Dungun (Buletinonline) – Bekas pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Dungun, Mohd Danial Razali yang dinafikan haknya untuk mendapat pinjaman pendidikan bagi melanjutkan pelajaran, telah pun selamat berada berada di bumi para anbiya’, Jordan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Ustaz Wan Hassan Ramli memberitahu demikian ketika dihubungi Buletinonline semalam.
“Kini beliau sedang menunggu untuk kemasukkan dan meneruskan pelajarannya di Universiti Yarmouk,
“dengan sumbangan orang ramai yang prihatin dan pihak saya sendiri, beliau dapat dibantu,”katanya.
Beliau berkata pihaknya dengan kerjasama Majlis Tindakan DUN Sura akan terus berusaha seberapa termampu bagi membantu pelajar-pelajar cemerlang dalam kawasan tersebut, khususnya yang dinafikan hak untuk mendapat pinjaman dari kerajaan negeri.
Mohd Danial antara pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Dungun yang mendapat kelulusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007 sehingga mendapat tawaran daripada Kementerian Pengajian Tinggi untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang syariah di Universiti Yarmouk, bagaimanapun dia gagal mendapat biasiswa.
Danial nyaris gagal untuk menyambung pelajarannya apabila permohonannya untuk mendapatkan pinjaman biasiswa daripada Yayasan Terengganu ditolak
Bapanya Mohd Razali Aman, 57, yang bekerja sebagai penjual serbuk kopi tidak mampu menyediakan perbelanjaan yang begitu besar.
Walaupun begitu, Razali yang tidak sampai hati melihat anaknya terkandas dalam pelajaran telah berikhtiar untuk mendapatkan sejumlah wang bagi membiayai yuran pendaftaran.
“Sebaik sahaja ditawarkan pengajian di universiti di luar negara, Danial membuat permohonan untuk mendapatkan pinjaman biasiswa, tetapi permohonannya ditolak.
“nasib baik ada pihak yang menghulurkan bantuan,” kata Razali yang turut mendapat sumbangan hasil derma orang ramai di beberapa surau berdekatan untuk membantu anaknya.
Wan Hassan menyatakan kekesalannya ekoran tindakan kerajaan negeri yang terus melakukan diskriminasi dan pilih kasih dalam memberikan bantuan.
“Sepatutnya Yayasan bertanggungjawab membantu pelajar melanjutkan pelajaran, terutamanya pelajar cemerlang seperti Danial,
“namun jelas sikap tidak bertanggungjawab kerajaan Umno/ Barisan Nasional terus melakukan penindasan kepada mereka yang dianggap sebagai penyokong PAS,”ujarnya.
sumber : Buletinonline
posted by Awang Ja
0 comments:
Post a Comment