Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal dengan sikap Umno yang menangguk di air keruh dan mempolitikan isu nama Allah demi kepentingan mereka yang mahu diiktiraf 'juara rakyat' secara 'fast track'.
Maka PAS mendesak Umno yang bangga dengan status 12 penggal mentadbir Malaysia untuk meminda Perlembagaan bagi menghalang pengaruh agama-agama lain terhadap umat Islam..Harus diingat bahawa Umno bertanggungjawab dalam mewujudkan Enakmen Syariah bagi Mahkamah Syariah di negara ini, yang mana didalamnya terkandung klausa yang membolehkan umat Islam memohon untuk murtad sedangkan amalan perundangan ini tiada dalam hukum Islam. PAS menuntut klausa ini dimansuhkan segera.
PAS juga kesal kerana Umno suatu ketika dahulu pernah cuba membuang nama Islam dari digunakan oleh pertubuhan-pertubuhan Islam. Umno juga bertindak zalim dengan merobohkan serta mengunci beberapa masjid dan surau sebelum ini kerana dendam politik.
PAS juga yakin bahawa rakyat turut berasa kesal kerana pemimpin-pemimpin Umno yang tegar mempertahankan nama Allah hari ini masih enggan mematuhi seruan Majlis Fatwa Kebangsaan yang menegah mana-mana umat Islam bertafakur dihadapan tugu negara yang dianggap sebagai perbuatan syirik yang 'berlesen besar'.
Umat Islam juga jelak dengan pemimpin Umno yang berdegil membenarkan ahli-ahlinya menjadi Ahli Lembaga Pengarah syarikat judi dan arak dinegara ini. Malah Umno juga enggan mengeluarkan larangan kepada umat Islam untuk bekerja di premis arak dan judi.
Pemimpin-pemimpin Umno juga bertanggungjawab dalam menekan Jabatan-jabatan Agama yang melakukan operasi dipusat-pusat hiburan dan maksiat. Suatu ketika dahulu Umno pernah mempertikaikan tindakan JAWI menahan umat Islam yang didapati minum arak secara terbuka di Kelab Malam Zouk di Jalan Ampang.
PAS dan umat Islam juga belum dapat memaafkan dosa Umno yang menarik bantuan kepada Sekolah-sekolah Agama rakyat yang menyebabkan berpuluh sekolah terpaksa ditutup dan pendidikan agama anak-anak umat Islam disekat. Umno juga pernah mencuba untuk menyekat perkembangan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang ditubuhkan PAS bagi memberikan didikan kepada anak-anak pra-sekolah, malahan PASTI di Melaka telah disaman oleh kerajaan Umno di Melaka
Tidak dilupakan juga, rakaman debat olok-olok yang diadakan oleh Umno bagi mempertikaikan dasar-dasar Islam yang dibawa PAS. Walaupun akhirnya debat itu berjaya menjelaskan kejahilan Umno terhadap Islam, namun rakyat melihat mereka sebenarnya mereka sengaja mempermainkan-mainkan dasar-dasar Islam dalam debat yang dianggap memperolokkan Islam keseluruhannya.
Terlalu banyak bukti yang menunjukkan pengkhianatan Umno kepada Islam dan PAS berharap isu nama Allah ini akan memberikan keinsafan buat Umno. Akibat dari kecurangan mereka terhadap Islam maka, sudah ada orang berani mencabar Islam di negara ini.. PAS menolak sebarang aktiviti ekstrim dan provokasi melampau dalam isu ini.
Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat
0 comments:
Post a Comment