Surat wasiat daripada Mukhlas, Imam Samudra dan Amrozi
CILACAP: Tiga militan yang didapati bersalah dalam serangan bom di Bali pada 2002 kini menunggu pelaksanaan hukuman mati, ketika pasukan keselamatan meningkatkan kawalan keselamatan berikutan bimbang keganasan baru menyusul.
Sumber penjara pulau Nusakambangan di selatan Jawa berkata, Amrozi, 47, abangnya Mukhlas, 48, dan perancang serangan, Imam Samudra, 38, sudah ditempatkan di bilik pengasingan dan arahan pelaksanaan hukuman juga sudah diberi.
"Surat arahan pelaksanaan hukuman diserahkan jam 9 malam tadi," kata sumber itu, tetapi tidak menyatakan masa sebenar hukuman akan dijalankan.
Pasukan keselamatan diarah berjaga-jaga dan meningkatkan kawalan berikutan kebimbangan kejadian letupan mungkin berlaku berikutan pelaksanaan hukuman itu, yang pertama dilakukan di bawah undang-undang antikeganasan.
Tertuduh sebelum ini berkata, mereka sudah bersiap sedia untuk 'mati syahid' dan mempertahankan ideologi jihad, ketika beberapa siri rayuan dan prosedur perundangan yang gagal menyebabkan hukuman terpaksa ditangguhkan.
Semua hukuman mati di Indonesia dilaksana skuad penembak dan biasanya dilakukan di lokasi dan waktu yang tidak dinyatakan.
Peguam bela, Wirawan Adnan, berkata kerajaan berhasrat mengehadkan liputan pelaksanaan hukuman dan ada kemungkinan tidak akan mengikuti amalan biasa dengan memberi notis kepada keluarga mereka.
"Saya percaya ia akan dilaksanakan tanpa pengumuman awal kerana pihak berkuasa tidak mahu orang ramai mengetahuinya, jadi ia akan dilakukan secara rahsia," katanya.
Penduduk kampung halaman Amrozi dan Mukhlas di Tenggulun, Jawa Timur, melaporkan melihat huruf 'H' ditandakan di satu kawasan lapang menandakan helikopter akan menghantar mayat militan berkenaan selepas hukuman dilaksanakan.
Televisyen juga melaporkan, beberapa sekatan jalan diadakan di sekitar kediaman Imam Samudra di Serang, selain liang lahad sudah digali.
Sementara itu, kedutaan asing, kawasan pelancongan, pasar raya dan pelabuhan dikawal rapi, manakala 3,500 anggota polis meronda di Bali.
Ia berikutan poster tulisan tangan muncul di sekitar bandar Surabaya menjanjikan tindakan balas atas hukuman mati tiga militan berkenaan.
posted by Awang Ja
0 comments:
Post a Comment