Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Kawasan Gopeng
Keputusan kes rayuan oleh Dato’ Seri Mohd Nizar Jamaluddin berkenaan status Menteri Besar Perak yang sah akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 09/02/2010 dikatakan akan menjadi penentu sama ada akan berlaku pilihanraya di peringkat negeri atau tidak.
Walaubagaimanapun, Dewan Pemuda PAS Kawasan Gopeng (DPPKG) telah mempersiapkan jentera untuk menghadapi pilihanraya pada bila-bila masa. Sehubungan dengan itu jentera piliharaya pemuda di peringkat kawasan dan cawangan telah dipersiapkan dari semua segi termasuk dari segi tenaga kerja, jentera, kemahiran berpilihanraya dan sebagainya.
DPPKG telah mengadakan beberapa siri program di semua peringkat bagi memperlengkapan petugas pemuda bagi menghadapi pilihanraya dan hasil dari program-program tersebut jentera pilihanraya di semua UPU telah digerakkan dan sedang giat menjalankan aktiviti-aktivit mendekati pengundi khususnya golongan muda.
DPPKG juga akan melancarkan team cybertrooper yang terdiri dari blogger di peringkat cawangan yang akan berfungsi untuk menyampaikan maklumat disamping mendedahkan kepincangan dan kegagalan wakil rakyat dari BN menjalan tugas dan amanah kepada rakyat.
DPPKG juga meneruskan program-program kebajikan dan bertemu dengan masyarakat sekitar khususnya di dalam Dewan Undangan Negeri Sungai Rapat . Respon yang diterima dari masyarakat setempat memperlihatkan betapa rakyat sudah bosan dengan janji-janji wakil rakyat dari Barisan Nasional yang gagal membela nasib mereka walaupun selama ini mereka menjadi pengundi setia kepada BN.
DPPKG juga telah berjaya meruntuhkan tembok pemisah di antara PAS dan masyarakat bukan Islam melalui pendekatan dialog dan juga pertemuan dengan pemimpin-pemimpin masyarakat bukan Islam. Melalui culaan yang dilakukan oleh DPPKG di beberapa kawasan majoriti bukan Islam , memperlihatkan sokongan teguh dari pengundi bukan Islam terhadap PAS.
InsyaAllah, melalui usaha dan strategi yang telah diatur, DPPKG yakin DUN Sungai Rapat akan dapat ditawan oleh Pakatan Rakyat jika pilihanraya diadakan pada bila-bila masa.
Yang benar,
HARIS BIN ALIMUDIN
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Kawasan Gopeng
0 comments:
Post a Comment