Chukai, KEMAMAN – Penduduk warga Chukai dan daerah Kemaman sudah ‘bosan’ dan jelak mendengar penjelasan demi penjelasan yang diberikan oleh pihak kerajaan berkaitan pembinaan jambatan Bukit Kuang.
Pengarah Majlis Tindakan DUNChukai, Haji Hanafiah Mat berkata, orang ramai mempersoalkan, apakah sebenarnya masalah yang dihadapi oleh kerajaan negeri Terengganu dan kerajaan Pusat, sehingga masih belum membina jambatan tersebut.
”Orang ramai mempersoalkan, mengapa sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa,
”mengapa yang terlalu lambat , apa kurangnya dengan DUN Chukai?,”tegasnya dalam laman blognya.
Menurutnya, DUN Chukai diwakili oleh wakil rakyat yang bertaraf Exco manakala dalam daerah Kemaman pula ada seorang Menteri Besar negeri Terengganu pula dari DUN Kijal, juga dalam daerah yang sama.
Sekiranya, kata beliau, ketiga-tiga pemimpin Umno tersebut boleh diharapkan oleh rakyat tidak perlulah penduduk terbabit terpaksa membuat aduan kepada Perdana Menteri.
”Sampai ada rakyat dari daerah ini yang mengadu terus kepada Perdana Menteri, yang menulis dalam laman PM meminta supaya mempercepatkan pembinaan jambatan (Bukit Kuang)!,”jelas Haji Hanafiah yang juga Penolong Setiausaha PAS Terengganu.
Beliau berkata, pembinaan jambatan Bukit Kuang yang sepatutnya telah pun siap pada bulan Disember, 2009, namun dijanjikan pula akan mula dibina selewat-lewatnya Januari, 2010.
Katanya, antara alasan kelewatan pembinaan jambata tersebut sebagaimana dikemukakan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dalam Sidang DUN lalu adalah, pelan asal jambatan dipinda bagi membolehkan kapal lalu.
”Sedangkan jambatan yang merentangi sungai dari Kampung Binjai ke Kampung Mak Lagam tinggi juga, tapi ia sudah hampir siap dibina!,”katanya
Menurutnya lagi, ketika musim bah baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek telah berjanji pula, pembinaan tersebut akan dimulakan selewat-lewatnya bulan Januari ini.
Namun, katanya, sudah masuk minggu pertama bulan Januari, tetapi seluruh rakyat yang menggunakan jambatan tersebut setiap hari untuk berulang alik, belum melihat apa-apa perubahan.
”Baru-baru ni, seluruh dunia tahu, kesesakan yang berlaku begitu kritikal, sudahlah hujan lebat, banjir lagi, bertembung dengan sambutan Hari raya Aidil Adha,
”ada pengguna yang menelefon saya, hantar SMS, beritahu mereka membazirkan masa sehingga lima jam dari Kijal hingga ke sempadan negeri Pahang,”ujar beliau mendedahkan kesulitan yang dialami rakyat.
Oleh itu, katanya, beliau sudah bersepakat dengan seluruh sahabat dan kawan-kawan akan meneruskan niat untuk menghantar memorandum ke Putrajaya sekiranya hingga akhir Januari, pembinaan jambatan baru masih belum bermula.
”Sekiranya sehingga akhir Januari 2010, masih tak ada apa-apa perubahan, pembinaan jambatan Bukit Kuang belum dimulakan,
”saya mengajak tuan-tuan dan puan-puan seluruh warga Chukai dan rakyat Kemaman, marila bersama-sama kami menyerahkan memorandum ke Putrajaya!,”seru Hanafiah
buletin online
0 comments:
Post a Comment