Wednesday, November 24, 2010

MEMALI: Wajib Terus Menentang ISA


GAMBAR HIASAN - Lawatan Pemuda Cawangan Tanah Lot ke pusara Syuhada pada 15 Ogos 2008 lalu.


oleh : Harakah Kedah

BALING: Seluruh ahli PAS wajib meneruskan penentangan kepada kezaliman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), demikian ditegaskan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu semasa berucap pada penutup Majlis Memperingati 25 Tahun Memali di sini 21 November lalu.

Menurut beliau, Ustaz Ibrahim Libya tidak pernah tunduk kepada undang-undang zalim dan bertegas bahawa haram melakukan penahanan di bawah ISA.

As-Syahid Ustaz Ibrahim jelas Mohamad, lebih rela mati dari hidup tetapi menghadapi kezaliman ISA dan beliau telah pun membuktikannya.

“Oleh itu kita harap penentangan ke atas ISA wajib diteruskan,” seru beliau disambut laungan takbir lebih 5,000 hadirin.

Pun begitu beliau mengingatkan, apabila PAS menerajui Putrajaya kelak, jangan ada di kalangan pendokong PAS terfikir untuk menggunakan akta itu kepada musuh politik.

Tegasnya, PAS tidak reda untuk akta itu digunakan kepada sesiapa sahaja sebaliknya perlu pinda undang-undang lain.

Beliau turut menegaskan, ahli PAS wajib menyokong sistem pengajian Islam sebagaimana yang diasaskan As-Syahid Ustaz Ibrahim Mahmud untuk terus lahirkan mujahid dan mujahidah yang akan mendokong perjuangan Islam.

Mengulas keputusan mahkamah membebaskan mangsa tuduhan Himpunan Bersih dan rumusan hakim bahawa pihak polis telah melanggar perlembagaan negara yang menjamin kebebasan beragama dan berhimpun, beliau menggesa pihak polis tidak lagi mengganggu semua himpunan aman selepas ini.

Beliau turut menyeru kebebasan media terus diperjuangkan berikutan kedudukan Malaysia tercorot.

Secara menyindir beliau berkata, kerana itu Persidangan Wanita Pertama anjuran Datin Rosmah Mansur hanya diwakili wanita dari negara-negara tersebut.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Blog Archive

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy