Saturday, September 13, 2008

KEMASUKAN SEMULA DR M: ABDULLAH TERKEJUT?


Kenyataan Media (12 September 2008)

KEMASUKAN SEMULA DR M: ABDULLAH TERKEJUT?

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) tertarik dengan krisis terbaru yang melanda Umno apabila presidennya, Abdullah Badawi melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menolak peralihan kuasa pada 2010. DPP Pusat percaya kenyataan Muhyiddin ini mempunyai kaitan dengan kejayaan beliau membawa semula Tun Dr Mahathir menyertai Umno setelah bekas Perdana Menteri itu keluar parti kerana menolak kepemimpinan Abdullah Badawi. Berkemungkinan besar Dr Mahathir telah memberi syarat kepada Muhyiddin supaya mendesak Abdullah Badawi berhenti sebagai syarat penyertaan semula beliau dalam Umno.

Umno sekarang ini amat terdesak kerana tersepit oleh dua keadaan. Pertama, kerana gerakan pembangkang yang begitu agresif ke arah pembentukan kerajaan baru menjelang 16 September ini. Kedua, pergolakan dalaman BN yang begitu ketara sehingga percakaran antara parti berlaku secara terbuka dan beberapa parti sudah mula mengugut untuk meninggalkan pakatan perkauman itu. Lebih-lebih lagi keadaan politik dalaman Umno hari ini yang amat bercelaru apabila persaingan kuasa telah berlaku dalam mesyuarat agung peringkat cawangan.


Beberapa keadaan ini telah mendorong Umno bertindak apa sahaja termasuk menggantung keahlian Ketua Bahagian Bukit Bendera, Ahmad Ismail dan berusaha membawa semula Dr Mahathir ke dalam parti itu sebagai langkah pengukuhan.


DPP Pusat sangat percaya bahawa Muhyiddin sebagai proksi Dr Mahathir dalam perebutan jawatan tertinggi Umno Disember ini akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan kuasa tersebut. Rata-rata ahli Umno telah meluat dengan Abdullah Badawi dan mereka juga melihat Najib Razak sebagai terlalu penakut. Ditambah lagi dengan isu Altantuya. Setelah Umno kalah teruk di Permatang Pauh, mereka tidak ada pilihan melainkan memerlukan seorang pemimpin yang berani dan mampu membuat perubahan. Muhyiddin dilihat lebih vokal dalam soal ini berbanding Najib Razak yang ’malu-malu’ kerana telah terpalit oleh isu wanita Mongolia itu. Apabila Dr Mahathir menyokong Muhyiddin secara terbuka, bermakna pelan peralihan 2010 yang dipersetujui oleh Abdullah Badawi dan Najib Razak telah tergugat.

Ternyata kemasukan semula Dr Mahathir bukannya untuk memperkukuhkan Umno, tetapi untuk memperkukuhkan cengkaman Muhyiddin dalam power game ini. Dr Mahathir sejak awal-awal lagi mengkritik dan menolak kepemimpinan Abdullah Badawi yang dikatakan dikuasai oleh Tingkat Empat JPM. Dan ini adalah peluang terbaik bagi Muhyiddin jika beliau berminat untuk menjadi orang nombor satu. Dr Mahathir telah berjaya dipujuk oleh beliau, tetapi Dr Mahathir berjaya pula memaksa beliau mendesak Abdullah Badawi berhenti lebih awal. Nampaknya strategi Dr Mahathir kali ini lebih berkesan daripada strategi beliau memberi tekanan dengan cara keluar parti. Kini Abdullah Badawi hanya mempunyai dua pilihan, menerima Dr Mahathir semula tetapi akan menggugat kedudukannya, atau membiarkan Dr Mahathir mati di luar Umno tetapi mungkin Umno mati lebih dahulu daripada Dr Mahathir!

SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Blog Archive

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy