Thursday, December 2, 2010

Kejayaan Hakiki Milik Perjuangan Islam


Teks Usrah Pemuda Dun Sura
Oleh : Muhammad Syukri Bin Muhamad Nazar


Surah Taubah memberi beberapa gambaran mengenai sikap manusia terhadap perjuangan menegakkan Islam yang diasaskan oleh Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam. Secara umumnya, mereka terdiri daripada tiga golongan;

1) Golongan mukmin sejati yang sanggup mengorbankan apa sahaja demi Allah Taala dan Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam.

2) Golongan munafiq yang menzahirkan keimanan dalam masa yang sama merancang untuk memadamkan cahaya Islam.

3) Golongan yang menzahirkan kekufuran kepada Baginda Sollallahu’alaihiwasallam serta bertungkus-lumus memerangi Islam.

Dalam surah yang mulia ini, terdapat beberapa ayat yang berturutan yang memberi satu gambaran mengenai prinsip yang perlu dipegang dalam menghadapi keadaan semasa kini. Dalam masa yang sama, kandungannya berkisar tentang keperitan serta derita yang mesti dihadapi untuk mendaulatkan Islam di atas muka bumi ini. Hakikatnya, keadaan ini bermula sejak bendera Islam mula dikibarkan oleh Rasulullah Sollahu’alaihiwasallam lagi.

Allah Taala menyeru hambaNya supaya menjadi pendokong kepada Islam. Namun, seruan ini bukan berpunca dari kehinaan dan kelemahan agama yang agung ini. Allah Taala Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu mampu untuk memastikan kemenangan agamaNya dan memuliakan Nabi Sollallahu’alaihiwasallam tanpa perantaraan makhluk. Akan tetapi, Allah Taala ingin menjadikan kemenangan Islam melalui usaha hambaNya sebagai satu kemuliaan kepada mereka dan bukan kemuliaan untuk diriNya.

Apabila kita memerhatikan ayat-ayat dalam surah at-Taubah, terdapat satu intipati yang mengandungi satu sifat yang sangat mendalam mengenai masalah yang menimpa umat Islam hari ini. Cuba kita perhatikan bersama cara Allah Taala menyifatkan masalah tersebut dan mendatangkan kaedah mengubatinya.

Keterangan pertama dari permulaan surah at-Taubah, Allah Taala berfirman;

“ Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang….”]

( at-Taubah: 25)

Pemahaman dari ayat; kemenangan yang telah diperoleh itu adalah satu kurniaan dari Allah Taala kepada hambaNya sebagai sumber kekuatan yang datang dari Allah Taala kepada mereka. Di samping peringatan kepada makhluk bahawa Allah Taala akan menolong sesiapa yang dikehendakiNya. Namun begitu, ingatlah kepada beberapa medan peperangan ketika kamu berada dalam jumlah yang ramai tetapi jumlah yang ramai hanyalah umpama buih di lautan itu tidak mampu membantu kamu.

“ Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, Iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.”

( at-Taubah: 25)

Tidakkah ini merupakan keadaan orang Islam hari ini? Lihatlah satu sifat yang jelas telah disifatkan oleh Allah dalam ayat ini; terpedaya dengan bilangan penyokong yang ramai bersama Islam. Sehinggakan seolah-olah bumi menjadi sempit ke arah kita. Tidak mampu untuk merancang dan menyusun strategi menyebabkan sebahagian mereka mengambil keputusan untuk tidak mahu bersama dalam satu saf perjuangan, tidak mempunyai prinsip yang jelas serta tidak mampu bersatu untuk mendepani sesuatu isu.

Apakah jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi?

Apabila urusan menjadi semakin sempit, kezaliman semakin menekan kebenaran, akan turunlah pertolongan Allah Taala. Maka, datanglah jalan keluar dari Allah Taala kepada hambaNya yang ikhlas berjuang dan sentiasa bergantung harap kepadaNya. Allah Taala menggambarkan kelembutan dan kasih sayang kepada hambaNya melalui firmanNya;

“ Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta ia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran); dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir.”

(At-Taubah: 26)

Allah Taala tidak menghendaki untuk menutup pintu dalam berurusan dengan golongan yang menentang Islam. Bahkan, Allah Taala menginginkan supaya ditolong agamaNya, dan kitabNya dalam keadaan tersebut. Janji Allah bahawa DIA sentiasa membuka pintu untuk sesiapa sahaja yang ingin kembali kepada Islam dan bersedia menerima taubat dari mereka.

Maka Allah Taala berfirman:

“ Kemudian Allah menerima taubat orang-orang yang dikehendaki (dengan memberi taufiq untuk memeluk Islam), sesudah (orang-orang kafir itu ditimpakan Dengan azab); dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

( at-Taubah: 27)

Apakah faedah dan pengajaran yang mampu diperolehi oleh kita selaku Muslim daripada ayat yang Allah Taala datangkan ini selepas Allah Taala mendatangkan ayat-ayat yang sebelumnya?

Ianya memberi satu faedah kepada kita semua bahawa di sana ada satu tanggungjawab untuk meluaskan hidayah Allah Taala dan menyampaikan cahaya inayahNya ke seluruh alam sehinggakan kepada orang yang tersangat kuat kekufurannya kepada Allah Taala. Sedangkan kamu dalam keadaan marah, susah dan ditekan. Namun, jangan sesekali lupa kemungkinan Allah Taala mengurniakan kepada musuh kamu dengan hidayah. Jangan terlalu berkeras menyebabkan kamu mula leka dengan kemungkinan hati mereka akan terbuka untuk menerima Islam.

Sifat dari Allah Taala yang sangat menarik dalam berhadapan masalah umat Islam hari ini. Berilah ketenangan dan khabar gembira kepada mereka meyakini janji Allah Taala bahawa Allah Taala sentiasa bersama mereka. Pertolongan itu semakin hampir. Kejayaan pasti diperolehi.

Akan tetapi, Allah Taala tetap mengingatkan kita bahawa kita mempunyai tanggungjawab besar untuk menyampaikan hidayah Allah kepada barisan musuh walaupun mereka memusuhi kita, melakuan maksiat dan menentang perjuangan Islam. Kerana Allah Taala telah mengamanahkan kepada seluruh umat Islam dengan satu risalah untuk disampaikan ke seluruh alam.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Blog Archive

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy