Wednesday, November 17, 2010

Sukan Asia: Azizulhasni sumbang emas acara basikal



Dua pelumba berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang dan Josiah Ng meraih kemenangan satu-dua, selepas merangkul pingat emas dan perak dalam acara Keirin Lelaki akhir yang berlangsung di Velodrom Guangzhou, China hari ini.
Ia adalah emas kedua negara setakat ini selepas Wushu menyumbang emas pertama negara.

Dalam acara lapan pusingan di trek sepanjang 250 meter itu, Mohd Azizulhasni mengetuai tujuh pelumba lain pada empat pusingan awal sebelum pelumba China, Zhang Lei menjadi pendahulu.

Namun kemalangan yang melibatkan Zhang Lei dan pelumba Iran, Mohamad Parash membolehkan Mohd Azizulhasni kembali mendahului, diikuti rapat oleh Josiah dan seorang lagi pelumba tuan rumah yang juga adik Zhang Lei iaitu Zhang Miao.

Pada pusingan akhir, kedua-dua pelumba Malaysia itu tidak memberi ruang kepada Zhang Miao untuk memotong mereka bagi mengesahkan kemenangan satu-dua kepada Malaysia, sementara pelumba China itu mendapat gangsa.

Kemenangan itu juga membolehkan pelumba negara mengetepikan pelumba keirin nombor satu Asia dari Jepun, Kazunari Watanabe yang mendapat tempat ke-empat.

Kazunari bagaimanapun berlumba seorang diri hari ini tanpa rakan sepasukan untuk membantu.

Dalam acara terdahulu, Mohd Azizulhasni sekadar mendapat tempat ke empat dalam penentuan pingat gangsa untuk acara Pecut 200m lelaki.

Dia yang bersaingan dengan pelumba Jepun, Nitta Yudai tewas dalam kedua-dua saringan, setiap satu tiga pusingan, dalam penentuan pingat gangsa.

"Saya tersilap taktik dengan mengejar Nitta dari awal dan gagal melakukan henjutan pada pusingan akhir," katanya kepada pemberita di Guangzhou hari ini.

Dalam satu lagi acara yang melibatkan pelumba negara, Muhamad Adiq Hussaine Othman terlepas peluang mendapat gangsa apabila menduduki tempat ke empat dalam acara Perlumbaan Mata (Lelaki).

Berada di kelompok utama lima pelumba dalam perlumbaan 120 pusingan atau 30km yang melibatkan keseluruhan 24 pelumba, Muhamad Adiq terpisah jauh bersama rakan sepasukan, Amir Mustafa Rusli.

Tanpa bantuan Amir Mustafa, Muhamad Adiq tersepit di antara pemenang pingat emas dari Uzbekistan, Vladimir Tuychiev, pelumba Hong Kong, Wong Kam Po (perak), dan pelumba Iran, Mehdi Sohrabi (gangsa).

Tuychiev mengumpul 71 mata, Kam Po (60), Mehdi (60) dan Muhamad Adiq (56).

"Saya yakin henjutan di beberapa pusingan akhir mampu mengatasi pelumba Iran itu jika mendapat bantuan rakan sepasukan. Ini kerana Mehdi Sohrabi mendapat bantuan yang baik dari rakan sepasukannya Abbas Saeiditanha dari awal perlumbaan," katanya.

Acara berbasikal trek yang bermula pada Sabtu lalu, menutup tirainya hari ini dan acara berbasikal lebuhraya akan bermula pada Sabtu sehingga Selasa ini. - Bernama


berita terdahulu :

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Blog Archive

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy