaan cuaca yang sangat menyukarkan untuk kita hadir dan memeriahkan majlis kita pada hari ini. Tetapi saya mengharapkan seluruh kita dapat menjayakan majlis ini sepanjang Sambutan Jubli Emas”, ujar beliau memulakan ucapan.


Beliau meneruskan ucapan dengan mendoakan kepada seluruh pemuda sejak dahulu sehingga sekarang yang telah berusaha memastikan kelansungan perjuangan ini supaya diberi ganjaran yang setimpal oleh Allah Taala. Beliau yang juga Adun Bukit Payung turut mengimbau kembali sejarah tertubuhnya Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu.

“ Insyaallah, kita mengharapkan supaya kita mencapai kemenangan di negeri dan negara ini dengan bantuan daripada Allah Taala. Saya mengucapkan penghargaan besar kepada seluruh pemuda yang bertungkus lumus menjayakan program ataupun Sambutan Jubli Emas kali ini”, jelas beliau menutup ucapannya.

Selepasnya, majlis diteruskan dengan ucapan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, YB Haji Abdul Wahid bin Endut. Beliau melahirkan rasa semangat yang timbul di jiwa apabila melihat semangat anak muda yang berdiri di tengah panas matahari yang terik setelah bertahan dalam hujan ketika mendengar kuliah Ustaz Azhar Idrus sebelum itu.

Beliau turut mengingatkan seluruh yang hadir dengan sejarah Terengganu yang pernah merasai kesejahteraan di bawah pemerintahan yang mengamalkan Syariat Allah Taala. PAS Terengganu baru sahaja selesai mengadakan sambutan 100 tahun Pemerintahan Islam Terengganu di Kuala Berang awal bulan yang lalu.

“ Kita merayakan 100 tahun Itqan al-Muluk, kita mengadakan sambutan 50 tahun Pemuda Pas dan kita mengadakan program-program gerakan rakyat PAS Ganti UMNO; tujuannya kita ingin membina kekuatan dan membina semangat rakyat untuk menghadapi pilihanraya yang ke 13 akan datang. Janji Allah Islam akan menang, itu keyakinan kita”, tegas beliau mewakili Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu.

Al-Fadhil Ustaz Kamaruzzaman Mengarahkan Pemuda Berkumpul Di Hadapan Pentas

Acara berada di kemuncak apabila al-Fadhil Ketua Pemuda bangkit memberi ucapan.

“ Nabi mengharapkan lahir generasi, lahir sekelompok/segolongan manusia yang beriman kepada Allah biarpun generasi terdahulu mengingkari Allah Taala. Saudara-saudara yang dihormati Allah sekalian, moga kita termasuk dalam kalangan pemuda-pemuda yang mengabdikan diri kepada Allah, dari kalangan pemuda-pemuda yang siap dan bersedia untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab menimarahkan bumi Allah Taala dengan syariat yang telah diutuskan Allah kepada Nabi Muhammad Sollallahu’alaihiwasallam’, tegas beliau.


Dalam kesempatan tersebut, beliau mengingatkan pemuda supaya menghargai jasa kepimpinan yang sejak dahulu bersusah payah berjuang menegakkan agama Allah Taala. Beliau mendoakan supaya semua yang hadir mampu istiqamah dalam perjuangan sehingga akhir hayat. Beliau turut mengimbau kenangan mengayuh basikal ketika berusia 13 @ 14 tahun dari Kampung Batu 13 ke Rusila untuk mendengar pemidato yang hebat ketika itu, al-Fadhil Ustaz Harun Jusoh yang juga merupakan bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu.

Selain itu, beliau menceritakan pertemuan dengan beberapa orang artis supaya pemuda mengatur pertemuan artis dengan Al-Fadhil Tuan Guru.


“ Jadi, insyaallah, sempena himpunan anak muda hari ini, sempena sambutan Jubli Emas Pemuda PAS Negeri Terengganu, saya berharap antumlah menjadi manusia yang mengajak manusia kepada Allah. Boleh atau tidak? Kalau boleh, saya rasmikan Sambutan Jubli Emas Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu ini dengan melaungkan tiga kali lafaz takbir”.

Majlis perasmian disemarakkan lagi dengan gimik perasmian diikuti dengan penyampaian cenderahati kepada bekas ketua-ketua pemuda PAS yang lalu sebelum majlis berakhir.

Selesai majlis, para hadirin menikmati jamuan rakyat yang disediakan oleh penganjur.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Blog Archive

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy