Wednesday, October 29, 2008

Ayuh, Bangkitlah Wahai Sekalian Pemuda Islam!


Pemuda merupakan generasi yang perlu diambil perhatian oleh seluruh individu yang cintakan Islam. Sejarah membuktikan kehadiran pemuda dalam masyarakat menjadi faktor penyumbang kepada kemajuan dan kebangkitan sesebuah masyarakat ataupun negara. Paling penting, kekuatan agama Islam terdahulu amat bergantung kepada tenaga golongan muda yang sentiasa mengorbankan jiwa raga mereka untuk menjadi benteng bagi mempertahankan agama daripada segala macam anasir yang cuba untuk merobek kesucian agama Allah ini.

Masyarakat hari ini menghadapi suatu fenomena keruntuhan akhlak dalam kalangan anak-anak muda. Sedarlah -wahai manusia-manusia yang mengakui sayangkan agama Allah Taala yang di bawa oleh RasulNya Sollallahu’alaihiwasallam- musuh menyedari bahawa golongan pemuda adalah aset penting dalam pembangunan ummah. Mereka tidak akan berpeluk tubuh melihat pemuda Islam bangkit mempertahankan agamanya. Ketika umat Islam terus bersikap untuk berada dalam ‘selimut’ kemewahan dunia, ketika itulah juga musuh menyusun strategi merosakkan anak-anak muda Islam.

Lihatlah dan bukalah mata anda seluas-luasnya! Jadilah manusia yang prihatin terhadap keadaan sekeliling! Bagaimana nasib yang dihadapi oleh generasi pelapis masyarakat ini? Mereka dibina atas dasar keimanan ataupun sentiasa dimomokkan dengan teori palsu ciptaan Barat kononnya untuk mencapai kemajuan yang singkat? Jangan mudah untuk dipengaruhi oleh nilai dunia yang terlalu kecil dibandingkan dengan kejayaan ukhrawi yang sedang menunggu kita - wahai saudara-saudaraku-.

Wahai sahabat-sahabatku sekalian pemuda,

Sedarilah! Anda sedang dijauhkan daripada mengenal Allah Taala dan RasulNya. Prinsip keimanan cuba dilondehkan daripada terus menjadi pakaian anda. Musuh dari dahulu lagi telah menyiapkan pakaian ‘syaitani’ untuk melalaikan anda dari mengenali tanggungjawab yang perlu dipikul. Ketahuilah! Tanggungjawab anda adalah mempertahankan agama Allah Taala. Diri anda adalah benteng kepada sekalian umat Islam. Jatuhnya anda seolah-olah memberi isyarat kepada jatuhnya umat ini.

Jadilah pemuda yang cintakan Islam. Kemuliaan dan keagungan Islam itu bukan disebabkan kita yang menjadi pejuang-pejuang dan mujahid-mujahid agung bagi mempertahankannya. Akan tetapi, anda menjadi mulia disebabkan anda bersedia untuk menjadi salah seorang daripada pembantu-pembantu agama Allah. Fahamilah bahawa Islam itu selama-lamanya mulia. Islam itu akan selama-lamanya tinggi dan tidak akan ada yang lebih tinggi dariNya. Sekiranya anda tidak mahu menjadi salah seorang dari mujahid agung, ingatlah, di sana ada jutaan lagi tentera Allah yang akan mempertahankan kesucian agama ini. Renungilah Firman Allah Taala dalam ayat di bawah;

“ Sekiranya kamu tidak mahu menolongnya (Muhammad Sollallahu’alaihiwasallam), maka sesungguhnya Allah Taala telah menolongnya. Ketika orang kafir mengeluarkannya dari mereka sedang dia adalah salah seorang dari keduanya ketika mereka berada dalam gua. Ketika itu dia berkata kepada sahabatnya; “ Jangan kamu bersedih, sesungguhnya Allah Taala bersama kita”. Lalu Allah Taala menurunkan ketenangan ke atasnya dan mengukuhkannya dengan tentera yang tidak dapat dilihat. Allah Menjadikan kalimah kufur itu berada di bawah. Dan Kalimah Allah Taala itu sentiasa berada di tempat yang tertinggi. Dan Allah Taala itu Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana”

(at-Taubah: 40)

Hidup dan mati untuk Islam dan kerana Islam!!! Allahuakbar!!!

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Blog Archive

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy