Wednesday, November 5, 2008

Kelab Penyokong Muda PAS dilancar 15 November



KUALA LUMPUR, 4 Nov (Harakahdaily) - Atas sokongan dan kepercayaan rakyat daripada masyarakat pelbagai kaum kepada PAS pada Pilihan raya Umum ke-12 yang lepas khususnya di kalangan anak muda daripada pelbagai kaum, Dewan Pemuda PAS Pusat mengambil inisiatif melalui penubuhan Kelab Penyokong Muda PAS (KPMP).

Menurut Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) Dewan Pemuda PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil, penubuhan Kelab Penyokong Muda PAS adalah selaras dengan dasar PAS dan juga Islam yang memberikan hak dan keadilan kepada seluruh rakyatnya tanpa mengira kaum dan agama.


Inisiatif tersebut katanya diambil kerana menyedari kurangnya penumpuan PAS terhadap golongan muda daripada kalangan masyarakat bukan Islam.

Jelas Khairul Faizi, memandangkan penubuhan Kelab Penyokong PAS pada 2004 dengan keahliannya sudahpun mencecah 18 ribu orang, maka Dewan Pemuda PAS mengambil inisiatif untuk membentuk Kelab Penyokong Muda PAS yang akan lebih cenderung ke arah aktiviti yang sesuai untuk pemuda.

Tambahnya, Kelab Penyokong PAS dilihat lebih dianggotai oleh golongan dewasa serta aktivitinya tidak banyak menjurus kepada golongan muda.

Pelancaran dan perasmian Kelab Penyokong Muda PAS ini akan disempurnakan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub di pekarangan lobi Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada 15 November 2008 pukul 2.30 petang.

Khairul Faizi menerangkan, pada majlis tersebut, beberapa aturcara seperti persembahan kumpulan anak muda daripada Kelab Penyokong Muda PAS, pelancaran misi dan visi kelab, penyerahan borang keahlian dan majlis memperkenalkan Jawatankuasa Penaja Kelab Penyokong Muda PAS.

Dalam pada itu katanya, kemuncak penubuhan Kelab Penyokong Muda PAS akan diadakan pada Mei 2009 melalui satu Himpunan Anak Muda Kelab Penyokong Muda PAS yang akan diadakan di sekitar Lembah Klang. Ia akan dilaksanakan bagi menghimpunkan kesemua jawatankuasa penaja yang telah berjaya ditubuhkan di peringkat pusat dan negeri-negeri.

Sehubungan itu katanya, bagi memastikan bahawa Kelab Penyokong Muda PASakan disambut diperingkat negeri-negeri, Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Pemuda PAS Pusat akan bergerak ke seluruh negara untuk melancarkan kelab tersebut di peringkat negeri-negeri termasuk Sabah dan Sarawak selepas pelancaran dilakukan pada 15 November nanti. - mks. _


ikuti Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Pusat http://pemuda.pas.org.my

posted by Awang Ja

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Blog Archive

Hello

Pemuda Bersamamu v3 © 1429 Business Ads Ready is Designed by Ipiet and Ripped by SamarQondy