Monday, September 15, 2008

Zaid: Usah guna ISA terhadap orang awam, mahu bincang dengan PM


PETALING JAYA: Dalam perkembangan yang dilihat sebagai menarik dan jarang berlaku, beberapa anggota Kabinet menyuarakan pandangan peribadi dan parti masing-masing supaya kerajaan mengkaji semula penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap orang awam.

Antara mereka yang memberi pandangan sedemikian ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang berpendapat ISA tidak harus digunakan terhadap orang awam seperti wartawan dan ahli-ahli politik.

Menteri yang bertanggungjawab berkaitan soal perundangan dan kehakiman itu berkata, akta tersebut seharusnya hanya digunakan terhadap pengganas ataupun ke atas mereka yang cuba menggulingkan kerajaan menerusi kekerasan.

Kata beliau, sudah tiba masa bagi kerajaan Persekutuan kembali kepada matlamat asal penggubalan ISA, yang digubal untuk mengawal komunis, ataupun pada hari ini untuk menangani pengganas ataupun mereka yang hendak menggulingkan kerajaan menggunakan kekerasan.




"Saya tidak meminta supaya ISA dimansuhkan tetapi hanya menggunakannya apabila wujud ancaman ke atas keselamatan negara seperti pengganas dan bukan orang awam," kata beliau kepada wartawan di Kota Baharu, Kelantan semalam.

"Saya akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawui untuk mengadakan perbincangan terus terang bagi mendapatkan pandangan beliau dalam isu ini secepat yang mungkin," jelas beliau.

Kata Zaid, dengan memberikan pandangan sedemikian beliau kemungkinan dilihat bertindak bertentangan dengan 'dasar kerajaan' tetapi bersedia untuk menghadapi kesannya.

"Jika saya perlu meletakkan jawatan (kerana memberikan pandangan ini), saya akan berbuat demikian," katanya.

Tambah Zaid, beliau bukan pencetus masalah dan tidak mahu menyusahkan Perdana Menteri dalam isu berkenaan.

Sebaliknya, katanya, beliau mempunyai prinsip dan sentiasa memberikan pendirian kritikal dalam soal penggunaan ISA.

Kata beliau lagi, kerajaan mempunyai undang-undang secukupnya untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan didapati kesalahan, antaranya Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan.

Pada Jumaat lalu, tiga orang iaitu masing-masing seorang penulis blog, wartawan dan ahli politik ditahan di bawah ISA.

Penulis laman blog Raja Petra Kamaruddin yang pertama ditahan di rumahnya pada pukul 1.50 tengah hari di Sungai Buloh dekat sini berkaitan artikel yang disiarkan dalam laman webnya yang bertajuk "I promise to be a good, nonhypocritical Muslim" dan juga
"Not all Arabs are descendants of the Prophets".

Kedua-dua artikel itu didakwa menggunakan ayat yang menghina orang Islam dan Nabi Muhammad S.A.W.

Ini adalah kali kedua Raja Petra ditahan di bawah ISA.

Beliau pertama kali ditahan pada April 2001 kerana penglibatannya dalam gerakan reformasi dan ditahan selama 53 hari di Pusat Tahanan Kamunting, Taiping.

Selepas penahanan Raja Petra, polis menahan pula wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng di rumahnya di Taman Permai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Tan ialah wartawan yang menulis berita yang mendakwa Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail semasa memberi ceramah dalam kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos lalu, telah melabelkan masyarakat Cina di negara ini sebagai "penumpang."

Selepas Tan, Exco Kerajaan Negeri Selangor dan Anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok, turut ditahan di bawah akta sama di hadapan kondominiumnya di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun Tan telah dibebaskan petang kelmarin.

Sejak operasi ISA terbaru ini banyak pihak menyuarakan pandangan supaya penggunaan akta berkenaan dikaji semula.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, ketiga-tiga mereka ditahan bagi memastikan ketenteraman negara adalah terkawal.

Dalam pada itu, MCA berpendapat bahawa jika ISA benar-benar perlu, ia sepatutnya hanya digunakan dalam kes yang sangat ekstrem.

Presidennya Datuk Seri Ong Ka Ting berkata, "Jika tidak Akta ini sendiri adalah satu ancaman terhadap peraturan perundangan dan asas kebebasan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan kita," katanya.

Ong berkata, penggubal ISA sendiri, mendiang Profesor RH Hickling, pernah berkata bahawa akta tersebut hanya untuk melawan pemberontak Komunis dan mereka yang terlibat dalam perjuangan bersenjata.

"Jika benar keselamatan negara terancam, mesti ada bukti kukuh untuk membuktikannya. Jika tidak mereka yang ditahan (mengikut ISA) perlu didakwa di mahkamah di mana terdapat undang-undang yang mencukupi untuk tujuan itu," katanya.

Setiausaha Agung MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, kerajaan perlu menerima hakikat bahawa sebahagian besar rakyat negara ini tidak gemar penggunaan ISA.

Kata beliau, negara mempunyai cukup undang-undang untuk digunakan terhadap pelbagai kelakuan yang terpesong, tidak bertanggungjawab dan merbahaya.

“Mengapa undang-undang ini tidak digunakan? Individu yang ditahan (di bawah ISA) tanpa didengar penjelasan dan peluang membela diri adalah bertentangan dengan kepercayaan yang kita amalkan pada masa ini.

“Setiap kali seseorang itu ditahan di bawah ISA, ia akan menimbulkan tanggapan bahawa kerajaan melakukannya kerana tidak mampu untuk mendakwa dan menghukum orang itu di bawah undang-undang yang sedia ada di negara ini,” kata beliau yang juga Menteri Sumber Manusia dalam kenyataan dikeluarkan semalam.

Source : MStar Online

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Blog Archive

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy