DUNGUN, 14 Feb (Hrkh) - Penganjur Program 'Rayuan Gaza, Palestin: Bantulah Mereka' melahirkan rasa dukacita dengan tindakan drastik Majlis Perbandaran Dungun (MPD) yang membatalkan kelulusan menggunakan Padang Astaka, Dungun di saat akhir.
Pembatalan tersebut tanpa diberi alasan kukuh tetapi dimaklumkan oleh pihak MPD sendiri kerana atas arahan 'orang atasan'?
Sehubungan itu, penganjurnya Yayasan Amal Malaysia (Amal) dan Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) terpaksa memindahkan program tersebut ke perkarangan Surau Tuan Guru Zainal Abidin, Sura Gate, Dungun semalam.
Harakahdaily dimaklumkan, program rayuan Gaza diadakan bagi mengumpul dana sumbangan kepada mangsa-mangsa kekejaman Israel di Palestin yang diusahakan oleh lebih 30 buah Badan Bukan Kerajaan (NGO) di negeri Terengganu.
Pengerusi Amal, Haji Husin Ismail berkata pembatalan penggunaan Padang Astaka di saat akhir persiapan tidak wajar dan tidak profesional.
Katanya, program anjuran NGO dan badan amal yang berusaha membantu umat Islam di Gaza Palestin menjadi mangsa 'politik' pihak tertentu.
"Kita terima panggilan telefon tengahari kelmarin (12 Februari) dan diberitahu kelulusan penggunaan Padang Astaka itu ditarik balik serta-merta tanpa alas an kukuh.
"Kami diberitahu juga pembatalan untuk menggunakan Padang Astaka kerana arahan 'orang atasan' dan siapakah mereka (orang atasan) itu," jelasnya ketika dihubungi Harakahdaily.
Menurutnya, tindakan tidak profesional itu boleh menjejaskan imej kerajaan Barisan Nasional (BN) sendiri yang selama ini pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) 'dikambing hitamkan'.
Sementara itu, Pengerusi Mampat, Fauzi Abu Samah terkilan dengan tindakan pihak MPD membatalkan penggunaan tempat yang sesuai bagi kegunaan orang ramai.
Katanya, hebahan promosi dibuat ke serata tempat termasuk melalui radio, akhbar, bena dan poster bagi memaklumkan kepada orang ramai.
"Kita telah buat hebahan yang besar di radio, akhbar, bena dan poster untuk memberitahu orang ramai tentang program Rayuan Gaza tetapi dibatalkan di saat akhir.
"Kos promosi program melebih RM10,000 dan kami terpaksa memindahkan lokasi program ke tempat lain,"ujarnya.
Menurut Fauzi, program dipindahkan ke lokasi di pekarangan Surau Tuan Guru Zainal Abidin, Sura Gate yang agak terhad penggunaannya. - mks.
petikan dari Harakahdaily.net
posted by awang ja
0 comments:
Post a Comment