Thursday, April 5, 2012

Penari Tiang & Artis Seksi – Kerajaan Perlu Lebih Tegas Atasi Soal Akhlak


Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam pernah menegaskan dalam sebuah hadis bahawa tujuan kedatangan Baginda adalah untuk menyempurnakan akhlak: “ Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia” . Ketua para penyair, Ahmad Syauqi turut menegaskan bahawa apabila hilang akhlaknya akhlak dalam sesebuah masyarakat, maka tunggulah saat kejatuhannya.

Kerajaan Malasia di bawah pimpinan Perdana Menterinya, YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak dengan gagasan 1 Malaysianya jelas menunjukkan ketidakcanaan mereka terhadap isu akhlak khususnya melibatkan umat Islam. Ketika aktiviti-aktiviti agama disekat dengan pelbagai peraturan-peraturan yang menyusahkan dan menghilangkan imej Islam, ahli-ahli maksiat dibiarkan galak meraikan kebebasan tanpa panduan yang sepatutnya.

Isu tiga penari tiang yang hanya didenda maksimun RM 25 bukanlah isu yang boleh dipandang remeh. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom cuba untuk memperlihatkan isu ini masih berada di bawah kawalan apabila mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan dikenakan kaunseling. Soalnya, adakah perkara ini akan diambil serius ataupun jawapan yang diberikan sekadar untuk melepaskan diri daripada tekanan masyarakat Islam di negara ini?

Pelik apabila seorang Imam atas dakwaan menghina mahkamah boleh dikenakan hukuman yang berat tetapi apabila berdepan dengan situasi ini kerajaan cuba menggambarkan betapa lembutnya mereka mengatasi masalah ini. Adakah masalah akhlak masyarakat yang meruncing ini hanya masalah kecil bagi mereka?

Rancangan realiti TV yang melibatkan semua peringkat umur

Bahkan, pihak kerajaan menerusi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan seperti langsung tidak mengawal aksi-aksi yang dianggap separa lucah atau lebih teruk lagi dilakonkan di layar televisyen. Paling malang apabila pelakon-pelakon daripada tanah air yang beragama Islam melakonkan watak-watak dengan penampilan seksi yang menjolok mata. Ini jelas lebih memberi kesan kepada akhlak masyarakat dalam keadaan sekarang yang boleh dikatakan hampir setiap rumah mempunyai televisyen sekarang. Di manakah peranan Lembaga Penapisan Filem dalam masalah ini?

Masyarakat sepatutnya lebih membuka mata dan perlu menyedari hakikat bahawa segala yang dilakonkan dan ditonjolkan oleh adegan-adegan seksi dan lucah dalam televisyen hari ini perlu lebih diberi perhatian dan dikawal oleh pihak kerajaan. Apatah lagi keinginan masyarakat didorong dengan pelbagai akademi yang diwujudkan untuk terus menambah bakat baru dalam bidang seumpama ini. Atau mungkin ada badan kaunseling khas di bawah kelolaan Datuk Seri Jamil Khir akan diwujudkan?

Seluruh lapisan masyarakat perlu mendesak kerajaan supaya memastikan bahawa akhlak dan moral rakyat tidak terus dirosakkan dengan pelbagai kegiatan maksiat yang di’halal’kan oleh pihak kerajaan sendiri. Dalam masa yang sama, jangan sesekali men’halal’kan undi anda untuk kerajaan yang telah terbukti banyak meng’halal’kan pelbagai aktiviti tidak bermoral dalam negara.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Blog Archive

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy